LAMAN SENI

My photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Friday, August 12, 2011

AMALAN PENILAIAN PSV DI SEKOLAH


PENGENALAN

Pendidikan Seni Visual bukanlah setakat memberi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan karya-karya seni tetapi meliputi aspek-spek kehidupan manusia seharian. Pendidikan Seni Visual merupakan antara salah satu subjek yang wajib diajar di peringkat menengah rendah bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga walaupun subjek ini bukanlah subjek peperiksaan di peringkat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Bermula dari Tingkatan Empat hinggalah Tingkatan Lima para pelajar boleh memilih subjek ini sebagai subjek elektif sehinggalah mereka menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia. Bagi pelajar Tingkatan Enam juga diberi peluang untuk memilih subjek ini sebagai subjek peperiksaaan Sijil Tinggi Persekolahan. Penekanan pelajaran Pendidikan Seni Visual ini adalah untuk membolehkan pelajar mempertingkatkan kebolehan mengolah teknik dan proses secara lebih sistematik supaya dapat menghasilkan kerja seni yang lebih kreatif dan bermakna. Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual di peringkat menengah rendah seringkali menemui pelbagai masalah lantaran tidak semua guru yang mengajar subjek berkenaan adalah guru opsyen Pendidikan Seni Visual. Lantaran itu proses penilaian juga tidak secara langsung berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman yang perlu ditangani dengan bijak agar amalan penilaian yang dilaksanakan bertepatan dengan kehendak kurikulum.Terdapat pelbagai pendekatan yang dijadikan panduan sebagai amalan melaksanakan proses penilaian Pendidikan Seni Visual.

Dalam tulisan ini akan difokuskan sebagai contoh amalan penilaian yang dilaksanakan di salah sebuah sekolah menengah di daerah Hilir Perak semasa melaksanakan proses penilaian dalam Pperiksaan Akhir Tahun 2007 Pendidikan Seni Visual untuk pelajar Tingkatan Dua.

PENILAIAN – SATU DEFINISI

Mok Soon Sang (2003) telah mentakrifkan penilaian sebagai proses menentukan, mendapatkan, dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya. Dalam konteks pendidikan penilaian boleh ditakrifkan sebagai suatu sistem atau proses meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan (Mok Soon Sang, 2003). Daripada kedua-dua definisi ini dapat dilihat akan pentingnya penilaian dilaksanakan oleh mereka yang terlibat agar tindakan seterusnya yang sepatutnya diambil boleh direncanakan dengan lebih mantap dan secara bersepadu.

Assessment – It is the process whereby one attempts to measure the quality and quantity of learning and teaching using various assessment techniques

( Advanced Learner’s Dictionary Of Education, 2000)

Penilaian adalah untuk mengukur samada berjaya atau tidak pembaharuan pendidikan yang dibuat dan memainkan peranan sebagai agen perubahan secara menyeluruh untuk pendidikan (Beattie, 1997).

PENILAIAN KENDALIAN SEKOLAH – PANDUAN AMALAN PENILAIAN

Di sekolah rendah atau menengah proses penilaian yang dijalankan sebaik-baiknya merujuk kepada buku panduan Penilaian Kendalian Sekolah (PKS) yang telah dikeluarkan oleh bahagian Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia. Namun demikian kadangkala terdapat sesetengah sekolah tidak memberi pendedahan kepada guru-guru tentang buku panduan ini yang menyebabkan para pendidik seakan-akan hilang hala tuju dalam melaksanakan penilaian di peringkat sekolah. Dengan bermatlamatkan untuk membantu guru semasa menjalankan penilaian peringkat sekolah. buku panduan ini juga memberi pendedahan kepada guru tentang konsep, kaedah, ciri-ciri, dan keperluan melaksanakan PKS serta cara mengaplikasikannya dalam bilik darjah.

Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah dikenali sebagai PKS di mana guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrument penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan membuat tindakan susulan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Ini semuanya dilakukan dengan bersandarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut perkembangan potensi individu secara menyeluruh. Maka dengan itu peranan guru amat penting bagi memastikan penilaian di sekolah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Melalui PKS guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa dan mendapat peluang memperbaiki kesilapaan serta kelemahan para pelajar.

PENILAIAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DI SEKOLAH MENENGAH

Perlunya penilaian Pendidikan Seni Visual adalah untuk memperlihatkan kepada para pendidik Pendidikan Seni Visual, para pelajar serta keluarga akan kemajuan dan perkembangan pelajar setelah melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Selain dari itu hasil penilaian juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai semula keberkesanan kurikulum yang telah diaplikasikan pada masa tersebut. Kurikulum Pendidikan Seni Visual perlu mengalami perubahan sejajar dengan perubahan kehendak semasa dunia pendidikan yang bertunjangkan dunia tanpa sempadan sekarang ini. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran amat ketara dan penting untuk memenuhi keperluan produk yang dilahirkan. Para pelajar yang keluar dari sekolah akan dapat menghadapi cabaran dunia luar dengan dapat bersaing dalam pasaran pekerjaaan terutama dalam bidang seni (Abdul Halim, 2004). Lantaran itu pendekatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual akan meluaskan sumber-sumber maklumat yang berkaitan dengan seni.

Hal yang demikian untuk mengukur pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual merupakan salah satu tujuan penilaian dilaksanakan samada dalam bentuk penilaian formatif atau penilaian sumatif. Mengimbas kembali, jenis penilaian formatif adalah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Penilaian ini juga berfungsi sebagai untuk melihat pembelajaran yang berlaku secara eksplisit di kalangan pelajar yang berkaitan dengan afektif dan psikomotor.

Penilaian sumatif pula dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau tahun yang bertujuan untuk mengukur keupayaan para pelajar menerima dan menghayati ilmu yang berkaitan dengan kognitif pelajar. Umum mengetahui bahawa subjek Pendidikan Seni Visual di sekolah menengah bertujuan melahirkan warganegara yang berbudaya khususnya yang berimaginatif, kreatif, berpengetahuan dan peka terhadap ciri-ciri estetika (Mazlan, 1996). Oleh itu bagi melahirkan warganegara yang sebegini proses pengajaran dan pembelajaran dari peringkat awal hingga peringkat penilaian perlulah dilaksanakan dengan mantap oleh para pendidik Pendidikan Seni Visual. Peranan guru Pendidikan Seni Visual tidak boleh lari daripada mengetahui cara-cara untuk meningkatkan keupayaan pelajar-pelajarnya dalam menilai dan memahami serta menghargai seni yang terdapat di sekitar masyarakatnya (Iberahim, 2000).

Secara tradisional, penilaian masih lagi difikirkan sebagai satu proses yang dilaksanakan di akhir proses pembelajaran tetapi konteks untuk penilaian yang lebih bersifat kontemporari adalah sebahagian daripada keseluruhan proses melaksanakan seni itu sendiri (http://www.nysed.gov). Penilaian adalah secara formatif kerana ia menyumbangkan kepada pembelajaran pelajar dan boleh dilihat sebagai satu yang amat penting untuk melengkapkan keseluruhan proses pembelajaran.

Terdapat pelbagai pendekatan dan panduan yang boleh diambil oleh guru subjek Pendidikan Seni Visual dalam melaksanakan poses penilaian. Antaranya adalah merujuk Buku Sumber Guru Pendidikan Seni Visual Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Penilaian subjek Pendidikan Seni Visual di sekolah menengah dilaksanakan mengikut bentuk penilaian PKSM yang berdasarkan kepada :

1. Hasrat, matlamat dan objektif mata pelajaran

2. Penekanan dan pembaharuan

3. Skop kandungan mata pelajaran

Manakala aspek-aspek yang dinilai adalah aspek pengetahuan –domain kognitif, aspek kemahiran –domain psikomotor dan aspek nilai –domain afektif ( Pusat Perkembangan Kurikulum n.d.). Guru-guru Pendidikan Seni Visual seharusnya tidak berhadapan dengan masalah dalam melaksanakan proses penilaian kerana telah ada bahan rujukan untuk dijadikan panduan. Melalui buku ini guru subjek Pendidikan Seni Visual dapat menilai aspek pengetahuan iaitu domain kognitif yang merangkumi pengetahuan pelajar dalam unsur seni, prinsip dan struktur rekaan. Selain dari itu aspek yang dinilai juga adalah pengetahuan tentang alat, teknologi bahan, teknik, bentuk gubahan, kekemasan, pemahaman dan penghargaan.

