LAMAN SENI

My photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Monday, August 15, 2011

”PENGALAMAN PENDIDIKAN SENI MEMBANTU MENINGKAT KREATIVITI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL MASYARAKAT” BY-SITI HAYATI

Mengapa ramai yang memandang remeh atau tidak mengendahkan langsung mata pelajaran seni? Seringkali kita mendengar mata pelajaran seni dipertikaikan. Sama seperti mata pelajaran Matematik, Biologi atau Sains Sukan, Seni juga mempunyai kepentingannya. Malah ia membantu dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia memberi info atau maklumat, mengembangkan minat dan memperluaskan pengalaman pelajar.

Mengapa kita sering berpendapat seseorang itu dilahirkan kreatif? Hakikatnya kreativiti boleh dipelajari. Terdapat banyak kerjaya yang berkaitan dengan seni, seperti pengiklanan, arkitek, juruhias dalaman dan banyak lagi yang ada kaitannya dengan cabang-cabang seni. Kemahiran berfikir secara abstrak akan banyak membantu dalam kehidupan. Seni juga bukan setakat terbatas pada Seni Visual dan Lukisan sahaja tetapi ia ada kaitannya dengan falsafah dan pelbagai bidang yang lain.

Seni dan sosial mempunyai hubungan simbolik untuk digabungkan sebagai kurikulum intergrasi iaitu memerlukan kefahaman terhadap ilmu kemanusiaan dan pengalaman manusia. Justeru untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik, dan ekonomi sesuatu masyarakat.

Pelajar diharap dapat mengamal pertimbangan seni visual, meningkatkan kepekaan serta mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai positif seterusnya menerap budaya menghargai serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi kerana seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia

Mengapa kita sering berpendapat seseorang itu dilahirkan kreatif? Hakikatnya kreativiti boleh dipelajari. Terdapat banyak kerjaya yang berkaitan dengan seni, seperti pengiklanan, arkitek, juruhias dalaman dan banyak lagi yang ada kaitannya dengan cabang-cabang seni. Kemahiran berfikir secara abstrak akan banyak membantu dalam kehidupan. Seni juga bukan setakat terbatas pada Seni Visual dan Lukisan sahaja tetapi ia ada kaitannya dengan falsafah dan pelbagai bidang yang lain. Menurut Mark Smith, ”seni ialah IQ dan berfikir”. Belajar untuk berfikir bunyinya unik, menarik dan dinamik.

PENGERTIAN KREATIVITI:

Apakah yang dimaksudkan dengan kreativiti? Dapatkah orang mengembangkan kreativiti? Banyak kajian telah dilakukan mengenai konsep ini dan banyak juga jawapan yang diperolehi, bergantung kepada latar belakang profesonal penelitinya. Setiap jawapan yang diberi berbeza berdasar aspek-aspek tertentu.

Norwegia Gunvor Rand merangkumkan konsep kreativiti iti sebagai;

”Kreativiti adalah proses di mana seorang individu, sebagai hasil dari kemampuan dan kesempatan peribadinya serta dalam interaksinya dengan lingkungannya akan mencari produk baru atau original yang memadai untuk situasi yang bersangkutan....Produk ini dapat bersifat konkrit ataupun abstrak(Rand 1981:6)

Penting untuk disedari bahawa kreativiti adalah sebuah proses. Ada dua jenis utama kreativiti iaitu kreativiti intuitif dan kreativiti analitik. Kreativiti intuitif adalah jenis kreativiti yang terjadi secara spontan melalui penambahbaikan. Kreativiti analitik pula adalah apa yang kita gunakan, yang apabila kita merancang untuk tujuan yang telah ditetapkan. Proses kreatif biasanya akan menggabungkan kreativiti intuitif dan analitik.

Kreativiti berasal daripada perkataan Latin iaitu ”creare” yang membawa maksud ”membuat”, manakala daripada perkataan Greek pula ”creare” bermaksud ”memenuhi”. Kamus Dewan(2002) mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan atau kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan.

Kreatif pula sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Kesimpulannya kreativiti adalah kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli. Terdapat juga yang mentakrifkan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tiada sebelumnya.

