PENGENALAN:
Sejarah pembentukan kurikulum seni dunia mempunyai hubungkait dengan zaman Revolusi Industri di mana kebangkitan aliran-aliran baru seperti ekspresionist, futurist, constructive dan fauvisme merupakan lonjakan kepada dunia seni keseluruhannya. Permintaan kepada bidang-bidang kerjaya seni dilihat begitu banyak seperti ”cendawan” tumbuh selepas hujan. Pelaksanaan kurikulum antara lain ialah:
a) Memenuhi keperluan/kehendak masyarakat
b) Sosial setempat, negara, ekonomi,industri oleh pemikir, poitikus.
c) Berdasar pegangan sesebuah negara
d) Untuk negara.
Seni menjadi tidak bermakna apabila tiada pemerhati atau penghayatnya kerana seni itu sendiri dipengaruhi oleh persekitaran. Masyarakat perlu mengetahui apa yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku dalam seni. Seni sebagai jambatan yang menjadi penghubung antara individu dengan masyarakat. Ia menghubungkan sesama manusia dan tempat serta bagaimana manusia saling bergantung antara satu dengan yang lain.
Seni dan sosial mempunyai satu hubungan simbolik untuk digabungkan sebagai satu kurikulum integrasi. Pendidikan sosial memerlukan kefahaman terhadap ilmu kemanusiaan dan pengalaman manusia. Seni memberi peluang untuk memahami pengalaman manusia dengan baik.
Untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik dan ekonomi sesuatu masyarakat. Sebagai contoh bahan-bahan dan teknik penghasilan seni yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu seni boleh memberi kefahaman tentang faktor geografi, alam sekitar dan struktur sosial sesuatu masyarakat. Malahan di zaman moden para pengiklan, penghibur dan ahli politik menggunakan unsur seni untuk menyampaikan mesej dan memupuk sistem kumpulan masyarakat.
Artist mempunyai kuasa dalam bentuk simbol untuk menyampaikan sesuatu idea atau perasaan yang begitu kuat yang boleh menyentuh perasaan orang lain. Imej juga boleh menimbulkan semangat patriotik dan bersuara terhadap ketidakadilan. Seni juga boleh menyampaikan mesej tanpa komunikasi lisan kepada sesuatu masyarakat.
Untuk membolehkan pelajar faham kaitan seni dengan pendidikan sosial, pelajar perlu mengalami sendiri pengalaman menggunakan bahan-bahan seni dan mengalami sendiri proses yang dialami oleh seseorang artist yang mencipta seni.
DEFINISI SOSIAL DAN HUBUNGANNYA DALAM MASYARAKAT
Tidak dinafikan manusia adalah makhluk budaya. Geertz seorang ahli antropologi mengatakan, ”manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”. Manusia dalam kehidupannya menggunakan simbol sebagai sarana untuk berkomunikasi sesama mereka. Pendidikan merupakan satu proses budaya.
Menurut Kamus Dewan, Sosial boleh didefinisikan sebagai kegiatan manusia dalam masyarakat melalui pengalaman dan aktiviti.(DBP: ms 1186 ) .Sosiologi pula didefinisikan sebagai ilmu kemasyarakatan iaitu ilmu mengenai sifat dan pertumbuhan masyarakat. Ia merujuk kepada suatu bidang ilmu pengetahuan moden. Secara mudah kita boleh menghubungkan sosiologi dengan ”masyarakat”. Vander Zanden (1996) dengan ringkas menyatakan sosiologi sebagai kajian saintifik mengenai interaksi sosial dan organisasi. Bagi Jary & Jary (1995), sosiologi merupakan suatu bidang kajian saintifik mengkaji masyarakat daripada pelbagai sudut seperti melihat fungsi masyarakat, bentuk organisasi sosial, perkembangan kebudayaan dan jenis-jenisnya.
Menurut Giddens (1993) pula, sosiologi adalah kajian mengenai kehidupan sosial manusia, kumpulan-kumpulan dan masyarakat. Sosiologi akan memberikan manusia pemahaman bagaimana pengaruh-pengaruh sosial telah mencorakkan kehidupan mereka. Waters (1994) pula menegaskan bahawa perkara yang diperhatikan bidang sosiologi sangat jelas iaitu fenomena sosial yang berfokuskan hubungan dan interaksi antara manusia.
