LAMAN SENI

My photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Monday, August 15, 2011

PENDEKATAN SOSIAL DALAM PENDIDIKAN SENI (Strategi & Pelaksanaan di Malaysia)- BY SITI HAYATI

Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.

Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya.

DEFINISI SOSIAL

Menurut Kamus Dewan, Sosial boleh didefinisikan sebagai kegiatan manusia dalam masyarakat melalui pengalaman dan aktiviti.(DBP: ms 1186 ) .Sosiologi pula didefinisikan sebagai ilmu kemasyarakatan iaitu ilmu mengenai sifat dan pertumbuhan masyarakat. Ia merujuk kepada suatu bidang ilmu pengetahuan moden. Secara mudah kita boleh menghubungkan sosiologi dengan ”masyarakat”. Vander Zanden (1996) dengan ringkas menyatakan sosiologi sebagai kajian saintifik mengenai interaksi sosial dan organisasi. Bagi Jary & Jary (1995), sosiologi merupakan suatu bidang kajian saintifik mengkaji masyarakat daripada pelbagai sudut seperti melihat fungsi masyarakat, bentuk organisasi sosial, perkembangan kebudayaan dan jenis-jenisnya.

Menurut Giddens (1993) pula, sosiologi adalah kajian mengenai kehidupan sosial manusia, kumpulan-kumpulan dan masyarakat. Sosiologi akan memberikan manusia pemahaman bagaimana pengaruh-pengaruh sosial telah mencorakkan kehidupan mereka. Waters (1994) pula menegaskan bahawa perkara yang diperhatikan bidang sosiologi sangat jelas iaitu fenomena sosial yang berfokuskan hubungan dan interaksi antara manusia.

Broom (1981:84) mengemukakan pendapat, ”sosialisasi adalah proses menyelaraskan individu-individu tentang tradisi-tradisi budaya masyarakatnya dan berfungsi sebagai makhluk sosial dan anggota masyarakat yang sesuai dengan kebudayaan masyarakatnya.

Zanden (dalam Suharso,1992) mengemukakan bahawa sosialisasi sebenarnya adalah proses interaksi yang memberi peluang kepada anggota masyarakat mengenai cara berfikir,berperanan dan berkelakuan positif. Jelas kepada kita manusia memerlukan hubungan sosial dengan manusia lain dalam lingkungan kelompok masyarakatnya. Broom (1981) menyatakan, ”Manusia memerlukan hubungan sosial dengan manusia lain”.

Kesimpulannya di sini, kebudayaan digunakan sebagai pedoman hidup oleh warga masyarakat dan bersifat tidak mudah berubah. Ia merupakan kebiasaan atau tradisi yang lazim bagi penganut sesuatu masyarakat. Tetapi tradisi atau kebiasaan adalah buatan manusia dan pasti boleh berubah.

Menurut Bennett(1976). Apabila kebudayaan tidak lagi sesuai digunapakai mengikut arus perubahan, maka kebudayaan akan diubah, dan disesuaikan agar dapat menepati keinginan baru.

PENDEKATAN SOSIAL DALAM KONTEKS SOSIO-BUDAYA MASYARAKAT:

Yang dimaksudkan dengan pendekatan sosial adalah suatu cara memandang sosial itu sebagai suatu sistem. Ia diertikan sebagai konsep yang digunakan untuk menganalisis seterusnya sebagai objek kajian. Dalam konteks ini sosial dipandang sebagai satu kajian yang terdiri dari unsur-unsur yang berfungsi, beroperasi atau bergerak dalam satu sistem. Konsep sosial juga difahami sebagai satu sistem yang sistematik; merujuk kepada aspek-aspek seperti individu, sosial dan budaya dari kehidupan manusia sebagai sistem sosial budaya dan masyarakat persekitarannya. (Parson:1966; Spindler 1977;Spradley 1972;Suparlan 1985)

Mead (1972) pula menegaskan bahawa pendidikan menunjukkan dua fungsi utama iaitu melestarikan dan mengembangkan kebudayaan sesuai dengan keperluan individu, sosial dan budaya sesuatu masyarakat yang terjelma melalui cara berfikir, penghayatan, luahan rasa serta respon mereka terhadap sesuatu perkara.

Tidak dapat dinafikan sepanjang sejarah, manusia sebagai makhluk sosial dan budaya, menyelenggarakan pendidikan sebagai fungsi utama untuk mempertahankan peradapan nilai-nilai sosial dalam lingkungan masyarakatnya. Melalui proses pendidikan ini setiap individu dalam masyarakat mengenal, mewarisi dan menghayati segala unsur –unsur kebudayaan iaitu nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan serta teknologi sangat diperlukan dalam sistem sosial budaya kerana dari situ mereka mempelajari intipati sosial, mempelajari simbol-simbol budayanya serta menerap nilai murni yang terkandung dalam kehidupan sosialnya untuk dijadikan panduan serta pedoman dalam kehidupan seharian sekaligus dalam masyarakat lingkungannya.

Seni dan sosial mempunyai satu hubungan simbolik untuk digabungkan sebagai satu kurikulum integrasi. Pendekatan sosial memerlukan kefahaman terhadap ilmu kemanusiaan dan pengalaman manusia. Seni memberi peluang untuk memahami pengalaman manusia dengan baik.

Untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik dan ekonomi sesuatu masyarakat. Sebagai contoh bahan-bahan dan teknik penghasilan seni yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu seni boleh memberi kefahaman tentang faktor geografi, alam sekitar dan struktur sosial sesuatu masyarakat. Malahan di zaman moden para pengiklan, penghibur dan ahli politik menggunakan unsur seni untuk menyampaikan mesej dan memupuk sistem kumpulan masyarakat.