Ellis Paul Torrance atau lebih dikenali sebagai Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang tersohor dalam bidang kreativiti. Karya-karya penyelidikannya dalam mendalami bdang ini telah berjaya mengembangkan bidang kreativiti dan beliau telah diiktiraf dengan gelaran Bapa Kreativiti. Terdapat beberapa pendapat daripada tokoh Seni Visual tentang kreativiti. Antaranya adalah;

a) Lowenfeld(1975) percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Penyataan ini disokong dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka dan penuh dengan perasaan ingin tahu.

b) June King McFee pula mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru dan pada masa yang sama mampu mengolah idea.

c) Carl Rogers pula menggariskan 5 faktor di mana ianya mendorong kepada pembetulan kreativiti sama ada dalam bidang seni atau sains.

i) keterbukaan dan fleksibel kepada pengalaman

ii) menikmati kehidupan yang dialami

iii) menghargai diri sendiri

iv) mengamalkan kebebasan

v) menjadi individu yang peka dan sensitif dengan persekitaran

CIRI-CIRI KREATIVITI:

a) Bersifat fleksibel – seseorang yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dirinya dalam pelbagai keadaan dan situasi selain mempunyai keyakinan optimis.

b) Sensitif dan peka – individu yang mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap keadaan sekeliling termasuk gaya hidup, keperluan, perselkitaran dan turut sensitif menggunakan deria.

c) Idea yanga sli dan tulin – seseorang yang kreatif sering mengemukakan idea yang asli dan bukan diambil daripada lain-lain sumber. Idea mereka unik dan menarik tanpa unsur ciplak. Hasil kerja mereka berdasar cetusan rasa dan sering berbeza daripada biasa.

d) Bersifat terbuka – mempunyai sifat keterbukaan di dalam menertima pandangan dan pendapat orang lain mengenai hasil kerja mereka malahan bersifat bebas dan demokratik.

e) Logik – peka dan sering berfikir secara logik dan rasional dan tahu membezakan baik atau buruk sesuatu perkara itu bahkan sangat menghargai dan menghormati masa.

f) Berfikiran bebas – golongan kreatif ini mempunyai daya pemikiran yang tidak terkongkong pada satu perkara sahaja sebaliknya bijak merancang projek agar berjalan lancar. Orang kreatif lazimnya sangat berhati-hati dan bijak membuat keputusan.

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI:

a) Perkembangan Kreativiti Fisher

i) Peringkat Rangsangan – merangsang minda pelajar dengan pelbagai soalan kritikal seperti apa, mengapa, siapa, bagaimana dan lain-lain.

ii) Peringkat Penerokaan – peringkat rangsangan telah berjaya merangsang pelajar untuk berusaha menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru berdasar permasalahan yang timbul.

iii) Peringkat Perancangan – menggalakkan pemikiran kreatif untuk merancang dan memetakan semua aktiviti dan merekodkan segala kemungkinan. Aktiviti pada peringkat ini akan dilakukan melalui 3 cara iaitu;

· perancangan secara verbal melalui perbincangan, pemerhatian, interaksi dan sebagai.

· Perancangan secara visual melalui visual, graf, imej lukisan dan sebagai.

iv) Peringkat Aktiviti – bermula dengan set idea. Untuk melahirkan pemikiran kreatif perlu merancang segala aktiviti. Pada peringkat ini segala perancangan dibantu melalui persoalan-persoalan seperti ,”bagaimana harus kita mengambil tindakan ke atas cadangan tersebut?”.

v) Kajian semula – peringkat ini menilai keberkesanan tindakan yang telah diambil bagi proses penambahbaikan selain melihat pencapaian objektif kerja. Pelajar digesa memberikan pendapat dan komen terhadap apa yang telah dilalui sebagai satu bentuk refleksi diri.

b) Laura H.Chapman meletakkan 3 kaedah iaitu;

i) Kaedah penjanaan idea(inception of idea) – dalam penjanaan sesuatu idea, pengkarya perlu menetapkan objektif, haluan dan tujuan penghasilan karya.

ii) Pengolahan dan pemurnian(elaboration and refinement) – proses pengolahan dan pemurnian idea dilakukan bagi mendapatkan kajian visual yang lebih sistematik dan tersusun. Proses ini untuk memastikan imej atau visual yang hendak dihasilkan atau dipilih bertepatan dengan tema dan objektif penghasilan.