Broom (1981:84) mengemukakan pendapat, ”sosialisasi adalah proses menyelaraskan individu-individu tentang tradisi-tradisi budaya masyarakatnya dan berfungsi sebagai makhluk sosial dan anggota masyarakat yang sesuai dengan kebudayaan masyarakatnya.
Zanden (dalam Suharso,1992) mengemukakan bahawa sosialisasi sebenarnya adalah proses interaksi yang memberi peluang kepada anggota masyarakat mengenai cara berfikir,berperanan dan berkelakuan positif. Jelas kepada kita manusia memerlukan hubungan sosial dengan manusia lain dalam lingkungan kelompok masyarakatnya. Broom (1981) menyatakan, ”Manusia memerlukan hubungan sosial dengan manusia lain”.
Kesimpulannya di sini, kebudayaan digunakan sebagai pedoman hidup oleh warga masyarakat dan bersifat tidak mudah berubah. Ia merupakan kebiasaan atau tradisi yang lazim bagi penganut sesuatu masyarakat. Tetapi tradisi atau kebiasaan adalah buatan manusia dan pasti boleh berubah. Menurut Bennett(1976). Apabila kebudayaan tidak lagi sesuai digunapakai mengikut arus perubahan, maka kebudayaan akan diubah, dan disesuaikan agar dapat menepati keinginan baru.
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN KANDUNGAN KURIKULUM PENDIDIKAN SENI :
Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Di samping untuk meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai alam sekitar, keindahan seni dan warisan bangsa serta menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika di lihat matlamat Kurikulum Pendidikan Seni sama ada McFee (melalui penerokaan), Lansing(domain utama), Feldman (pengajian), Efland (ekspresi dan respon) dan Kementerian Pelajaran Malaysia-KPM (aktiviti-aktiviti kreatif), semua membawa harapan yang sama iaitu untuk melahirkan golongan pelajar seterusnya masyarakat yang seimbang dari aspek kemahiran berkarya dan juga penguasaan pengetahuan seni. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).
Dalam kandungan Kurikulum Pendidikan Seni Visual pula telah menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi murid.
Pelajar diharap dapat mengamal pertimbangan seni visual, meningkatkan lagi kepekaan, menjadi pengkarya yang rasional dan mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai positif. Secara tidak langsung menerap budaya menghargai serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi.
Penyataan falsafah ini menggariskan bahawa sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasar kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermakna Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama supaya dapat melahirkan insan yang baik dan sempurna. Insan yang baik (berkualiti) memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:
a) Percaya serta patuh kepada Tuhan
b) Berilmu pengetahuan
c) Berakhlak mulia
d) Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara
e) Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara
f) Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Berdasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual telah digubal bersesuaian dan selaras dengan hasrat tersebut. Matlamat Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah adalah untuk membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif,inovatif dan inventif. Kandungan kurikulum berupaya membantu pelajar meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam sekitar, keindahan seni dan warisan bangsa serta menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Objektif Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah bertujuan untuk:
a) Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
b) Memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni visual
c) Meningkatkan pengetahuan, daya kreatif,inovasi, disiplin serta mengguna kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
d) Menggunakan pelbagai kemahiran media, teknik dan teknologi untuk merekacipta barangan kraf dan produk seni yang berkualiti.
e) Membuat diskripsi, analisis, inerpretasi dan penilaian terhadap karya seni visual.
f) Menghargai sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh seni visual dalam
konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan
antarabangsa.
g) Menjadikan seni visual sebagai prospek kejayaan
h) Menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan kaitan
dengan keselesaan hidup.
i) Membina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.
Kesimpulannya di sini objektif KPM lebih ke arah kehidupan sehari-hari dan persekitaran di samping seni di dalam budaya.