Artist mempunyai kuasa dalam bentuk simbol untuk menyampaikan sesuatu idea atau perasaan yang begitu kuat yang boleh menyentuh perasaan orang lain. Imej juga boleh menimbulkan semangat patriotik dan bersuara terhadap ketidakadilan. Seni juga boleh menyampaikan mesej tanpa komunikasi lisan kepada sesuatu masyarakat.

Untuk membolehkan pelajar faham kaitan seni dengan pendidikan sosial, pelajar perlu mengalami sendiri pengalaman menggunakan bahan-bahan seni dan mengalami sendiri proses yang dialami oleh seseorang artist yang mencipta seni.

Melalui kerja-kerja seni, masyarakat akan lebih memahami tentang sesuatu latarbelakang sosial. Kita akan mempelajari tentang pengaruh sosial, ekonomi, politik dan kepercayaan sesuatu masyarakat. Melalui sejarah sesuatu seni seperti masa, zaman, budaya dan asal usul dapat diketahui bahkan bahan-bahan yang digunakan, teknik penghasilan seni, bentuk dan perhiasan dapat meyumbang kepada dapatan maklumat tentang latar belakang sesuatu masyarakat seperti falsafah dan kepercayaan agama.

Seni moden seperti seni kontemporari, iklan,hiburan, visual, dan grafik dapat memberikan kita pengetahuan tentang bagaiman unsur seni digunakan untuk mempengaruhi masyarakat, memberi mesej dan penguasaan seni terhadap emosi manusia. Sebagai contoh; bagaiman imej digunakan untuk menyebarkan semangat patriotik dan kempen anti ketidakadilan. Semua perkara ini ada kaitan dengan pendekatan sosial di mana ia mengkaji emosi manusia dan membolehkan kita memahami sesuatu masyarakat itu. Kesemua elemen seni ini boleh membantu para ahli sosial memahami pemikiran masyarakat.

Pemahaman terhadap seni bagi seseorang pelajar akan bertambah apabila pelajar mengalami pengalaman bekerja dengan peralatan dan melalui proses dalam penghasilan sesuatu bahan seni. Proses penghasilan seni akan memberi peluang peluang kepada pelajar untuk memahami persoalan seperti kenapa sesuatu bahan digunakan, kenapa seni itu dihasilkan, dan fungsi seni itu kepada masyarakat. Semua aktiviti seni ada kaitan dengan budaya, persekitaran sesuatu masyarakat, pengaruh sejarah dan geografi. Begitu juga dengan persoalan-persoalan yang tidak dapat dipisahkan dengan aspek sosial seperti; siapa mencipta seni, siapa menggunakan seni, apakan bentuk sesuatu seni dan bagaimana ilmu seni itu boleh diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya? Pengaruh alam sekitar, agama, politik, ekonomi, budaya, persoalan estetik, kesemua elemen tersebut ada hubungkait dengan pendekatan sosial.

Dalam mengintergrasi seni dengan pendekatan sosial harus perlu ada keseimbangan. Satu cara intergrasi yang efektif ialah melalui penggunaan tema-tema yang berkaitan. Teknik ini adalah sesuai sebagai perkongsian untuk subjek yang mempunyai matlamat dan disiplin yang sama. Melalui teknik ini, setiap topik dijadikan sebagai bahan perbincangan dan diberi pandangan mengikut disiplin seni dan sosial secara bergilir-gilir. Dengan cara ini keseimbangan dari intergrasi pendekatan sosial dan Pendidikan Seni akan tercapai.

Satu komponen pendekatan sosial yang boleh diintergrasikan dengan Pendidikan Seni dengan baik sekali adalah dari segi sejarah. Tidak boleh dinafikan seni adalah satu produk dari asal usul sejarah dan budaya. Sebagai contoh semasa seni itu dilahirkan, ia ada kaitan dengan isu semasa ketika itu. Menurut Arnheim (1989) keupayaan menguasai dan melihat kombinasi kedua-dua struktur seni dan sosial adalah satu pencapaian kognitif.

Tidak dinafikan manusia adalah makhluk budaya. Manusia dalam kehidupannya menggunakan simbol sebagai sarana untuk berkomunikasi sesama mereka. Pendidikan merupakan satu proses budaya.

PENDIDIKAN SENI DAN KELEBIHANNYA :

Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Di samping untuk meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai alam sekitar, keindahan seni dan warisan bangsa serta menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika di lihat matlamat Kurikulum Pendidikan Seni sama ada McFee (melalui penerokaan), Lansing(domain utama), Feldman (pengajian), Efland (ekspresi dan respon) dan Kementerian Pelajaran Malaysia-KPM (aktiviti-aktiviti kreatif), semua membawa harapan yang sama iaitu untuk melahirkan golongan pelajar seterusnya masyarakat yang seimbang dari aspek kemahiran berkarya dan juga penguasaan pengetahuan seni. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).

Dalam kandungan Kurikulum Pendidikan Seni Visual pula telah menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi murid.

Pelajar diharap dapat mengamal pertimbangan seni visual, meningkatkan lagi kepekaan, menjadi pengkarya yang rasional dan mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai positif. Secara tidak langsung menerap budaya menghargai serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi.

Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranannya dalam pendidikan dapat memupuk sifak kecintaan pada seni dan estetika.

Peranan Pendidikan Seni yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.

Peranan seni visual dalam pendidikan ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semulajadi kanak-kanak sukakan belaian, perhatian dan sentuhan dan melalui contengan-contengan ini perkembangan seni tampak minda mereka berlaku dengan pesat. Namun begitu perkembangan ini berlaku berbeza mengikut persekitarannya, faktor keluarga dan latar belakang pendidikan mereka. Melalui proses lakaran ini, tahap mental kanak-kanak akan terus berkembang dengan baik. (Laura Chapman 1978). Sehubungan dengan itu pembangunan sosial kanak-kanak tadi terbina, menjadi seorang yang kreatif, berdikari dan yakin diri dalam kelompok masyarakatnya.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.