iii) Kemahiran menggunakan bahan (execution in a medium) – bimbingan penggunaan bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan diberikan melalui demonstrasi dan tunjukcara supaya pemilihan bahan mempunyai makna dan nilai tersendiri.

c) Calvin W.Taylor

i) Kreativiti bersifat ekspresif – berlaku secara rawak dan bebas. Keadaan ini boleh dilihat melalui lukisan kanak-kanak yang dihasilkan secara spontan dan bebas mengikut kemampuan sesuai dengan perkembangan fizikal yang belum stabil. Pada peringkat ini gambaran melalui garisan dan contengan mudah.

ii) Kreativiti melalui penghasilan – proses penambahbaikan kemahiran sedia ada kepada kaedah yang lebih sistematik dan tersusun rapi.

iii) Kreativiti bersifat inventif – merujuk kepada keupayaan mencipta benda atau objek melalui proses eksperimentasi. Pada peringkat ini motoivasi dan galakan diberi untuk mengelakkan rasa bosan dan putus asa.

iv) Kreativiti bersifat inovatif – melibatkan pengubahsuaian kepada konsep-konsep asas sedia ada kepada idea baru yang lebih bermakna.

v) Kreativiti bersifat emergen – bentuk kreativiti tertinggi di mana keseluruhan prinsip formal diterjemahkan dan muncul dalam bentuk abstrak dan mudah. Sebagai contoh, figura manusia yang digambarkan tanpa menitikberatkan bentuk formal dan asalnya.

PENDIDIKAN SENI DAN KELEBIHANNYA :

Pendidikan Seni banyak mempersiapkan individu untuk ke dunia kerjaya. Ramai pendidik berpendapat seni wajar dijadikan mata pelajaran teras di sekolah. Ramai berpendapat seni mempunyai potensi untuk dikembangkan. Seni dapat membantu dalam pelbagai bidang. Menurut Hanna (1994), seni membantu dalam;

a) kerjasama dan kasih sayang

b) merancang dan melaksanakan

c) kemahiran berfikir

d) adaptasi dengan orang lain

e) mengembangkan bakat

f) mengambil risiko

g) membuat keputusan

h) harga diri/yakin diri

i) semangat kerjasama

j) kemahiran menyelesaikan masalah

k) perkembangan emosi

l) membina kreativiti

m) disiplin diri

n) menjadi rakyat yang baik

o) menjadi seorang dewasa yang berdikari

p) meluahkan perasaan

Cara pembelajaran yang terbaik ialah melalui seni. Kemahiran berfikir secara abstrak dan kemahiran kreatif boleh dirangsang melalui mata pelajaran seni. Hidup pada hari ini terlalu banyak maklumat. Amat mustahil untuk kita memperoleh dan menyimpan semua info atau maklumat. Seni berbeza kerana ia bersifat abstrak. Kadangkala apabila kita melihat lukisan sahaja, kita akan berasa tenang. Jelas kepada kita, seni sebagai ekspresi diri. Proses memupuk dan mengembangkan kreativiti para pelajar boleh dilakukan dalam seni melalui:

a) Penyoalan – rangsangan melalui proses penyoalan melalui sesi kritikan seni.

b) Penemuan – penemuan baru melalui penyelidikan dan kajian.

c) Pemerhatian – tidak hanya tertumpu kepada deria pengamatan semata-mata sebaliknya turut melibatkan deria sentuhan dan sebagai.

d) Percubaan – usaha berterusan bagi mendapatkan hasil terbaik. Individu kreatif akan terus bereksperimentasi bagi mendaptkan kesan dan hasil yang diinginkan.

e) Penerokaan – penerokaan dan eksplorasi merujuk kepada galakan untuk memanipulasi pelbagai barangan dan alat yang terdapat di sekeliling.

f) Memanipulasi – menggunakan objek dan bahan yang terdapat di sekeliling untuk dijadikan hasilan seni.

g) Aktiviti/bermain – kreativiti dapat dirangsang melalui aktiviti bermain melalui permainan yang berbentuk akademik.