PENDIDIKAN SENI DALAM KONTAKS SOSIAL
Pendidikan Seni dapat dilihat daripada pelbagai sudut. Satu daripadanya ialah dalam kontaks sosial. Seni tidak bermakna apabila tiada pemerhati ataupun penghayatnya kerana seni dipengaruhi oleh persekitaran. Seni menjadi jambatan yang menghubung antara individu dan masyarakat. Ia menghubungkan sesama manusia dan tempat serta bagaimana manusia bergantung sesama mereka. Antara aspek sosial yang terlibat ialah kumpulan keluarga, komuniti,kumpulan umur, fenomena kelas, kaum dan etnik, agama serta jantina dan baka. Semua elemen tersebut menyumbang ke arah pembangunan sosial.
Keluarga merupakan insttusi sosial yang penting walaupun kini ia tidak berperanan sebagai institusi menghasilkan produk seni. Malahan ada menyatakan masyarakat Melayu tidak lagi menjadi pencipta sebaliknya hanya sebagai pengguna. Warisan menghasilkan produk semakin terhapus. Ini disebabkan faktor perkembangan ekonomi industri di mana untuk mendapatkan sesuatu barangan kraf misalnya, boleh di dapati dengan mudah dan cepat.
Industri pembuatan labu sayong misalnya, jika dahulu diwarisi turun temurun sebagai mata pencarian dan hanya berfungsi untuk kegunaan harian kini telah berubah menjadi produk komersial. Perusahaan labu sayong menerapkan nilai kesabaran semasa menghasilkan juga mementing nilai estetika dalam kandungan pembuatan telah mula diabaikan setelah teknologi moden digunakan. Walau bagaimanapun dalam kurikulum Pendidikan Seni masih mendapat perhatian kerana ia memberi peluang kepada pelajar mempelajari hubungan antara bentuk, fungsi dan media.
Persekitaran tempat tinggal kanak-kanak mempengaruhi corak kehidupan mereka. Kanak-kanak yang tinggal di kampung dengan nilai masyarakatnya menjadi sebahagian daripada cara dan sikap mereka pada seni dan persekitaran. Mereka menghasilkan karya yang menampakkan imej dan ekspresi individu sama ada gembira, ceria atau bersedih. Mereka belajar daripada pengalaman mengenai kehidupan dalam masyarakatnya.
Masyarakat Orang Asli misalnya cintakan kesenian. Kraf yang paling hampir dengan kehidupan mereka. Fungsi kraf yang dihasilkan untuk kegunaan harian di mana mereka menghasilkan bakul untuk mengisi buah-buahan, anyaman tikar sebagai alas lantai dan sebagai. Kanak-kanak Orang Asli juga cintakan keindahan hutan, gelanggang permainan harian mereka dengan cara memanjat pokok dan melihat air hujan turun. Jelas kepada kita mereka berinteraksi dengan persekitaran, alam dan masyarakat setempat. Secara tidak langsung menunjukkan seni adalah jambatan untuk menghubungkan kanak-kanak dengan masyarakat dan persekitarannya. Mereka kenal budaya sosial keturunan nenek moyang mereka yang diwarisi sehingga ke hari ini.
Aktiviti seni juga tidak terbatas mengikut peringkat umur kerana pembelajaran adalah sepanjang hayat. Pendidikan Seni dapat dipelajari ataupun dihasilkan bermula dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Sekiranya ibu bapa serta masyarakat memahami dan menghargai seni, maka aktiviti seni boleh dilakukan secara santai. Selain mengisi masa lapang, dapat juga meningkatkan kemahiran. Sebagai contoh dalam aktiviti melukis, seseorang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seterusnya menjadikan bidang seni ini sebagai kerjaya untuk menambah pandapatan. Di samping itu dapat memupuk sikap berdisiplin,bersabar, bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Apatah lagi pendidikan seni menjurus kepada fungsi konstektual dan esenssial untuk mendapat masyarakat yang seimbang budayanya tanpa mengenepikan warisan pusaka mereka.
Tema juga memainkan peranan dalam pengajaran Pendidikan Seni kerana ia mempunyai kaitan dengan kaum dan etnik dalam sesebuah negara. Ia turut dipengaruhi oleh ideologi kepelbagaian budaya di mana setiap kaum dan etnik mempunyai keseniannya yang tersendiri.