Melalui Pendidikan Seni juga dapat menyemai seseorang dengan nilai-nilai kasih sayang, menghormati budaya sesuatu kaum, adat istiadat serta menanam sifat-sifat mulia terhadap diri. Justeru kita akan lebih memahami serta menghargai akan nilai-nilai warisan seni budaya keturunan kita sendiri di samping kaum-kaum sesuatu bangsa lain selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Seni juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya. Pendidikan tentang seni telah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi di mana mereka mula mengetahui tentang alat-alat permainan yang beraneka rupa bentuk dan warna. Begitu juga dalam konteks mewarna di atas kertas, kanak-kanak akan menggunakan pilihan warna yang disukainya. Contengan warna ini sebenarnya melahirkan ideanya. Ini menjurus kepada kreativiti kanak-kanak tersebut. Bakat ini perlu dibimbing dan dipupuk dengan sebaiknya supayadia menjadi seorang yang berdikari dan yakin pada dirinya sendiri. Ini kerana kanak-kanak membuat simbol-simbol yang mudah dan ringkas mengikut tahap penguasaan dan faktor sekelilingnya. Jika dikaji bentuk-bentuk lukisan sebegini mempunyai makna yang cukup mendalam tanpa kita sedari. Kajian ini dibuat oleh Herbert Read (1958) dalam bukunya ”Education Through Art”.

Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara. Tanpa kesan estetika kesenian mungkin boleh membawa penyakit yang menjurus kepada wabak sosial yang memudaratkan.

Gejala sosial yang berlaku pada masa kini sedikit sebanyak berkait rapat dengan aspek penghayatan estetika. Keruntuhan moral, pencemaran akhlak, terpesong kefahaman agama dan segala aspek yang bertentang dengan fitrah manusia mungkin boleh diubati. Memahami makna estetika dalam seni itu sendiri cukup mendalam, keindahan yang mutlak dan hakiki. Penghayatan terhadap seni yang mendalam dan diamalkan dalam penghidupan seharian. Penghayatan estetika terhadap kebesaran Tuhan juga menuntut kita merenung jauh tentang setiap kejadian itu.

Estetika wajar dijadikan asas dalam aktiviti seni sama ada dari aspek pembangunan insan, pembangunan rohaniah dan jasmaniah, perkembangan dan bimbingan kehidupan seharian. Seni bukan semata-mata hiburan kosong. Seni dan estetika adalah untuk mentarbiahkan manusia mendidik manusia agar memahami kebenaran ciptaan Allah SWT. Apa sahaja bentuk seni yang dicipta adalah menjurus ke arah membimbing dan mendidik masyarakat.

Menurut Winckelmann berkaitan dengan estetika/keindahan, ia perlu melalui satu proses yang dikenali sebagai idealisasi iaitu proses menggunakan akal dan menjadi asas kegiatan seni yang utama. Beliau juga mengkategorikan estetika kepada empat konsep iaitu:

a) Estetik dikaitkan dengan kemuliaan

b) Estetik dikaitkan dengan kehebatan

c) Estetik dikaitkan dengan kesederhanaan

d) Estetik dikaitkan dengan ketenangan

Keempat-empat elemen ini membantu mewujudkan individu seterusnya masyarakat sekelilingnya mempunyai sikap yang positif dalam kehidupan mereka.

Melalui Pendidikan Seni juga dapat memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Usia remaja di sekitar 10 hingga 15 tahun merupakan tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu dengan lebih baik. Pada peringkat ini sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang.

Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965), peringkat ini merupakan paling konflik dan genting kerana pelajar mengalamai tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses pembesaran mereka. Dalam situasi ini peranan guru amat penting di mana pelajar yang tidak menerima bimbingan yang betul boleh menyebabkan minat mereka dalam Pendidikan Seni berkubur, sebaliknya bagi pelajar yang telah diberi bimbingan dan nasihat positif oleh guru akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan mata pelajaran tersebut.

Kelebihan seterusnya adalah memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat kerana masyarakat Malaysia kaya dengan khazanah warisan budaya. Bahan kegunaan harian seperti pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan/tekstil, hamparan tikar mengkuang, anyaman kelarai seterusnya budaya sopan santun dan adat istiadat diwarisi turun temurun. Namun begitu seni warisan sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan dalam masyarakat yang suatu ketika dahulu cukup dipelihara.

Melalui Pendidikan Seni juga diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri kerana budaya menunjukkan bangsa. Sesebuah masyarakat mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya, kerana kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya.

Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Masyarakat perlu tahu tanggungjawab mereka tentang kepentingan nilai seni dan estetika dan kefahaman serta tanggungjawab itu perlu dipupuk di peringkat awal lagi.

Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.

Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk

berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.

Manusia memerlukan dan menginginkan perhatian, mempunyai emosi dan perasaan. Mereka meluah perasaan dan berkongsi emosi dengan orang lain melalui penyataan perasaan di bawah sedar dan seni dalam konteks yang lebih luas ialah hasil penyataan perasaan manusia sebenarnya.

Hasil seni dan produk seni sebenarnya hasil dari pengumpulan idea, emosi, perasaan dan dibantu dengan ilmu-ilmu lain maka tercipta hasil seni yang dibanggakan. Justeru seni amat penting dalam kehidupan mereka dan merupakan sebahagian dari kehidupan. Cuma menjadi persoalan apabila pendedahan seni itu tidak diperjelaskan secara langsung kepada masyarakat. Perlakuan negatif dari pengamal menyebab seni diperlekehkan. Sedangkan seni sebagai agen perubahan masyarakat dan bukan hanya untuk golongan lemah sahaja. (pelajar lemah)

Justeru guru yang baik dan berkesan dalam P&P Pendidikan Seni akan menjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan seni. Ini diperjelaskan oleh Robinson (1990);

”.................... making and appraising are both.... of equal and fundamental importance in art education: each is important in itself”...............