Namun begitu Seni tidak diberi kepentingan yang sepatutnya di sekolah-sekolah. Tidak ramai guru yang berkelulusan dan berkelayakan mengajar seni di peringkat rendah. Hakikatnya Seni bersifat subjektif , dan bukan semua guru boleh mengajar seni. Ia tidak bersifat fakta malahan terdapat guru-guru yang tidak kreatif dan tiada kemahiran dalam seni dipaksa mengajar seni. Ini memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak didiknya Disebabkan seni itu sifatnya abstrak maka tiada istilah tentang lukisan yang betul atau yang salah. Jawapan boleh diberi berdasar kreativiti dan pengalaman seseorang individu menginterpretasi tentang lukisan itu sendiri. Seni bnayak memberi manfaat kepada para pelajar. Ia tidak boleh diukur secara objektif.

Patricia James (1999), menyatakan pelajar belajar kemahiran kreatif dan kritis melalui seni ini. Seni dianggap sebagai terjemahan metafora dan ekspresi emosi sama juga seperti sastera dalam bentuk tulisan. Untuk mendapat kemahiran dalam seni, seseorang perlu berani bermain dengan pengetahuan, pengalaman dan perasaan.

James dalam ”Ideas in Practice (1999), menyatakan seni mengasah bakat kreativiti dan kemahiran kritikal. Kini kreativiti boleh diajar dalam bilik darjah. Realitinya seni mempunyai tujuan dan proses yang terkandung di dalamnya tiada kesudahan. Justeru guru perlu kreatif untuk mengcungkil bakat dan potensi pelajar. Pendekata seni membantu individu dalam aspek-aspek tertentu.

Selain dari itu keaslian dan pemikiran yang tajam dilabelkan sebagai ”gifted child” (individu yang berbakat/berpotensi). Adalah menjadi satu kesukaran untuk mengajar individu yang ”gifted” kerana mereka mudah dan cepat berasa bosan. Ini kerana gifted child boleh belajar proses idea-idea yang lebih kompleks dan berupaya mengolahnya dengan menggunakan konsep tersendiri. (dipetik dari Education of Gifted).

”Gifted student” mempunyai keperluan-keperluan yang berbeza dengan pelajar biasa. Pelajar dari kumpulan ini akan mudah merasa bosan jika kurikulum tidak sentiasa diperbaharui. Ini kerana kumpulan pelajar ini sentiasa ingin terus mempelajari sesuatu yang sentiasa baru. Berdasar dapatan melalui jurnal-jurnal pendidikan, kebanyakan negeri di US manyatakan 5 % hingga 10% daripada pelajar mereka adalah gifted. Selaras dengan perkembangan teknologi moden, kini pembelajaran jarak jauh, e-learning, video conference, semuanya memudahkan seseorang untuk mendapatkan segulung ijazah. Malahan soalan-soalan boleh diajukan melalui panggilan telefon sahaja.

PENGARUH SENI DALAM AKADEMIK

Pendidikan Seni juga dapat membantu pelajar-pelajar yang berisiko. Alkema (1971) menjelaskan bagaimana seni boleh membantu pelajar yang kekurangan. (OKU). Seni boleh membantu pelajar berfikir sendiri, ekspresi diri, perkembangan mental dan penemuan-penemuan idea baru, mencari penyelesaian baru, kesedaran mental, pemerhatian dan imbas semula pengalaman-pengalaman masa lalu. Seni membantu individu menyelesaikan konflik diri.

Menurut satu kajian, pelajar yang mengambil mata pelajaran seni lulus dengan keputusan 100%. Apa yang menariknya dalam kajian ini pelajar-pelajar yang cenderung gagal telah lulus dalam mata pelajaran ini. Para pendidik telah berpendapat bahawa apabila kita menggunakan lebih daripada satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) iaitu lisan, penglihatan dan kinestatik, pengukuhannya adalah jauh lebih baik.

Kesabaran dalam seni mengajar seseorang individu agar sabar, dan terus berusaha dalam mata pelajaran yang lain. Seni sebagai satu mata pelajaran yang menarik dan memberi ruang untuk ekspresi diri tetapi perlu juga berdisiplin dan bertanggungjawab. Sebagaimana yang kita ketahui selain kekuatan yang ada dalam mata pelajaran seni ini, ia juga merupakan satu mata pelajaran yang adventure atau mencabar dan indah. Justeru, seni perlu kepada seseorang yang kebal dengan kritikan

John Adams (2000) pernah berkata, seseorang individu itu sering berkonflik dengan keinginan diri sendiri dan kita semua sering mengaitkannya dengan wang ringgit dan kehendak. Pada pendapat kita apa-apa yang tidak memberikan pulangan wang ringgit adalah tidak berguna. Tetapi seni merupakan sesuatu yang unik dan menarik yang patut dipelajari. Kita tidak boleh mengabaikan pendidikan seni di sekolah. Dulu seni hanya dipelajari oleh golongan bangsawan yang kaya raya, tetapi kini seni boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, semua golongan tidak kira miskin ataupun kaya. Adalah satu kerugian jika tidak mempelajari seni kerana ianya sesuatu yang cukup bermakna dalam menjalani kehidupan seharian..