Dalam aspek kemahiran iaitu domain psikomotor pula melibatkan poses dan hasil kerja yang dilaksanakan oleh pelajar termasuklah :

1. Penilaian dan penyediaan alat dan bahan

2. Pewujudan idea

- cara untuk mendapatkan idea

- cara untuk memperkembangkan idea

3. Kegunaan bahan dan teknik

4. Kemasan

Penilaian dalam aspek nilai iaitu domain afektif boleh dilihat melalui pemerhatian sikap dan perlakuan pelajar yang direkod oleh guru subjek. Untuk penilaian aspek pengetahuan atau kognitif boleh dijalankan secara penulisan atau lisan. Segala bentuk dan maklumat pencapaian diri pelajar perlu direkod. Tahap pencapaian pelajar dalam jangka waktu pembelajaran perlu direkodkan oleh guru subjek Pendidikan Seni Visual melalui bentuk rekod yang difikirkan sesuai oleh guru.

Dalam menentukan kewajaran pemberatan peratus domain untuk dinilai pihak Pusat Perkembangan Kurikulum dalam buku yang bertajuk Buku Sumber Guru Pendidikan Seni Visual menyatakan bahawa

PERINGKAT MENENGAH RENDAH PERINGKAT MENENGAH ATAS

ASPEK % WAJARAN ASPEK % WAJARAN

KOGNITIF 30 KOGNITIF 40

PSIKOMOTOR 60 PSIKOMOTOR 50

AFEKTIF 10 AFEKTIF 10

Dapat dilihat di sini bagi peringkat menengah rendah aspek psikomotor yang mempunyai nilai % kewajaran untuk dinilai yang tinggi kerana pada tahap ini pelajar terlibat secara langsung dalam proses penghasilan sesebuah karya seperti yang telah disebutkan diatas tadi. Manakala pada peringkat menengah atas pula nilai % kewajaran untuk dinilai adalah tinggi bagi aspek psikomotor juga. Memandangkan para pelajar akan menjurus ke arah persediaan menghadapi Peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia maka aspek proses dan teknik diberi pemberatan yang lebih jika dibandingkan dengan kognitif dan afektif.

Melalui penilaian proses dan teknik ( psikomotor) pelajar didedahkan sepenuhnya dengan alam seni visual yang sebenarnya iaitu penghasilan karya.

Namun demikian aspek-aspek lain juga tidak kurang penting untuk dinilai kerana melalui penilaian ketiga-tiga domain ini akan melahirkan pelajar yang seimbang sejajar dengan apa yang disarankan oleh Lansing (dalam Iberahim, 2004) bahawa melalui subjek Pendidikan Seni Visual ketiga-tiga domain pelajar perlu dipenuhi iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor.

Sebagai satu amalan penilaian yang dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu ,salah sebuah sekolah menengah di daerah Hilir Perak mengadakan penilaian Pendidikan Seni Visual dalam bentuk formatif dan sumatif. Proses pelaksanaan penilaian bermula dengan ujian topikal sebanyak empat kali setahun, diikuti pula penilaian dua kali setahun dan peperiksaan dua kali setahun. Sistem pemarkahan menggunakan system pengkomputeran untuk diproses markah yang telah dimasukkan ke dalam data maklumat.

Bagi Pendidikan Seni Visual tingkatan dua di sekolah tersebut, ujian topikal dilaksanakan melalui kerja-kerja mingguan para pelajar yang dibuat di dalam ‘sketch book’. Ini bermakna setiap pelajar mempunyai buku lakaran untuk membuat tugasan yang diberikan oleh guru-guru subjek Pendidikan Seni Visual. Portfolio atau ‘sketchbook’ yang mengandungi hasil kerja seni para pelajar digunakan untuk membanding kemajuan dan ‘self-growth’ para pelajar ( Linderman,1997). Sistem pengumpulan maklumat begini adalah lebih kemas dan teratur di mana guru serta pelajar dapat membuat penilaian kendiri dan mengemas kini tugasan mereka serta mengenal pasti kemahiran yang belum dikuasai lagi. Pentaksiran kendiri pelajar atau student self-evaluation adalah sebahagian daripada prosedur penilaian (Linderman, 1997).