Peranan kita sebagai ahli masyarakat yang sebenar bukan sekadar sebagai pemerhati tetapi juga memiliki. Selain dari guru berperanan mengajar pelajar untuk menghayati karya seni, mereka juga perlu diajar untuk melihat lebih mendalam, memahami, mempelajari, menghayati dan mengetahui proses sesuatu produk yang dihasilkan. Di samping cuba memahami nilai falsafah dan estetika dari karya seni tersebut iaitu nilai estetika yang tersirat ataupun tersurat.

Proses memahami dan menerangkan nilai falsafah dan estetika terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ia menjadi asas dalam P&P Pendidikan Seni Visual di mana konsep-konsep Asas Senireka, Seni halus, Komunikasi Visual, Rekabentuk, Kraf, Sejarah Seni Visual menjadi sebahagian dari intipati Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni Visual. Cuma pelaksanaannya tidak bersunguh-sungguh berdasar respon masyarakat yang menganggap mata pelajaran ini terbelakang berbanding mata pelajaran lain.

Menteri Pendidikan Malaysia (1989), pernah menyatakan ”..........in accordance with the National Education Philosophy which has as its core the concept of life long education towards the developement of a morally upright person who is intellectually, spritually,emotionally and physically intergrated”..............

PENDEKATAN SOSIAL DALAM PENDIDIKAN SENI

Seni mempunyai hubungkait dengan falsafah masyarakat. Setiap produk yang dihasilkan akan diterjemah kepada falsafah dan budaya Melayu serta mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi. Hubungan rapat antara seni dan masyarakat dijalinkan melalui jaringan kasih dari simbol dan makna yang diterjemah oleh seniman.

Menurut Muliyadi Mahamood: ”....................... seni mempunyai hubungan dengan masyarakat dan biasanya ia memiliki tujuan serta arah tertentu. Dalam memahami seni kita perlu terlebih dahulu memahami kedudukan seni dalam masyarakat serta perkembangan masyarakat itu sendiri. Ciri-ciri luaran dan dalaman seni saling berhubungan serta sama-sama penting dalam mengenengahkan perkara-perkara ini. Seni dan masyarakat amat sukar untuk dipisahkan.......”

Pendidikan Seni dapat dilihat daripada pelbagai sudut. Satu daripadanya ialah dalam kontaks sosial. Seni tidak bermakna apabila tiada pemerhati ataupun penghayatnya kerana seni dipengaruhi oleh persekitaran. Seni menjadi jambatan yang menghubung antara individu dan masyarakat. Ia menghubungkan sesama manusia dan tempat serta bagaimana manusia bergantung sesama mereka. Antara aspek sosial yang terlibat ialah kumpulan keluarga, komuniti,kumpulan umur, fenomena kelas, kaum dan etnik, agama serta jantina dan baka. Semua elemen tersebut menyumbang ke arah pembangunan sosial.

Keluarga merupakan insttusi sosial yang penting walaupun kini ia tidak berperanan sebagai institusi menghasilkan produk seni. Malahan ada menyatakan masyarakat Melayu tidak lagi menjadi pencipta sebaliknya hanya sebagai pengguna. Warisan menghasilkan produk semakin terhapus. Sewajarnya melalui Pendidikan Seni inilah warisan seni budaya harus dikekalkan dan tidak pupus seperti dalam kraftangan. Umpamanya seni anyaman mengkuang, seni anyaman kelarai,seni tekat, tembikar dan lain-lain. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini. Ini disebabkan faktor perkembangan ekonomi industri di mana untuk mendapatkan sesuatu barangan kraf misalnya, boleh di dapati dengan mudah dan cepat.

Begitu juga pendapat masyarakat terhadap kefahaman kraf dan makna apresiasi serta kritikan dalam pengajaran kraf. Kewujudan kraf tangan di negara ini amat hebat dan mempunyai kepentingan. Ia dianggap sebagai lambang keperibadian bangsa Melayu, kaya dengan falsafah dan mempunyai nilai estetika yang tinggi bahkan dikagumi oleh para sarjana Barat. Terdapat pelbagai barangan kraf dalam masyarakat kita, cuma fungsinya sahaja berbeza mengikut kaum dan etnik.

Perkembangan kraf tradisional amat pesat membangun pada suatu ketika dahulu di zaman awal ketamadunan bangsa Melayu bahkan ianya mempunyai nilai dan jati diri masyarakat Melayu. Ini disebabkan suasana sosial yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Memang tidak dinafikan sesebuah keluarga pada ketika itu memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang dan akan diturunkan ilmu tersebut kepada setiap anggotanya untuk diwarisi.

Sebagai contoh labu sayong, seni batik, ukiran kayu, anyaman mengkuang dan banyak lagi barangan kraf yang lain diperturunkan ilmu berdasar keperluan dan kehendak masyarakat pada ketika itu dan bukan paksaan. Justeru ia melahirkan pandai tukang dan diteruskan kemahiran dan pengetahuan tersebut kepada generasi berikutnya. Industri pembuatan labu sayong, jika dahulu diwarisi turun temurun sebagai mata pencarian dan hanya berfungsi untuk kegunaan harian kini telah berubah menjadi produk komersial. Perusahaan labu sayong yang menerapkan nilai kesabaran semasa menghasilkan juga mementing nilai estetika dalam kandungan pembuatan telah mula diabaikan setelah teknologi moden digunakan.

Walau bagaimanapun dalam kurikulum Pendidikan Seni bidang kraf masih mendapat perhatian kerana ia memberi peluang kepada pelajar mempelajari hubungan antara bentuk, fungsi dan media. Ini perlu supaya masyarakat sekeliling tahu tentang keistimewaan produk seni dengan nilai falsafah yang dibawanya, kerana barangan kraf mahupun produk seni yang lain mempunyai nilai falafahnya yang tersendiri. Untuk mencapai kebolehan masyarakat menginterpretasikan makna melalui simbol-simbol, masyarakat kita perlu mempunyai rasa penghayatan.