Dalam masyarakat Orang Melayu, daun sireh membawa lambang kasih sayang. Justeru dalam acara peminangan atau perkahwinan ia dijadikan sebagai sebahagian dari upacara tersebut. Begitu juga sekiranya tetamu datang ke rumah, sireh dihulurkan sebagai salam sejahtera dari tuan rumah. Begitu juga dengan lain-lain masyarakat di luar sana mempunyai kepercayaan dan budaya yang pelbagai yang diwarisi turun temurun. Cuma apabila arus kemodenan datang, budaya sesuatu kaum atau etnik semakin dipinggirkan.
Di Malaysia, faktor agama tidak dapat dipisahkan dengan pendidikan. Penerapan nilai-nilai murni adalah salah satu daripada bukti pertalian yang wujud. Setiap ajaran agama menekankan kepada kebaikan dibalas dengan kebaikan dan budaya menghormati sesama manusia diberi penekanan dalam mendidik anak-anak. Cara menghormati orang tua juga mengikut kepercayaan dan budaya, ada yang tunduk apabila meminta laluan, ada yang tangan diletakkan di dada dan pelbagai gaya mengikut etnik masing-masing. Walaupun terdapat perbezaan budaya tapi nilai positif yang ditekankan adalah sama untuk membangunkan sosial masyarakat sesuatu tempat. Dalam kurikulum Pendidikan Seni, guru perlu bijak kerana dalam pengajaran kraf tidak memasukkan kraf semua kaum dan ini boleh mengundang rasa tidak puashati di kalangan pelajar yang terdiri dari berbilang bangsa.
Demikian antara beberapa elemen yang dikupas yang menjadi titik tolak kepada perubahan dalam pembangunan sosial. Guru Seni merupakan agen kepada perubahan sosial dengan menyumbang kepada transformasi budaya tampak yang umum, kerana melaluinya pelajar belajar melihat dunia. Perubahan berlaku sama ada secara sengaja atau tanpa disedari. Seni juga penting sebagai transformasi sosial yang melibatkan perkembangan biologi, transformasi teknologi dan pembentukan budaya.
Menurut Robert A.Ott dari Pennsylvania Art Educator menyatakan; seni merupakan sesuatu yang dikaitkan dengan persekitaran dan masyarakat. Guru Seni pula adalah sesorang ahli falsafah, penulis, ahli sejarah dan artist yang kreatif. Pendidikan Seni telah menjadi suatu pendidikan jangka hayat. (life learning process)
Seni juga mengalami evolusi kerana kehendak yang berbeza mengikut umur masyarakat. Masyarakat warga tua lebih berminat dengan seni dan kelapangan waktu tersedia berbanding dahulu tidak memperoleh peluang mempelajari kerana kesibukan bekerja.
Menurut Ott lagi, ” seni melibatkan proses pembelajaran tentang tamadun dan budaya sesuatu etnik dan bangsa. Seni sebagai refleksi pemikiran golongan intelektual dari zaman berzaman. Mesej yang disampaikan dalam sesuatu seni boleh dipertahankan dalam jangka masa lama dan asas kepada pemahaman tentang sesuatu budaya, etnik dan sesuatu golongan masyarakat...” (telah diterjemahkan dari bahan internet). Beliau juga berpendapat, seni mungkin menjadi asas kepada segala jenis pembelajarn (centre of learning). Melaluinya kita boleh mengetahui tentang cara pemikiran, emosi, adat dan istiaat masayarakt dan pemahaman ini terus berkembang.
Menurut Ralph Smith (2006) dalam tulisan beliau, ”Culture And The Arts in Education menyatakan; ”.......................seni mempunyai kaitan dengan proses pembentukan perwatakan seseorang manusia. Ini kerana untuk menghasilkan seni ia perlukan tahap kestabilan, konsentrasi, disiplin, kreativiti dan tamadun yang tinggi dan memuaskan. Seni melibatkan proses komuniti, kesinambungan dan kritikan serta pendidikan falsafah yang akan dilalui oleh seseorang individu. Dalam kontaks sosial ini dapat diperjelaskan kepada kita bahawa pendidikan tentang seni amat berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka sehingga boleh menghasilkan ”seni yang excellent”, terutama jika ia melibatkan pengalaman estetik seseorang individu.
Melalui Pendidikan Seni boleh memupuk sikap kesedaran tentang ciri-ciri kemanusiaan dan menggunakan seni untuk mengekspresi pandangan, dilema dan peribadi kepada masyarakat. Seni hakikatnya suatu subjek yang sangat berkuasa sehingga boleh menyebabkan ”soscial change”. Conth-contoh seni yang telah mengubah pandangan manusia tentang sesuatu isu atau kejadian yang berjaya menimbulkan kesedaran tentang kemanusiaan di kalangan manusia. (Guernica-Picasso)
Menurut Kerry Freedman dalam pembentangan kertas kerja beliau di Konferens Persatuan Pendidikan Seni Pennsylvania (2001); beliau melihat Pendidikan Seni dari perspektif sosial iaitu jika seni diajar tanpa memasukkan nilai-nilai dan pandangan sosial terhadap seni maka ianya cuma menjadi suatu pengajaran dan pembelajarn seni semata-mata kerana perspektif kurikulum tetapi seni juga harus dipandang dan diinterpretasikan dengan sifat-sifat sosial seperti jantina, bangsa, etnik, bakat istimewa, budaya, sosioekonomi, keadaan politik, alam sekitar dan perasaan manusia. Ini kerana seni adalah kompleks mempunyai unsur kepelbagaian dan mewakili sesuatu budaya. Justeru tujuan seni dan asal usul seni hanya boleh difahami jika seseorang melihat seni dari perspektif sosial.
Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:
a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual
b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu
karya seni
c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni
d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek
e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent
f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni
g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan
konstruktif yang membina
MATLAMAT DAN SUMBANGAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DALAM KONTAKS PEMBANGUNAN SOSIAL:
Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranannya dalam pendidikan dapat memupuk sifak kecintaan pada seni dan estetika. Berikut antara matlamat kurikulum Pendidikan Seni dalam kontaks sosial yang diharapkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Matlamat sebenar pendidikan yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan. Di samping perlu memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.
Antara sumbangan seni visual dalam pendidikan ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semulajadi kanak-kanak sukakan belaian, perhatian dan sentuhan dan melalui contengan-contengan ini perkembangan seni tampak minda mereka berlaku dengan pesat. Namun begitu perkembangan ini berlaku berbeza mengikut persekitarannya, faktor keluarga dan latar belakang pendidikan mereka. Melalui proses lakaran ini, tahap mental kanak-kanak akan terus berkembang dengan baik. (Laura Chapman 1978). Sehubungan dengan itu pembangunan sosial kanak-kanak tadi terbina, menjadi seorang yang kreatif, berdikari dan yakin diri dalam kelompok masyarakatnya.
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.
Seni dalam kontaks sosial dapat menyemai seseorang dengan nilai-nilai kasih sayang, menghormati budaya sesuatu kaum, adat istiadat serta menanam sifat-sifat mulia terhadap diri. Justeru kita akan lebih memahami serta menghargai akan nilai-nilai warisan seni budaya keturunan kita sendiri di samping kaum-kaum sesuatu bangsa lain selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Seni dalam kontaks sosial juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan seni boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya. Pendidikan tentang seni telah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi di mana mereka mula mengetahui tentang alat-alat permainan yang beraneka rupa bentuk dan warna. Begitu juga dalam konteks mewarna di atas kertas, kanak-kanak akan menggunakan pilihan warna yang disukainya. Contengan warna ini sebenarnya melahirkan ideanya. Ini menjurus kepada kreativiti kanak-kanak tersebut. Bakat ini perlu dibimbing dan dipupuk dengan sebaiknya supayadia menjadi seorang yang berdikari dan yakin pada dirinya sendiri. Ini kerana kanak-kanak membuat simbol-simbol yang mudah dan ringkas mengikut tahap penguasaan dan faktor sekelilingnya. Jika dikaji bentuk-bentuk lukisan sebegini mempunyai makna yang cukup mendalam tanpa kita sedari.
Kajian ini dibuat oleh Herbert Read (1958) dalam bukunya ”Education Through Art”. Negara perlu memikir kan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara. Tanpa kesan estetika kesenian mungkin boleh membawa penyakit yang menjurus kepada wabak sosial yang memudaratkan.
Gejala sosial yang berlaku pada masa kini sedikit sebanyak berkait rapat dengan aspek penghayatan estetika. Keruntuhan moral, pencemaran akhlak, terpesong kefahaman agama dan segala aspek yang bertentang dengan fitrah manusia mungkin boleh diubati. Memahami makna estetika dalam seni itu sendiri cukup mendalam, keindahan yang mutlak dan hakiki. Penghayatan terhadap seni yang mendalam dan diamalkan dalam penghidupan seharian. Penghayatan estetika terhadap kebesaran Tuhan juga menuntut kita merenung jauh tentang setiap kejadian itu.
Estetika wajar dijadikan asas dalam aktiviti seni sama ada dari aspek pembangunan insan, pembangunan rohaniah dan jasmaniah, perkembangan dan bimbingan kehidupan seharian. Seni bukan semata-mata hiburan kosong. Seni dan estetika adalah untuk mentarbiahkan manusia mendidik manusia agar memahami kebenaran ciptaan Allah SWT. Apa sahaja bentuk seni yang dicipta adalah menjurus ke arah membimbing dan mendidik masyarakat.
Menurut Winckelmann berkaitan dengan estetika/keindahan, ia perlu melalui satu proses yang dikenali sebagai idealisasi iaitu proses menggunakan akal dan menjadi asas kegiatan seni yang utama. Beliau juga mengkategorikan estetika kepada empat konsep iaitu:
a) Estetik dikaitkan dengan kemuliaan
b) Estetik dikaitkan dengan kehebatan
c) Estetik dikaitkan dengan kesederhanaan
d) Estetik dikaitkan dengan ketenangan
Keempat-empat elemen ini membantu mewujudkan individu seterusnya masyarakat sekelilingnya mempunyai sikap yang positif dalam kehidupan mereka.
Memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Usia remaja di sekitar 10 hingga 15 tahun merupakan tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu dengan lebih baik. Pada peringkat ini sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang.
Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965), peringkat ini merupakan paling konflik dan genting kerana pelajar mengalamai tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses pembesaran mereka. Dalam situasi ini peranan guru amat penting di mana pelajar yang tidak menerima bimbingan yang betul boleh menyebabkan minat mereka dalam Pendidikan Seni berkubur, sebaliknya bagi pelajar yang telah diberi bimbingan dan nasihat positif oleh guru akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan mata pelajaran tersebut.
Memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat kerana masyarakat Malaysia kaya dengan khazanah warisan budaya. Bahan kegunaan harian seperti pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan/tekstil, hamparan tikar mengkuang, anyaman kelarai seterusnya budaya sopan santun dan adat istiadat diwarisi turun temurun. Namun begitu seni warisan sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan dalam masyarakat yang suatu ketika dahulu cukup dipelihara.
Dalam kontaks sosial melalui Pendidikan Seni inilah warisan seni budaya harus dikekalkan dan tidak pupus seperti dalam kraftangan umpamanya seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelarai. Banyak lagi yang boleh diketengahkan seperti seni tekat, tembikar dan lain-lain. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.
Melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri kerana budaya menunjukkan bangsa. Sesebuah masyarakat mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya, kerana kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya.
Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Masyarakat perlu tahu tanggungjawab mereka tentang kepentingan nilai seni dan estetika dan kefahaman serta tanggungjawab itu perlu dipupuk di peringkat awal lagi.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.
Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk
berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.
Manusia memerlukan dan menginginkan perhatian, mempunyai emosi dan perasaan. Mereka meluah perasaan dan berkongsi emosi dengan orang lain melalui penyataan perasaan di bawah sedar dan seni dalam konteks yang lebih luas ialah hasil penyataan perasaan manusia sebenarnya.