Untuk akauntabiliti atau bukti tentang apa yang sepatutnya telah disampaikan oleh guru boleh diperlihatkan dalam pelbagai cara atau bentuk. Cara yang paling efektif adalah melalui portfolio perkembangan individu (Bates, 2000). Ini adalah rekod yang mengandungi proses-proses pengajaran yang telah disampaikan oleh guru dan digambarkan melalui pencapaian pelajar dalam setiap unit pembelajaran. Ini juga sejajar dengan saranan yang telah ditetapkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum melalui Buku Sumber Guru Pendidikan Seni Visual yang mahu penyimpanan atau dokumentasi bahan bukti proses pembelajaran pelajar dilaksanakan iaitu portfolio.

Melalui portfolio ini penilaian dapat dilaksanakan dari pelbagai aspek pembelajaran yang penting antaranya

1. Untuk menunjukkan penguasaan pelbagai kemahiran dan pencapaian pelajar dalam pelbagai cara

2. Untuk menunjukkan prestasi pelajaran dalam projek jangka panjang dan jangka pendek

3. Untuk menunjukkan pencapaian pelajar sepanjang tahun atau penggal

4. Untuk memupuk rasa bangga terhadap hasil kerja sendiri

Amalan penilaian portfolio yang telah dilaksanakan oleh guru di sekolah tersebut menunjukkan guru apa yang sebenarnya diajar dan menunjukkan pelajar apa yang sebenarnya dipelajari. Oleh yang demikian guru dan pelajar dapat mengenalpasti perkembangan pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan. Namun demikian sekolah tersebut tidak menyediakan rubrik untuk penilaian portfolio para pelajar yang mana dengan adanya rubric, guru dan pelajar mendapat gambaran yang tepat tentang piawai pencapian yang diharapkan ( Pusat Perkembangan Kurikulum n.d.).

Guru subjek Pendidikan Seni Visual di sekolah tersebut tiada pendedahan khusus tentang penyediaan rubrik penilaian portfolio.

Setiap hasil kerja para pelajar diberi markah dengan melihat aspek kreativiti, ketepatan tajuk tugasan, kekemasan, dan kaedah pewarnaan. Markah-markah yang dikumpulkan sebagai markah ujian topical akan diambil kira sebagai markah Penilaian 1 dan Penilaian 2 serta Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun. Untuk Penilaian 1 dan Penilaian 2 pelajar perlu menjawab kertas soalan objektif sahaja sebanyak 50 soalan. Manakala untuk kertas soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun pelajar perlu menjawab kertas soalan objektif 50 soalan dan kertas melukis dan mewarna. Markah-markah ujian topikal seterusnya akan dicampur dengan markah peperiksaan atau penilaian.. Ini bermakna pelajar akan dinilai dari awal aktiviti yang telah dilaksanakan secara penilaian formatif dan digabungkan dengan penilaian sumatif.

Langkah ini diambil untuk mengenal pasti pelajar yang kurang berminat dan kurang menguasai kemahiran bagi meneruskan langkah pemulihan berterusan seperti yang dianjurkan dalam pengajaran masteri atau ‘mastery learning’. Di samping itu penyediaan kertas soalan objektif dan kertas melukis mewarna disediakan oleh guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual walaupun guru berkenaan bukan dari opsyen Pendidikan Seni Visual. Ketua Panitia akan memantau dan mengenalpasti kelemahan dan kekurangan item-item soalan yang dibina. Ini bagi memastikan item-item soalan yang dibina adalah berdasarkan tajuk-tajuk yang telah diajar kepada pelajar.

Merujuk kepada lampiran contoh kertas 1 (soalan objektif) dan kertas 2 (soalan melukis mewarna) guru penyedia soalan telah menyediakan Jadual Spesifikasi Item (JSI) terlebih dahulu untuk kertas 1. Namun demikian masih terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki iaitu taburan soalan mengikut aras tidak tepat mengikut standard yang disarankan dalam Taksonomi Bloom. Memandangkan pelajar yang dinilai adalah pelajar tingkatan 2 maka sepatutnya kebanyakan soalan perlu berada di aras pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Tetapi berdasarkan JSI yang disertakan didapati taburan soalan sudah berada pada aras analisis dan sintesis sebanyak 17 soalan. Kelemahan juga timbul pada bahagian tajuk dan penentu aras soalan kerana soalan yang dibina tidak menggambarkan aras yang tepat iaitu item soalan nombor 3 sebenarnya bukan berada pada aras analisis. Oleh yang demikian guru pembina item soalan perlu merujuk semula kepada Taksonomi Bloom kerana kaedah ini memudahkan pembina ujian menentukan aras kemahiran (kesukaran) yang harus diujibagi sesuatu perkara atau maklumat (Bhasah, 2003).

Item-item soalan yang dibina adalah berdasarkan tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru – rujuk lampiran persediaan rancangan mengajar harian beberapa bulan sebelum peperiksaan dijalankan. Untuk kertas 2 melukis dan mewarna sebanyak 6 soalan diberi dan pelajar dikehendaki menjawab 1 soalan sahaja. Sistem pemarkahan yang digunakan oleh guru-guru Pendidikan Seni Visual seramai 2 orang adalah tidak standard di mana sistem piawai markah tidak ada untuk dijadikan panduan. Guru pemeriksa kertas jawapan hanya menggunakan pendekatan sendiri samada secara holistik atau menetapkan kriteria tertentu untuk pemarkahan seperti ketepatan tajuk, kreativiti, kekemasan dan pewarnaan.

Setelah markah-markah peperiksaan diperoleh guru subjek akan menulis di dalam ruangan markah buku ringkasan mengajar dan dalam borang ‘headcount’ seperti ditetapkan oleh pihak pentadbir sekolah- rujuk lampiran markah. Kesemua markah ini akan dimasukkan ke dalam sistem komputer untuk diproses dan dikeluarkan melalui slip markah untuk para pelajar. Dengan slip markah inilah guru, para pelajar dan ibubapa akan mengetahui kedudukan para pelajar dalam subjek Pendidikan Seni Visual. Seterusnya slip markah ini akan dikepilkan di dalam kad kemajuan untuk diserahkan kepada ibubapa untuk ditandatangani. Oleh itu amalan penilaian subjek Pendidikan Seni Visual yang dilaksanakan oleh sekolah ini hanya terhenti setakat memberitahu kepada ibubapa melalui slip dan tidak secara lisan atau sesi perjumpaan. Perkembangan pembelajaran anak-anak hanya diketahui oleh ibubapa melalui gred-gred sahaja. Fungsi penilaian hanyalah sekadar memberitahu samada pelajar lulus atau tidak berdasarkan gred sahaja. Pelajar sendiri tidak tahu tahap pencapaian kemahiran mereka yang sebenar-benarnya.

Oleh yang demikian dapat dilihat bahawa keberkesanan penilaian berasaskan sekolah yang telah dilaksanakan hanya setakat penggredan dan guru memainkan peranan secara menyeluruh dalam proses penilaian yang dilaksanakan. Peranan pelajar hanyalah sebagai menjalankan proses pembelajaran dan menerima apa juga keputusan yang diberikan oleh guru. Tiada sesi perbincangan dua hala antara guru dan pelajar semasa proses penilaian dijalankan apatah lagi yang melibatkan ibubapa para pelajar atau rakan sebaya.

KESIMPULAN

Umum mengetahui amalan penilaian Pendidikan Seni Visual di sekolah-sekolah rendah dan khususnya di sekolah-sekolah menengah dilaksanakan secara impresif oleh guru-guru seni. Aspek yang dinilai adalah yang berkaitan dengan keupayaan pelajar menghasilkan karya seni mengikut kesesuaian tema dan kecekapan menggunakan peralatan untuk penjanaan idea dalam mengolah unsur-unsur seni (Iberahim n.d.). Proses penilaian berakhir dengan makluman pencapaian pelajar kepada ibubapa melalui kad laporan kemajuan pelajar. Walaupun proses penilaian dapat dilaksnakan peringkat demi peringkat berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran guru perlu memastikan penilaian yang dibuat turut meliabtkan pelajar secara langsung samada melalui ‘self-assessment’ atau bersama rakan-rakan. Para pelajar seharusnya diberi peluang untuk berbincang dan memberi respon tentang kerja mereka dan juga rakan mereka.

Penilaian hasil kerja studio juga boleh melibatkan para pelajar di mana mereka membuat refleksi, perbincangan dan menyatakan respon semasa menghasilkan kerja-kerja seni. Bidang-bidang ilmu dan pengetahuan seperti sejarah seni dan apresiasi seni dinilai melalui ujian dan peperiksaan samada bertulis atau lisan. Michael (dalam Iberahim n.d.) ada menyarankan skala penilaian sejarah seni untuk digunapakai oleh guru seni dalam membuat penilaian sejarah seni yang melibatkan domain kognitif dengan bersandarkan aras Taksonomi Bloom. Melalui pendekatan ini pelajar dapat dinilai dengan sebaik-baiknya selain daripada menggunakan amalan menjawab soalan peperiksaan.

Penilaian boleh memotivasikan pelajar untuk belajar, meneroka dan mengamalkan apa yang telah dipelajari. Di samping itu pelajar boleh belajar secara langsung, menghubungkan pengetahuan yang baru dengan yang lama serta lebih bertanggungjawab dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Selain itu para pendidik Pendidikan Seni Visual dapat memantau perkembangan prestasi pelajar seperti penilaian berportfolio. Dengan itu tahap pencapaian pelajar dapat dikenalpasti dari semasa ke semasa di samping kekuatan dan kelemahan aspek-aspek dalam penilaian dapat dikesan. Guru seni perlu memastikan dalam penilaian seharusnya mempunyai kriteria-kriteria seperti objektif, kesahihan, adil, terbuka, bermakna, mendidik, menyeluruh, berkesinambungan, ada kepelbagaian dan menarik serta berkesan. Hasil daripada pembelajaran dan pengajaran boleh dibandingkan agar keberkesanan dapat diukur.

Penilaian adalah perkara yang paling penting kepada guru dan pelajar dalam kelas berkenaan serta ibubapa atau penjaga pelajar-pelajar ( Goldberg, 1997). Amalan penilaian yang diamalkan di sekolah perlu menghindari dari membanding beza hasil kerja pelajar dengan cara yang negatif. Guru perlu bijak melaksanakannya dengan cara strategi menyoal soalan apabila pelajar sudah menyelesaikan tugasan mereka. Ini akan membantu pelajar-pelajar memahami bukan setakat menghargai produk yang dicipta sahaja tetapi proses melaksanakan kerja-kerja seni mereka. Dengan gabungan kreativiti dalam memilih pendekatan yang sesuai dan ‘energy’ yang mantap dari para pendidik seni di sesebuah sekolah, penilaian yang berasaskan matlamat pendidikan, fokus kepada pembelajaran, penting untuk pengesahan kemajuan pelajar dan program dapat terlaksana dengan jayanya.

RUJUKAN

Abdul Halim Husain, (2004). Pendidikan Seni Visual dan Muzik. Tanjong Malim:

Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Advanced Learner’s Dictionary of Education, (2000). New Delhi: Anmol Publications

Pvt. Ltd.

Bates, J. K. (2000). Becoming An Art Teacher. Singapore: Thomson Learning.

Beattie, D. K. (1997). Assessment in Art Education Art Education in Practise Series.

Massachusetts: Davis Publications Inc.

Bhasah Abu Bakar, (2003). Asas Pengukuran Bilik Darjah. Tanjong Malim:

Quantum Books.

Dean, J. E. (2005). Arts in the Elementary School Classroom: The Importance of Arts

Integration. Retrived May 1, 2007, Web site:

http://www.wm.edu/education/599/05Projects/dean 599.pdf

Goldberg, M. (1997). Arts and Learning An Integrated Approach to Teaching and

Learning in Multicultural and Multilingual Settings. New York: Longman.

Iberahim Hassan, (2000). Kumpulan Esei Pilihan Pendidikan Seni dan Muzik.

Tanjong Malim: Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, Universiti Pendidikan

Sultan Idris.

Iberahim Hassan , (2004). Pendidikan Seni Visual dan Muzik. Tanjong Malim:

Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Iberahim Hassan. Penilaian Dalam Pendidikan Seni Visual. Kertas Seminar HEPI

Linderman, M. G. (1997). Art in the Elementary School Fifth Edition. United States of

America: Brown & Benchmark.

Mazlan Mohamad, (1996). Siri Pendidikan Guru Pendidikan Seni 1 Prinsip Pendidikan

Seni. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. puan, minta izin untk ambil sdikit maklumatnya..trima kasih atas pengkongsian

    ReplyDelete