Seni kini boleh dipelajari di sekolah-sekolah menengah dan wajar ianya diwajibkan sebagai mata pelajaran teras atau utama di sekolah-sekolah menengah. Tetapi ada yang tidak dapat menerima seni dengan alasan ianya tidak sesuai dan agak lucah. Ini kerana kadangkala gambar-gambar bogel atau separa bogel sering disalah ertikan. Punca keadaan ini adalah disebabkan pengetahuan tentang seni terlalu cetek dan mereka tidak lihat seni itu sebagai sesuatu yang bermakna penuh dengan simbol-simbol atau metafora (perlambangan).

Hasil seni dan produk seni sebenarnya hasil dari pengumpulan idea, emosi, perasaan dan dibantu dengan ilmu-ilmu lain maka tercipta hasil seni yang dibanggakan. Justeru seni amat penting dalam kehidupan mereka dan merupakan sebahagian dari kehidupan. Cuma menjadi persoalan apabila pendedahan seni itu tidak diperjelaskan secara langsung kepada masyarakat. Perlakuan negatif dari pengamal menyebab seni diperlekehkan. Sedangkan seni sebagai agen perubahan masyarakat dan bukan hanya untuk golongan lemah sahaja. (pelajar lemah)

Justeru guru yang baik dan berkesan dalam P&P Pendidikan Seni akan menjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan seni. Ini diperjelaskan oleh Robinson (1990);

”.................... making and appraising are both.... of equal and fundamental importance in art education: each is important in itself”...............

HUBUNGAN SENI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL

Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).

Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranan Pendidikan Seni yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.

Seni juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.

Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara.

Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.

Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.

Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:

a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual

b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni

c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni

d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek

e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent

f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni

g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina

Kesimpulannya di sini dalam kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah, susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni dan falsafah masyarakat.

MENINGKATKAN KREATIVITI DALAM EKSPRESI SENI : TEORI MC FEE

Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)

Mc Fee(1970) menekankan kepekaan terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni . Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:

a) Kajian dan bandingan makna iaitu kanak-kanak mengenal objek serta

bandingan objek melalui soalan-soalan yang dibina.

b) Belajar membaca mesej iaitu makna dan nilai pada objek mengaitkan makna

dengan nilai.

c) Kajian komunikasi antara penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.

d) Kajian dari perspektif individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.

Seni telah diterima oleh masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.

Teori beliau lebih komprehensif berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya, ”…kanak-kanak melukis sebagaimana yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan oleh semua”.

Mengikut teori ini kebudayaan adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi dan dipertahankan melalui seni tampak.

Bagi mencapai objektif bagaimana Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;

a) Memberi peluang mengetahui pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.

- Pendekatan ini boleh memberi ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.

b) Membuat penyelidikan dan membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan rujukan.

- Dalam seni kritikan, pengkritik seni berperanan menceritakan apa yang berlaku

di sebalik terhasilnya sesuatu karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan

bercahaya selepas digilap oleh pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan

pengkritik seni perlu jujur dalam kritikannya. Secara tidak langsung

menerapkan rasa penghayatan masyarakat terhadap sesuatu karya yang

mengandungi simbol dan makna yang cuba disampaikan.

c) Memerhati seniman menyusun objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol dan makna.

- Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan

seniman mengolah idea dengan adunan warna dan teknik memperlihatkan satu

kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu manifestasi kejujuran. Seni

berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat).

Edmund Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang berkesan kepada masyarakat.

Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.

d) Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan

memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa

seni visual.

- Manusia mempunyai emosi dan perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri.

Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.

Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya. Bagaimana budaya tercipta? Tentulah melalui seni warisan bangsanya.

PENUTUP:

Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.

Di harapkan melalui Pendidikan Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini.

Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.

6 comments: