LAMAN SENI

My photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Saturday, August 8, 2009

BUDAYA PEMIKIRAN PELAJAR ORANG ASLI MEMBANTUT PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DISMK TAPAH.CADANGAN MENGATASI

PENDAHULUAN:
Apabila membicarakan tentang budaya pelajar Orang Asli, kita tidak dapat lari daripada isu pembangunan dan budaya pemikiran komuniti Orang Asli yang masih dibelenggu struktur persekitaran dan sosial masyarakat Orang Asli.
Daripada sudut pandangan pentadbir, kemunduran pelajar Orang Asli berpunca daripada sikap komuniti Orang Asli itu sendiri. Justeru beberapa pendekatan telah dirancang dan dilaksanakan namun terus gagal menemui jalan penyelesaian.

DEFINISI BUDAYA DAN BUDAYA PEMIKIRAN PELAJAR ORANG ASLI:
Merujuk kepada Kamus Dewan, Budaya ialah;
a) Tamadun
b) Peradaban
c) Kemajuan fikiran, akal budi(cara berfikir, berkelakuan). Secara umumnya budaya pemikiran Orang Asli boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu dari aspek kognitif, afektif dan behavioural.
i) Aspek Kognitif:
Merupakan idea dan pemikiran berkaitan dengan cara bagaimana mengatasi masalah. Kemelut budaya sensitif dan malu meminta bantuan guru untuk mengatasi masalah-masalah pembelajaran menyebabkan pelajar Orang Asli terus memendam perasaan tanpa berusaha mengatasi masalah yang dihadapi. (Alang Sabak, NGO : Orang Asli)


ii) Aspek Afektif:
Melibatkan perasaan (emosi) dalaman pada individu Orang Asli yang kita tidak ketahui. Seandainya guru tidak meratakan jurang kepimpinan ketika berada di sekolah yang mempunyai majoriti pelajar Orang Asli, di mana guru melakukan proses pengajaran dan pembelajaran sekata antara pelajar Orang Asli dan bukan Orang Asli, golongan pelajar Orang Asli ini akan ketinggalan jika mereka tidak memahami sesuatu kerana budaya yang diwarisi mempengaruhi mereka untuk terus berdiam diri dan memendam rasa tanpa reaksi bahkan jika mereka berasa telah tersinggung dengan kata-kata guru khususnya di sekolah, mereka akan menyampaikan perilaku guru tersebut kepada ibubapa. Ibubapa pelajar Orang Asli mudah percaya dengan aduan anak mereka dan ini menyumbang kepada faktor ponteng sekolah seterusnya akan mematikan minat untuk belajar.
iii) Aspek Behavioural
Ini berkaitan dengan tingkahlaku/reaksi yang tidak nampak, sikap atau budaya Behavioural yang negatif ini tidak akan ditunjukkan secara realiti. Antara ciri-ciri tingkahlaku mereka adalah seperti berikut;
a) Pemalu dan berasa rendah diri. Ini menyebabkan kurang keyakinan diri di kalangan pelajar Orang Asli ini.
b) Mencintai kesenian, oleh kerana itu sekiranya ada persembahan untuk sesuatu upacara sama ada Hari Ucapan, Hari Sukan/Kokurikulum dan sebagai mereka paling suka mengambil bahagaian terutama dalam Tarian Sewang dan nyanyian. Pelajar asli kebanyakannya boleh bermain alat muzik seperti gitar dan dram.
c) Pelajar Asli lebih suka bersantai dan tidak suka dikongkong. Masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti memanjat pokok. Mereka paling gemar jika dapat menikmati hari hujan. Disebabkan keadaan seumpama itu, mereka tidak menitik- beratkan pendidikan, kesihaan dan kebersihandiri.
d) Namun begitu masyarakat Orang Asli amat mementingkan warisan kraftangan, sambil bersantai mereka akan melakukan sesuatu aktiviti yang ada kaitan dengan produk seni, untuk hiasan juga kegunaan seharian.
e) Sikap masyarakat Orang Asli yang tebal dengan kepercayaan ’animisme’, percaya kepada kuasa ghaib dan berpegang teguh kepada adat. (Hukum Sayeit).
Justeru faktor-faktor dalaman (budaya pemikiran) inilah seharusnya diselami oleh guru dan pihak pentadbir untuk menjadikan sifat kognitif, afektif dan behavioural pelajar Orang Asli menjadi positif dan mampu bersaing dengan pelajar daripada komuniti lain.

FAKTOR -FAKTOR MEMPENGARUHI BUDAYA PEMIKIRAN ORANG ASLI:
Antara beberapa faktor utama yang memberi kesan terhadap budaya pemikiran Orang Asli ialah seperti berikut:
a) Hukum Sayeit- ibubapa mesti mengikut kerenah anak-anak untuk mengelakkan mereka jatuh sakit atau ditimpa bencana. Masyarakat Orang Asli amat sayang kepada anak-anak mereka dan mengikut semua kehendak anak adalah perkara utama dalam kehidupan mereka. Kesan negatif kepada anak-anak menjadikan mereka terlalu manja dan boleh berbuat sesuka hati termasuk tidak hadir ke sekolah.
b) Masyarakat Orang Asli yang sudah berada dalam ”zon selesa”-mereka tidak perlu membayar sebarang cukai tanah atau pintu, tidak perlu membeli barangan keperluan seperti makanan dan minuman kerana bertani dan berburu merupakan sumber mata pencarian mereka. Kesan negatif kepada pelajar Orang Asli, mereka tidak perlu tahap pencapaian akademik yang tinggi dan cemerlang. Ini kerana tanpa perlu bersusah payah belajar pun mereka masih mampu mendapat makanan, minuman dan keperluan lain seperi ibubapa mereka.
c) Sikap masyarakat Orang Asli yang mudah tersinggung(sensitif) – pertuturan perlu sentiasa dijaga kerana masyarakat Orang Asli tidak fasih berbahasa Melayu kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kehidupan mereka. Kesan negatif kepada pelajar Orang Asli, apabila ditegur guru mereka berasa cepat tersinggung dan situasi ini mendorong kepada masalah ponteng sekolah pula.
d) Mendapat hasil tangkapan dari berburu dan bertani dalam tempoh singkat tanpa perlu menunggu lama - ibubapa pelajar Orang Asli mendapat keperluan seharian dalam tempoh sehari, pergi pada waktu pagi dan akan membawa pulang hasil pada sebelah petang. Begitu juga jika memancing, sebelum petang hasil tangkapan sudah diperolehi. Paling lama menanam padi dalam tempoh 3-6 bulan sudah mendapat hasil tuaian. Begitu juga hasil hutan yang mudah didapati. Kesan negatif kepada pelajar Orang Asli ialah mereka perlu menghabiskan masa dalam dunia pendidikan sekurang-kurangnya 15 tahun atau lebih yang sememangnya jangka masa panjang yang tidak digemari oleh mereka. Minda mereka telah terpengaruh dengan cara kehidupan keluarga mereka.
e) Kebebasan tanpa peraturan– satu lagi kegiatan yang dianggap mempengaruhi budaya pembelajaran pelajar Orang Asli ialah masyarakat Orang Asli sendiri yang mempunyai aktiviti menebang hutan, menanam padi huma, ubi kayu dan sebagainya tanpa had masa yang telah ditetapkan. Kesan negatif kepada pelajar Orang Asli ialah mereka berasa peraturan-peraturan (disiplin) di sekolah menyekat kebebasan mereka. Sistem persekolahan yang sistematik menyebab mereka tidak betah berada di dalam kelas mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran berterusan yang panjang dari pagi hingga tengahari.
f) Budaya ”sharing society”(semangat gotong royong) – semangat bergotong royong (bekerja dalam kumpulan) merupakan kegiatan yang mempengaruhi budaya pembelajaran pelajar Orang Asli. Mereka bukan materialistik. Kesan negatif kepada pelajar Orang Asli ialah mereka tidak suka jika sesuatu aktiviti seni itu dilakukan secara individu sebaliknya jika dilakukan dalam kumpulan, mereka akan lebih menonjol.

GAYA PEMBELAJARAN PELAJAR ORANG ASLI TERHADAP MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL:
Satu kajian telah dijalankan oleh guru Pendidikan Seni Visual dengan pelajar Orang Asli dari Tingkatan 4. Dapatan yang diperolehi daripada responden berdasar borang soal selidik dapat dirumuskan seperti berikut. Antara beberapa faktor yang mempengaruhi ialah:
a) Mereka berminat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual kerana guru yang mengajar.
b) Lebih menyukai aktiviti/gerakerja berkumpulan daripada aktiviti/gerakerja individu.
c) Cepat merasa bosan jika aktiviti/gerakerja terlalu lama.
d) Tiada semangat belajar kerana tempoh masa belajar terlalu panjang.
e) Berasa lapar dan dahaga menjadi faktor penyebab kurang berminat untuk belajar.
f) Aktiviti/gerakerja perlu segera selesai tanpa perlu tangguh dan disambung pada hari berikutnya.
g) Tidak suka paksaan guru yang kerap menyuruh menyiapkan aktiviti/gerakerja yang diberi.
h) Lebih berminat jika guru berbual-bual dengan mereka, terutama bercerita.
i) Tidak suka jika guru memaksa mereka melakukan aktiviti/gerakerja seni sebaliknya suka kepada aktiviti ringan/santai.
j) Tidak suka mewarna dan melukis kerana menganggap tidak pandai sebaliknya suka kepada aktiviti kraf.
Jelasnya di sini berdasar dapatan kajian, penulis bersetuju cara dan gaya kehidupan komuniti masyarakat Orang Asli yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang mereka mempengaruhi budaya pemikiran generasi seterusnya. Dari ibubapa mereka, anak-anak atau pelajar orang asli ini terpengaruh dengan cara pemikiran yang tidak terbuka sebaliknya menjadi ikutan sehingga mempengaruhi proses pembelajaran mereka. Keadaan yang sebati ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diubah kerana telah selesa dengan zon kehidupan mereka selama ini.
Untuk mengatasi masalah gangguan proses pembelajaran ini, satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran cuba diaplikasikan di dalam kelas sewaktu mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ini diajar oleh guru. Pendekatan yang dipilih ialah Pembelajaran Secara Kontekstual.
Sebagaimana yang kita ketahui, tiga jenis pengetahuan apabila mempelajari seni ialah:
a) pengetahuan tentang berbagai bentuk perasaan dan idea yang dilahirkan oleh manusia(individu) melalui seni.
b) Pengetahuan organizasi formal dan hubungannya dalam menghasilkan rasa selesa, senang, menawan dan menarik.
c) Pengetahuan bagaimana manusia menggunakan hasil seni dalam persekitaran fizikalnya.
Berdasar kepada tiga elemen ini, pembelajaran secara kontekstual dianggap lebih bersesuaian dengan masalah pembelajaran pelajar Orang Asli yang ada hubungkaitnya dengan budaya pemikiran mereka.

PEMBELAJARAN SECARA KONTEKSTUAL:
a) Pelajar menggabungkan isi kandungan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual yang diajar guru dengan pengalaman harian mereka dalam kehidupan masyarakat Orang Asli serta alam pekerjaan mereka.
- Pengalaman mereka dalam kelompok masyarakat Orang Asli dengan aktiviti harian yang suka berkebun, masuk ke dalam hutan mendorong mereka menghasilkan produk yang ada kaitan secara langsung dengan kehidupan seharian mereka.
- Mereka lebih cenderung dalam bidang kraf serta kraf dimensi baru terutama anyaman mengkuang untuk mengisi beras, anyaman menggunakan rotan sebagai bakul untuk mengisi buaha-buahan hutan. Alam pekerjaan seperti ini mendorong pelajar Orang Asli gemar kepada seni kraf.
- Apabila mengajar tajuk kraf guru perlu menunjuk contoh produk sebenar dalam bentuk dimensi baru yang telah diubahsuai mengikut peredaran waktu. Penekanan tentang nilai, fungsi, estetik dan makna perlu di samping menerangkan proses penghasilan karya. Menurut pandangan pakar pedagogi tentang pembelajaran secara kontekstual ini iaitu Dan Hull menyatakan,”.......students involvement in their schoolwork increases significently when they are taught why they are learning the conceps and how those concept can be used outside the classroom. And most student learn much more efficentlywhen they are allowed to work cooperatetively with other students in group or teams....”.
b) Pembelajaran berlaku apabila pelajar dapat memproses maklumat/pengetahuan baru yang diterima dengan cara yang bermakna dalam rangka minda mereka.
- Maklumat/pengetahuan baru yang diterima daripada guru berkaitan dengan kraf diharap dapat merangsang tiga domain utama iaitu domain kognitif(meningkat pengamatan), afektif(pengetahuan budaya) dan psikomotor(kemahiran perlakuan).
- Pelajar Orang Asli ini didedahkan tentang latarbelakang kraf di mana jika dahulu berfungsi untuk kehidupan harian tetapi kini diteroka untuk komersial di samping memperkembangkan bakat, juga mampu membentuk perasaan dan idea yang terpendam. Perasaan itu yang perlu diluahkan menjadi idea yang menarik. Peranan guru penting dalam pemprosesan menjana idea dan maklumat. Percambahan idea perlu dari pelajar Orang Asli ini untuk membuka minda mereka dan menganggap mata pelajaran seni ini penting dalam hubungannya dengan persekitaran fizikalnya. Bahkan penghasilan produk kraf ini perlu diberi penekanan terhadap nilai estetik dan falsafah di sebaliknya. Menurut John Dewey,(1859-1952) ”.... A curiculum and teaching methodology tied to the child’s experience and interests......”.
c) Pelajar Orang Asli menjadi lebih tertarik kepada pembelajaran guru yang menyampaikan maklumat dalam konteks yang pelbagai dan bermakna kepada pelajar.
- Dalam pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual , guru perlu menggunakan aspek psikologi, fizikal, sosial dan budaya dalam merangsang minat pelajar yang sememangnya mempunyai budaya atau tradisi kehidupan yang lebih suka berada di dalam hutan berbanding pergi ke sekolah.
- Keadaan ini memerlukan guru merangsang pembentukan domain afektif. Guru perlu meyakinkan pelajar tentang kebolehan menghasil dan menilai seni berdasar ekspresi dan emosi mereka untuk menyatakan apa yang mereka rasa. Menurut Howard Gardner,(1983)”.......learning as a complex process that cannot be addressed adequately through drill-oriented, stimulus/respon methodologies.......”
d) Guru perlu memberi penekanan kepada kepelbagaian persekitaran pembelajaran untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.
- Pelajar Orang Asli cepat merasa bosan dan jemu semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan sebagai satu langkah mengatasi suasana pembelajaran di dalam kelas, guru perlu membawa pelajar ke luar kelas/studio untuk memberi satu pengalaman baru dan seterusnya merangsang minda mereka dalam penerokaan idea dan maklumat. Menurut pandangan pakar pedagogi tentang pembelajaran secara kontekstual iaitu D.A Kolb,(2001:Petikan diambil dari rujukan Perpustakaan Negara Malaysia, PPK)”...... suasana pembelajaran yang melibatkan pelbagai pengalaman yang mungkin dalam konteks sosial, budaya, fizikal dan psikologi....”
Gaya pembelajaran secara kontekstual ini dipilih kerana ia paling hampir dengan budaya pemikiran pelajar Orang Asli yang mempunyai tiga komponen utama iaitu kognitif, afektif dan behavioural. Diharapkan melalui pendekatan ini, masalah pembelajaran di kalangan pelajar Orang Asli dapat diatasi, sekurang-kurangnya membuka minda mereka untuk meningkatkan diri dan membangunkan minda, tidak terus terkongkong dalam budaya pemikiran yang cetek atau sempit kerana terdapat ramai juga Orang Asli yang telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Prof Dr Juli Edo, pensyarah bidang Antropologi dari Universiti Malaya.

TEORI YANG DIPILIH: TEORI LANSING (1977)
Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)
Lansing(1977) menyatakan matlamat dan objektif Pendidikan Seni sebagai ”.......to reach educational objective through art, however a person must make and appreciate art. Thus the major goal of art education is the production of artists and connoisseurs”.... (Lansing:268)
Lansing yakin bahawa penilaian seseorang terhadap hasil seni tidak dapat dipenuhi sekiranya tidak berkemampuan untuk membuat penilaian atau kritikan terhadap seni kerana untuk mencapai objektif pendidikan menerusi Pendidikan Seni, seseorang itu perlu tahu (berkeupayaan untuk menghasilkan) dan menghargai seni. Beliau yakin bahawa setiap individu ada potensi (bakat) yang boleh dikembangkan melalui Pendidikan Seni. Justeru pekembangan bakat ini memberi nilai seni untuk dirinya dan masyarakat.
Berdasar pendapat Lansing tersebut, guru Pendidikan Seni harus sedar bahawa pelajar Orang Asli ini lebih berminat di dalam bidang kraf, maka berilah mereka suatu kemahiran yang baru seperti kraf dimensi baru untuk merangsang minda dalam menjana idea-idea baru digabung bersama pengalaman sedia ada mereka yang ada hubungkaitnya dengan budaya persekitaran mereka. Jika tradisi nenek moyang mereka cenderung menganyam menggunakan daun menkuang dan rotan sebagai keperluan kehidupan seharian, maka guru boleh mengajar sesuatu yang baru seperti memperkenalkan motif sebagai ragamhias(hiasan) dalam kraf seperti batik, ukiran kayu atau tembikar. Di samping menjana idea baru, guru turut menyelitkan unsur estetika dan nilai falsafah di sebalik pemilihan motif-motif tersebut. Secara tidak langsung budaya pemikiran pelajar Orang Asli dapat dibangunkan kerana penghasilan kraf tersebut melibatkan perasaan dalaman(emosi) dan pelajar Orang Asli boleh meluahkan perasaan mereka supaya tidak lagi mudah tersinggung. Ini kerana luahan emosi boleh meringankan beban perasaan yang disimpan(budaya pemikiran afektif). Apatah lagi kehidupan masyarakat Orang Asli amat sinonim dengan kehidupan hijaunya alam. Menurut Lansing lagi, beliau melihat pembentukan kurikulum kepada tiga domain utama:
a) Domain Kognitif (untuk meningkat pengamatan).
- Dalam domain kognitif ini menggariskan ilmu tentang kehidupan (latarbelakang dan pengalaman), gubahan (disiplin seni, menyusun unsur, bahasa seni tampak), prosedur (proses kerja secara artistik), sejarah seni (penghayatan seni, menikmati ilmu) dan nilai seni (estetika-pengolahan dan pengalaman) menjadi perkara utama.
b) Domain Afektif (pengetahuan budaya).
- Ia menggariskan pelajar perlu berminat dalam menimba pengetahun, sedia bekerja keras (kreatif, sedia berubah, merubah), berfikiran terbuka (terhadap adanya perbezaan gaya, bentuk dan lain-lain) serta yakin kepada kebolehan menghasilkan dan menilai seni (potensi individu membuat penyataan)
c) Domain Psikomotor (kemahiran perlakuan)
- Pelajar menggunakan koordinasi mata, tangan dan mental.
Melalui kesemua domain ini pelajar bukan sahaja mempunyai tahap intelektual yang tinggi malahan mempunyai ketinggian nilai, minat, sikap dan penghargaan nilai, set emosi yang diingini dan pelajar juga mampu membuat penyataan etika dan estetika yang baik terhadap penghasilan seni melalui aktiviti serta menunjukkan kemahiran memanipulasi bahan dan peralatan seni secara efisyen.
Dapat disimpulkan bahawa menurut Lansing, bakat semulajadi kanak-kanak boleh dikembangkan dengan menekankan kepada struktur ilmu yang dilihat melalui tiga domain utama iaitu kognitif, afektif dan psikomotor di mana kandungan, nilai/sikap, kemahiran Pendidikan Seni perlu dilaksanakan secara berterusan dengan garis panduan di mana matlamat ini akan membentuk objektif Pendidikan Seni, ” The goal is the development of individuals with enough knowledge, skill and taste to interpret or communicate the meaning of human experience through visual models: this means that those individuals will have enough taste to the meaning of life that are most appropriate”.. (Lansing:271)
Berbalik kepada isu budaya pemikiran pelajar Orang Asli ini yang mendorong kepada ketidaklancaran pengajaran dan pembelajarn mata pelajaran Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah kebangsaan Tapah ini, saya mengambil pendekatan Lansing (1971) supaya dapat disesuaikan dengan kumpulan pelajar Orang Asli yang boleh dikategorikan sebagai sangat lemah, jika ada yang sederhanapun hanya dalam kumpulan minoriti sahaja. Pembentukan objektif Lansing jelas menunjukkan bagaimana kandungan yang sama digunakan dalam peringkat yang berbeza mengikut aras perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, afektif dan psikomotornya.
Guru Seni di Sekolah Menengah kebangsaan Tapah perlu mengambilkira latar belakang dan pengalaman pelajar tentang ilmu kehidupan yang telah diwarisi dari nenek moyang mereka. Contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran membuat kraf yang berkaitan dengan ayaman, pelajar Orang Asli ini perlu dikikis dahulu perasaan malu/sensitif mereka. Justeru perlu dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut perancangan teliti untuk menarik minat mereka kerana umumnya pelajar Orang Asli ini cepat merasa bosan jika pengajaran dan pembelajaran guru kurang menarik.
Menurut kajian soal selidik terdapat pelajar yang tidak berminat untuk menumpukan sesuatu gerakerja/aktiviti seni yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan, ini mendorong rasa bosan kepada mereka kerana perlu menunggu untuk menyiapkan tugasan. Faktor ini disebabkan budaya pemikiran turun temurun yang diwarisi dari nenek moyang mereka yang mendapat sumber pendapatan hasil dari bertani dan berburu dengan cepat tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama. Ini menyebabkan sikap sedemikian tidak dapat dikikis dari diri mereka kerana ibubapa mereka juga bersikap begitu.
Guru perlu menyusun prosedur aktiviti secara terancang dengan memasukkan sejarah seni, gubahan karya, dan nilai seni itu sendiri. Pelajar Orang Asli ini suka dan leka berbual kosong, di kesempatan ini guru perlu mengambil peluang untuk bercerita sambil memasukkan elemen-elemen seni tadi. Secara tidak langsung ianya dapat meningkat pengamatan pelajar Orang Asli ini(domain kognitif). Sebagai contoh berkaitan kraf, guru boleh bercerita tentang sejarah kraf, nilai kraf, gubahan kraf, tokoh kraf,, falsafah kraf dan sebagainya.
Dari aspek domain afektif, guru perlu wujudkan budaya sedia bekerja keras, disiplin yang tinggi, yakin boleh menghasilkan sesuatu dan rajin berusaha kerana semua faktor dinyatakan menjadi pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Tembok yang sedia ada di kalangan pelajar Orang Asli yang tidak pandai berdikari menyebabkan mereka tidak suka kepada aktiviti individu. Mereka akan berasa tertekan dan tidak mahu menyiapkan tugasan. Ini disebabkan ”sharing society” yang diwarisi sejak dahulu mempengaruhi budaya pemikiran mereka. Guru boleh melakukan pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan tetapi dalam bilangan yang kecil kerana untuk mengubah sesuatu yang yang sebati dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka perlu diberi pendedahan untuk berfikir secara terbuka. Menurut Geoffrey Caine dan Renata Numella Caine(2001:Petikan diambil dari rujukan perpustakaan Negara Malysia PPK) ada menyatakan, ”........the mind seeks meaning through searching for relationships that make sense and fit with past experience....”
Pelajar Orang Asli ini juga akan memberontak sekiranya dipaksa melakukan sesuatu aktiviti/gerakerja yang menyekat kebebasan mereka seperti mematuhi prosedur membuat anyaman atau mengukir secara berperingkat. Peraturan ini membuat mereka berasa terikat sedangkan mereka lebih suka melakukan aktiviti secara bersantai. Perlakuan pelajar ini perlu diambil kira oleh guru kerana dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, domain psikomotor iaitu koordinasi mata, tangan dan mental mempengaruhi hasil kerja mereka.

RUMUSAN:
Usaha membangunkan minda komuniti pelajar Orang Asli sebagai satu langkah untuk mencelikkan budaya pembelajaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Golongan pendidik merupakan agen perubahan budaya pembelajaran Orang Asli. Memberi penekanan secara paksaan untuk pembentukan budaya pembelajaran yang positif adalah satu usaha yang sukar dan kejayaan payah dicapai dalam masa yang singkat. Diharap pendekatan Lansing (1971) dapat membantu pelajar Orang Asli meminati mata pelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah, seterusnya mengamalkan nilai-nilai seni dalam kehidupan mereka seperti pendapat Lansing:293,”...... by recognizing and naming the formal elements in art and in the rest of the visual enviroment......”. (pelajar pada tahap ini berupaya untuk bertindak sebagai pecinta seni dan kehidupan).


Ditulis oleh: Siti Hayati bt Haji Mohd Yusoff

LAMPIRAN:
a) Gambar 1: Pelajar Asli yang tebal dengan pengaruh dan kepada kepercayaan ’animisme’ meluahkan imaginasi beliau di atas kanvas. (temubual dengan pelajar berkenaan)

b) Gambar 2: Disebabkan kehidupan mereka yang dekat dengan alam, pelajar ini mendapat idea melahirkan isu melentur anak biarlah dari rebung. Pokok rebung banyak terdapat di dalam hutan gelanggang tempat mereka beermain. (temubual dengan pelajar berkenaan)


c) Gambar 3: Semangat jati diri bahawa mereka anak Orang Asli cukup tebal dalam kehidupan seharian di mana keluarga masyarakat Orang Asli amat mementingkan kasih sayang sesama bangsa. Walaupun mereka menjadikan binatang buruan sebagai makanan namun tetap mementingkan nilai kasih sayang. (temubual dengan pelajar berkenaan)

d) Gambar 4: Kehidupan fauna menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka dan mengadaptasikan isu kehidupan penyu yang semakin pupus. Mereka mendapat ilham harus bersatupadu supaya tidak berpecah belah. Semangat kerjasama amat penting dalam kehidupan. (temubual dengan pelajar berkenaan)


BIBLIOGRAFI

1. Lansing, Kenneth M, (1971), Art, Artists and Art Education, New York. Hill Books Company.
2. Feldman, Edmund, (1990) Discipline-Based Art Education, NAEA, USA.
3. Arthur Efland, (1977) Planning Art Education in Middle/Secondary Schools of Ohio,Ohio.
4. Mohd Johari (2004). Pendidikan Seni Visual dan Muzik, Tanjung Malim. Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, UPSI.
5. Zailan Yaacob dan Azimah A.Samah (2004), Kraf Tradisional dan Kraf Dimensi Baru.
6. Efland, Arthur (1977), Planning Art Education in the Middle/Secondary Schools of Ohio, OHIO.USA, State of Department of Education.
7. Chapman, Laura H. (1992) Approaches To Art In Education, Harcourt Brace Jovanovich Inc, New York.
8. Donal Jack Davis, (1971) Human Behaviour: Its Implication For Curiculum Development In Art Studies In Art Education NAEA Vol.12 No.3 Spring 1971.
9. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia 2001 (ms 39-55)
10. Mazlan Mohamad (1996), pendidikan Seni 1- Prinsip Pendidikan Seni, Selangor. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
11. Mok Soon Sang (1988), Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
12. John Dewey (1859-1952) : Teori Pendidikan Dewey
13. Howard Gaedner (1983) “ Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligence”.
14. En Alang Sabak (orang perseorangan, ahli NGO: masyarakat Orang Asli, (bekas guru di SMK Tapah.)

1 comment:

  1. salam...izinkan saya untuk menggunakan artikel ini sebagai rujukan tugasan? terima kasih..

    ReplyDelete