Contoh lain seperti dalam seni kraf tradisi keris, keunikan pembuatan keris terletak pada hulu , sarung dan bilah mata kerisnya. Keris amat sinonim dengan masyarakat Melayu dan penggunaannya dianggap satu keperluan bagi kaum lelaki untuk menunjukkan kehebatan mereka. Kini seni warisan yang menjadi tunggak dan pusaka warisan yang dibanggakan telah hilang ditelan zaman. Bahkan berjalan membawa keris tanpa kebenaran dari pihak berkuasa juga dilarang dan menyalahi undang-undang.

Persekitaran tempat tinggal kanak-kanak mempengaruhi corak kehidupan mereka. Kanak-kanak yang tinggal di kampung dengan nilai masyarakatnya menjadi sebahagian daripada cara dan sikap mereka pada seni dan persekitaran. Mereka menghasilkan karya yang menampakkan imej dan ekspresi individu sama ada gembira, ceria atau bersedih. Mereka belajar daripada pengalaman mengenai kehidupan dalam masyarakatnya.

Masyarakat Orang Asli misalnya cintakan kesenian. Kraf yang paling hampir dengan kehidupan mereka. Fungsi kraf yang dihasilkan untuk kegunaan harian di mana mereka menghasilkan bakul untuk mengisi buah-buahan, anyaman tikar sebagai alas lantai dan sebagai. Kanak-kanak Orang Asli juga cintakan keindahan hutan yang merupakan gelanggang permainan harian mereka dengan cara memanjat pokok dan melihat air hujan turun. Jelas kepada kita mereka berinteraksi dengan persekitaran, alam dan masyarakat setempat. Secara tidak langsung menunjukkan seni adalah jambatan untuk menghubungkan kanak-kanak dengan masyarakat dan persekitarannya. Mereka kenal budaya sosial keturunan nenek moyang mereka yang diwarisi sehingga ke hari ini.

Contoh Gambar 1: Karya pelajar yang mengambil alam persekitaran sebagai tema utama, di mana hutan menjadi gelanggang permainan mereka.

Aktiviti seni juga tidak terbatas mengikut peringkat umur kerana pembelajaran adalah sepanjang hayat. Pendidikan Seni dapat dipelajari ataupun dihasilkan bermula dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Sekiranya ibu bapa serta masyarakat memahami dan menghargai seni, maka aktiviti seni boleh dilakukan secara santai. Selain mengisi masa lapang, dapat juga meningkatkan kemahiran. Sebagai contoh dalam aktiviti melukis, seseorang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seterusnya menjadikan bidang seni ini sebagai kerjaya untuk menambah pandapatan. Di samping itu dapat memupuk sikap berdisiplin,bersabar, bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Apatah lagi Pendidikan Seni menjurus kepada fungsi konstektual dan esensial untuk mendapat masyarakat yang seimbang budayanya tanpa mengenepikan warisan pusaka mereka.

Tema juga memainkan peranan dalam pengajaran Pendidikan Seni kerana ia mempunyai kaitan dengan kaum dan etnik dalam sesebuah negara. Ia turut dipengaruhi oleh ideologi kepelbagaian budaya di mana setiap kaum dan etnik mempunyai keseniannya yang tersendiri.

Dalam masyarakat Orang Melayu, daun sireh membawa lambang kasih sayang. Justeru dalam acara peminangan atau perkahwinan ia dijadikan sebagai sebahagian dari upacara tersebut. Begitu juga sekiranya tetamu datang ke rumah, sireh dihulurkan sebagai salam sejahtera dari tuan rumah. Dua unsur penting ini begitu sinonim dengan budaya masyarakat Melayu. Apa sahaja upacara yang berlangsung pastinya sireh pinang menjadi elemen penting. Ianya berperanan utama sejak zaman dahulu lagi apabila disediakan sama ada dalam upacara perkahwinan, upacara menyambut bayi, majlis melenggang perut dan banyak lagi. Daun sireh yang bertemu urat sahaja yang akan dipilih untuk perubatan dan sebagainya.

Ia menjadi falsafah ketuanan Melayu, kekuatan jiwa, penyeri majlis dan simbol ikatan “kasih sayang” serta mengembalikan roh dan jiwa kepada pesakit dalam setiap fungsi yang diungkapkan tadi.

Melihat kepada keunikan dan kepentingan daun sireh serta buah pinang ini, terdapat pelukis menjadikan dua elemen ini sebagai “subject matter” dalam penghasilan karya mereka. Realitinya apabila melihatkan sesuatu imej, kita dapat menghayati nilai-nilai dalam kandungan karya tersebut dan inilah yang mendekatkan hubungan dengan masyarakat melalui mesej yang disampaikan. Secara tidak langsung pengaruh kebudayaan mempengaruhi seni. Begitu juga dengan lain-lain masyarakat di luar sana mempunyai kepercayaan dan budaya yang pelbagai yang diwarisi turun temurun. Cuma apabila arus kemodenan datang, budaya sesuatu kaum atau etnik semakin dipinggirkan.

Contoh Gambar 2: Karya pelajar yang menunjukkan tema kasih sayang menggunakan simbol daun sireh yang membawa makna tersebut.

Mencipta karya seni adalah untuk dihayati masyarakat. Pelukis akan sentiasa berusaha untuk menyampaikan mesej dalam pengkaryaan. Ini selaras dengan Feldman(1981) yang seni berfungsi untuk masyarakat. Ia masih berperanan untuk menyampaikan aspek-aspek kehidupan dalam masyarakat. Justeru masyarakat terutama golongan artist harus sentiasa menerapkan mesej dalam penghasilan karya mereka. Ini kerana secara tidak langsung membentuk tingkah laku untuk menghayati dan menghargai budaya mereka sendiri.

Menurut pandangan Syed Ahmad Jamal; “Pada asasnya seni ialah sesuatu bentuk pengantara yang diwujudkan khusus untuk diamati melalui deria dan daya gambaran. Kalau dilihat kesan ekspresionisme yang utama ialah nilai-nilai emosi dan mistik melahirkan perasaan dan deria, sebagai suatu bentuk pengantaraan yang menyampaikan perasaan yang tegas”.

Jelas di sini seni dan masyarakat saling memerlukan dan tidak akan berkembang baik tanpa salah satu daripadanya. Melalui karya seni yang melambangkan budaya sesuatu masyarakat diharapkan dapat mendekatkan diri kepada nilai kesopanan dan jati diri masyakarat Melayu khususnya melalui karya Anita, “Bertemu Kasih”.

Perkembangan dalam masyarakat juga menjadi faktor terhadap perkembangan seni. Masyarakat yang tinggal di bandar lebih terdedah dan mudah menerima perkembangan seni berbanding masyarakat desa. Seni juga bertindak untuk menyuburkan perkembangan fizikal, emosi, jasmani, intelektual seseorang kanak-kanak atau remaja. Joseph Chiari (1997) dalam Art and Knowledge menjelaskan bahawa pengetahuan dan pendidikan seni membantu seseorang untuk mengenali persekitaran.

Sebagaimana dalam kandungan kurikulum Mc Fee (1970) yang menekankan kepada simbol sebagai mesej yang ingin disampaikan, pelajar dilatih untuk mengkaji dan membanding makna dan melalui elemen-elemen yang digubah inilah terbentuknya komunikasi antara pelajar dan masyarakat persekitarannya. Bahkan perspektif pemikiran mereka dipengaruhi oleh budaya sosial yang didukung turun temurun. Sebagai contoh dalam kesenian tradisi Melayu melihat motif pucuk rebung dalam pelbagai maksud.

Menurut D’zul Haimi Md Zain (1992) simbol-simbol yang dilahirkan akan mendukung makna. Pucuk rebung tadi amat sinonim dengan kepercayaan apabila ingin mendidik anak biarlah dari kecil supaya tidak menimbulkan masalah apabila dewasa kelak. Ini membawa maksud rebung itu bersifat lembut dan akan menjadi keras apabila menjadi buluh. Secara tidak langsung mesej bertujuan dapat mengelakkan gejala sosial yang kian menular.

Contoh Gambar 3: Karya pelajar yang menunjukkan tema melentur buluh biar dari rebung. Pokok buluh membawa pelbagai makna mengikut kepercayaan masing-masing.

Masyarakat orang Asli juga sangat percaya kepada semangat buluh. Kebanyakan rumah masyarakat Orang Asli diperbuat daripada buluh. Ini bertujuan untuk kemudahan mengadakan ’tarian sewang’ apabila menyambut sesuatu upacara. Mereka juga percaya buluh mempunyai roh dan diletakkan di dalam rumah apabila melakukan perubatan tradisional. Melalui ’spritual’ buluh ini yang akan melindungi orang yang sedang berubat tadi.

Bagi masyarakat orang Cina pula meletakkan pokok anak buluh sebagai lambang kesejahteraan. Kebanyakan rumah masyarakat orang Cina mempunyai anak pokok buluh ini sebagai tanda kesejahteraan mereka dipelihara. Jelas kepada kita design objek yang digunakan adalah sama iaitu buluh tetapi diberi makna yang berbeza oleh masyarakat orang Melayu, orang Cina dan juga orang Asli.

Begitu juga dengan permainan wayang kulit Kelantan yang semakin dilupakan padahal ianya telah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat Kelantan. Tema yang disampaikan melalui persembahan wayang kulit dengan watak pahlawan, pemerintah dan balasan atas segala perbuatan membawa gambaran pada realiti sebenar kehidupan masyarakat Melayu, di mana perlu taat pada pemerintah, sentiasa bersikap baik dan menghormati sesama manusia. Secara tidak langsung ia membentuk tingkahlaku yang positif supaya sentiasa berbuat baik semasa hayatnya. Matlamat untuk meneroka makna kebudayaan di dalam objek-objek yang diolah jelas menunjukkan bahawa manusia dan kehidupan sosial tidak dapat dipisahkan.

Masyarakat kita tidak mempunyai pengetahuan tentang ini dan menyebabkan mereka tidak pernah meletakkan kepentingan bahawa simbol dan lambang yang terdapat pada sesuatu karya itu mempunyai makna. Mereka hanya menganggap ia sebagai hiasan untuk menampakkan keindahan luaran semata-mata.

Sepatutnya peranan kita sebagai ahli masyarakat bukan sebagai pemerhati sahaja tetapi juga memiliki. Apabila kita memiliki, kita melihat karya seni secara mendalam dan mengkritik apa juga isu yang dipamerkan secara simbolik.

Justeru peranan guru Pendidikan Seni di sekolah perlu dipertingkatkan. Bukan setakat mengajar bahkan menjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan. Pelajar perlu memahami akan fungsi karya seni berkenaan. Menurut pandangan ahli falsafah dan sejarawan Hauser; ”A work or art is a challenge; we do not explain it, but we adjust ourselves to it”.

Seorang pelukis terkenal, Awang Damit mengilhamkan idea karya beliau melalui pengalaman kehidupan sosialnya. Beliau gemar menjadikan nostalgia zaman silamnya sebagai tema utama. Menggarap pengalaman hidup beliau yang pernah melalui penderitaan untuk dikongsi bersama penghayat seni. Ia dilakukan dalam bentuk simbol dan makna. Melalui karya beliau, Intipati Budaya 1 (1985),EOC Sira dan asam Jawa (1989) serta Intipati Budaya lV (1986), beliau mengolah tema yang mencerminkan latar belakang dirinya sebagai anak petani dan nelayan supaya dapat dihayati maksud yang tersirat dan tersurat. Bahkan turut mempamerkan cerminan ciri-ciri budaya tradisi serta alam semulajadi sekitar kehidupannya.

Menghayati karya-karya pelukis tanahair yang terkenal, membuat kita kembali mengingati agar kesenian Melayu ini wajar dipertahankan. Itulah antara mesej yang ingin disampaikan pada penghayat seni dalam konteks pendekatan sosial yang melingkungi budaya dan masyarakat pendukungnya. Sebagai penggiat seni, sudah pasti ada cara untuk memartabatkan kembali seni warisan ini. Supaya generasi hari ini dan generasi seterusnya mampu menghayati keindahan seni warisan bangsa Melayu.

Di Malaysia, faktor agama tidak dapat dipisahkan dengan pendidikan. Penerapan nilai-nilai murni adalah salah satu daripada bukti pertalian yang wujud. Setiap ajaran agama menekankan kepada kebaikan dibalas dengan kebaikan dan budaya menghormati sesama manusia diberi penekanan dalam mendidik anak-anak. Cara menghormati orang tua juga mengikut kepercayaan dan budaya, ada yang tunduk apabila meminta laluan, ada yang tangan diletakkan di dada dan pelbagai gaya mengikut etnik masing-masing. Walaupun terdapat perbezaan budaya tapi nilai positif yang ditekankan adalah sama untuk membangunkan sosial masyarakat sesuatu tempat. Dalam kurikulum Pendidikan Seni, guru perlu bijak kerana dalam pengajaran kraf tidak memasukkan kraf semua kaum dan ini boleh mengundang rasa tidak puashati di kalangan pelajar yang terdiri dari berbilang bangsa.

Guru sebagai agen perubahan perlu menekankan aspek seni dalam budaya sebagai topik pembelajaran kerana semua penghasilan karya menekankan tentang seni dalam masyarakat dari sudut budaya yang dimiliki turun temurun dan kecenderungan mereka terhadap warisan budaya mencernakan idea-idea yang ada hubungkaitnya dengan nilai sosial kehidupan persekitaran mereka.

Demikian antara beberapa elemen yang dikupas yang menjadi titik tolak kepada perubahan dalam pembangunan sosial. Guru Seni merupakan agen kepada perubahan sosial dengan menyumbang kepada transformasi budaya tampak yang umum, kerana melaluinya pelajar belajar melihat dunia. Perubahan berlaku sama ada secara sengaja atau tanpa disedari. Seni juga penting sebagai transformasi sosial yang melibatkan perkembangan biologi, transformasi teknologi dan pembentukan budaya.

Menurut Robert A.Ott dari Pennsylvania Art Educator menyatakan; seni merupakan sesuatu yang dikaitkan dengan persekitaran dan masyarakat. Guru Seni pula adalah sesorang ahli falsafah, penulis, ahli sejarah dan artist yang kreatif. Pendidikan Seni telah menjadi suatu pendidikan jangka hayat. (life learning process)

Seni juga mengalami evolusi kerana kehendak yang berbeza mengikut umur masyarakat. Masyarakat warga tua lebih berminat dengan seni dan kelapangan waktu tersedia berbanding dahulu tidak memperoleh peluang mempelajari kerana kesibukan bekerja.

Menurut Ott lagi, ” seni melibatkan proses pembelajaran tentang tamadun dan budaya sesuatu etnik dan bangsa. Seni sebagai refleksi pemikiran golongan intelektual dari zaman berzaman. Mesej yang disampaikan dalam sesuatu seni boleh dipertahankan dalam jangka masa lama dan asas kepada pemahaman tentang sesuatu budaya, etnik dan sesuatu golongan masyarakat...” (telah diterjemahkan dari bahan internet).

Beliau juga berpendapat, seni mungkin menjadi asas kepada segala jenis pembelajaarn (centre of learning). Melaluinya kita boleh mengetahui tentang cara pemikiran, emosi, adat dan istiaat masayarakt dan pemahaman ini terus berkembang.

Menurut Ralph Smith (2006) dalam tulisan beliau, ”Culture And The Arts in Education menyatakan;

”.......................seni mempunyai kaitan dengan proses pembentukan perwatakan seseorang manusia. Ini kerana untuk menghasilkan seni ia perlukan tahap kestabilan, konsentrasi, disiplin, kreativiti dan tamadun yang tinggi dan memuaskan. Seni melibatkan proses komuniti, kesinambungan dan kritikan serta pendidikan falsafah yang akan dilalui oleh seseorang individu. Dalam kontaks sosial ini dapat diperjelaskan kepada kita bahawa pendidikan tentang seni amat berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka sehingga boleh menghasilkan ”seni yang excellent”, terutama jika ia melibatkan pengalaman estetik seseorang individu.

Melalui Pendidikan Seni juga boleh memupuk sikap kesedaran tentang ciri-ciri kemanusiaan dan menggunakan seni untuk mengekspresi pandangan, dilema dan peribadi kepada masyarakat. Seni hakikatnya suatu subjek yang sangat berkuasa sehingga boleh menyebabkan ”social change”. Contoh-contoh seni juga telah mengubah pandangan manusia tentang sesuatu isu atau kejadian yang berjaya menimbulkan kesedaran tentang kemanusiaan di kalangan manusia. (Guernica-Picasso)

Contoh Gambar 4: Persekitaran mereka amat berkait rapat dengan kepercayaan tentang unsur-unsur animisme(semangat) malahan menjadi budaya kehidupan mereka terutama dalam perubatan tradisional.

Menurut Kerry Freedman dalam pembentangan kertas kerja beliau di Konferens Persatuan Pendidikan Seni Pennsylvania (2001); beliau melihat Pendidikan Seni dari perspektif sosial iaitu jika seni diajar tanpa memasukkan nilai-nilai dan pandangan sosial terhadap seni maka ianya cuma menjadi suatu pengajaran dan pembelajarn seni semata-mata kerana perspektif kurikulum tetapi seni juga harus dipandang dan diinterpretasikan dengan sifat-sifat sosial seperti jantina, bangsa, etnik, bakat istimewa, budaya, sosioekonomi, keadaan politik, alam sekitar dan perasaan manusia. Ini kerana seni adalah kompleks mempunyai unsur kepelbagaian dan mewakili sesuatu budaya. Justeru tujuan seni dan asal usul seni hanya boleh difahami jika seseorang melihat seni dari perspektif sosial.

Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:

a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual

b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni

c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni

d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek

e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent

f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni

g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina

Kesimpulannya di sini dalam kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah, susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni dan falsafah masyarakat.

STRATEGI DAN PELAKSANAANNYA: TEORI MC FEE

Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)

Mc Fee(1970) menekankan kepekaan terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni . Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:

a) Kajian dan bandingan makna iaitu kanak-kanak mengenal objek serta

bandingan objek melalui soalan-soalan yang dibina.

b) Belajar membaca mesej iaitu makna dan nilai pada objek mengaitkan makna

dengan nilai.

c) Kajian komunikasi antara penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.

d) Kajian dari perspektif individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.

Seni telah diterima oleh masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.

Teori beliau lebih komprehensif berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya.”…kanak-kanak melukis sebagaimana yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan oleh semua”.

Mengikut teori ini kebudayaan adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi dan dipertahankan melalui seni tampak.

Bagi mencapai objektif bagaimana Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;

a) Memberi peluang mengetahui pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.

- Pendekatan ini boleh memberi ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.

b) Membuat penyelidikan dan membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan rujukan.

- Dalam seni kritikan, pengkritik seni berperanan menceritakan apa yang berlaku

di sebalik terhasilnya sesuatu karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan

bercahaya selepas digilap oleh pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan

pengkritik seni perlu jujur dalam kritikannya. Secara tidak langsung

menerapkan rasa penghayatan masyarakat terhadap sesuatu karya yang

mengandungi simbol dan makna yang cuba disampaikan.

c) Memerhati seniman menyusun objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol dan makna.

- Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dengan adunan warna dan teknik memperlihatkan satu kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu manifestasi kejujuran. Seni berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat).

Edmund Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang berkesan kepada masyarakat.

Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.

d) Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan

memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa

seni visual.

- Manusia mempunyai emosi dan perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri.

Contoh Gambar 5: Karya ini menunjukkan luahan rasa mereka melalui emosi dan perasaan terhadap isu pempupusan penyu, iaitu spesis haiwan yang sepatutnya dipelihara. Tafsiran idea di sini boleh membawa maksud protes di atas apa yang berlaku.

e) Membandingkan berbagai tafsiran yang digunakan dalam tema dan pilihan ’subject matter’ yang dipilih. Ini membolehkan sesuatu tajuk itu dikembangkan kepada isu-isu yang lebih luas untuk diterokai. Seterusnya boleh juga dimasukkan kesan dari sudut sosial dan ekonomi.

- Tidak semua anggota masyarakat mempunyai tafsiran yang serupa bagi sesuatu imej yang sama. Masyarakat mentafsirnya dengan pelbagai pandangan berdasar perbezaan pengalaman, umur, jantina, persekitaran dan beberapa faktor lain. Dari sini secara disedari atau tidak penghayat diajak meneroka idea-idea yang telah diolah dalam menyampaikan makna di sebaliknya. Ini juga bertujuan supaya penghayat tidak melihat seni itu sebagai satu hiburan kosong semata-mata.

f) Penggiat seni perlu sentiasa merancang aktiviti yang merangkumi bidang perkara, tema, media/bahan, hasil fungsi, rekabentuk dan gaya.

- Aktiviti kesenian perlu banyak sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sebagai. Ini kerana seni mampu mengupas isu permasalahan yang dipaparkan oleh seniman. Melalui aktiviti seni ini juga mampu membawa masyarakat menyelami erti kehidupan yang sebenarnya. Masyarakat seharusnya mendekati seniman untuk menimba semua ilmu itu. Di bahu seniman terletak satu tanggungjawab sosial yang berat. Ini kerana seniman bukan lagi berkarya untuk keseronokan sendiri tetapi selebihnya untuk menjana fikiran masyarakat. Masyarakat perlu didedahkan bagaimana cara menghayati ’nature’ nya.

g) Peminat seni dan pengkritik seni perlu peka dengan isu persekitaran dan semasa kerana ianya melibatkan pengurusan diri (perasaan), tindakbalas, warisan artistik dalam konteks seni dalam masyarakat.

- Ini adalah kerana seni melambangkan tamadun dan budaya sesuatu masyarakat,

justeru warganegara diajar menggunakan seni bagi menyatakan hasrat, idea,

nilai dan pandangannya mengenai pelbagai bidang kehidupan yang dialaminya.

Secara tidak langsung penghargaan terhadap warisan budaya dapat dipupuk.

PENUTUP:

Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.

Di harapkan melalui Pendidikan Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini.

Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.


4 comments:

  1. Assalamualaikum.. Puan saya mmpunyai kputusan yg cemerlang dalam paper seni visual dari PMR,SPM dan STPM. Tetapi tidak dapat mnyambung pelajaran ke IPTA dlm bidang2 berkenaan tersebut disbbkn bukan warganegar,wal hal sy sngat mminati bidang ini. :(

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.. bleh tau rujukan utk atikal saudari? leh sy guna utk kajian saya

    ReplyDelete