Hasil seni dan produk seni sebenarnya hasil dari pengumpulan idea, emosi, perasaan dan dibantu dengan ilmu-ilmu lain maka tercipta hasil seni yang dibanggakan. Justeru seni amat penting dalam kehidupan mereka dan merupakan sebahagian dari kehidupan. Cuma menjadi persoalan apabila pendedahan seni itu tidak diperjelaskan secara langsung kepada masyarakat. Perlakuan negatif dari pengamal menyebab seni diperlekehkan. Sedangkan seni sebagai agen perubahan masyarakat dan bukan hanya untuk golongan lemah sahaja. (pelajar lemah)
Seni mempunyai hubungkait dengan falsafah masyarakat. Setiap produk yang dihasilkan akah diterjemah kepada falsafah dan budaya Melayu serta mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi. Hubungan rapat antara seni dan masyarakat dijalinkan melalui jaringan kasih dari simbol dan makna yang diterjemah oleh seniman.
Menurut Muliyadi Mahamood: ”....................... seni mempunyai hubungan dengan masyarakat dan biasanya ia memiliki tujuan serta arah tertentu. Dalam memahami seni kita perlu terlebih dahulu memahami kedudukan seni dalam masyarakat serta perkembangan masyarakat itu sendiri. Ciri-ciri luaran dan dalaman seni saling berhubungan serta sama-sama penting dalam mengenengahkan perkara-perkara ini. Seni dan masyarakat amat sukar untuk dipisahkan.......”
Sebagai contoh dalam seni kraf tradisi keris, keunikan pembuatan keris terletak pada hulu , sarung dan bilah mata kerisnya. Keris amat sinonim dengan masyarakat Melayu dan penggunaannya dianggap satu keperluan bagi kaum lelaki. Kini seni warisan yang menjadi tunggak dan pusaka warisan yang dibanggakan telah hilang ditelan zaman. Bahkan berjalan membawa keris tanpa kebenaran dari pihak berkuasa juga dilarang dan menyalahi undang-undang.
Justeru guru yang baik dan berkesan dalam P&P Pendidikan Seni akan memjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan seni. Ini diperjelaskan oleh Robinson (1990);
”.................... making and appraising are both. of equal and fundamental importance in art education: each is important in itself”...............
Peranan kita sebagai ahli masyarakat yang sebenar bukan sekadar sebagai pemerhati tetapi juga memiliki. Selain dari guru berperanan mengajar pelajar untuk menghayati karya seni, mereka juga perlu diajar untuk melihat lebih mendalam, memahami, mempelajari, menghayati dan mengetahui proses sesuatu produk yang dihasilkan. Di samping cuba memahami nilai falsafah dan estetika dari karya seni tersebut iaitu nilai estetika yang tersirat ataupun tersurat.
Proses memahami dan menerangkan nilai falsafah dan estetika terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ia menjadi asas dalam P&P Pendidikan Seni Visual di mana konsep-konsep Asas Senireka, Seni halus, Komunikasi Visual, Rekabentuk, Kraf, Sejarah Seni Visual menjadi sebahagian dari intipati P&P Pendidikan Seni Visual. Cuma pelaksanaannya tidak bersunguh-sungguh berdasar respon masyarakat yang menganggap mata pelajaran ini terbelakang berbanding mata pelajaran lain.
Menteri Pendidikan Malaysia (1989), pernah menyatakan ”..........in accordance with the National Education Philosophy which has as its core the concept of life long education towards the developement of a morally upright person who is intellectually, spritually,emotionally and physically intergrated”..............
PENUTUP:
Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.Di harapkan melalui Pendidikan Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini.
Ditulis oleh: Siti Hayati bt Haji Mohd Yusoff
BIBLIOGRAFI
1. Lansing, Kenneth M, (1971), Art, Artists and Art Education, New York. Hill Books Company.
2. Mohd Nasir Ibrahim, Prof Madya Iberahim hassan (2003). Pendidikan Seni Untuk Maktab dan Universiti, Tanjung Malim. Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, UPSI.
3. Amir Hasan Dawi, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan (2006), Quantum Books Peti Surat 55, Tanjung Malim.
4. Mohd Johari Ab Hamid (2004). Falsafah dan Kritikan Seni; Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.
5. Mazlan Mohamad, (1996).Perkembangan Seni 1- Prinsip Pendidikan Seni, Selangor. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
6. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (ms 39-55)
7. Kementerian Pendidikan Malaysia KPM(2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Pendidikan Seni Visual.
8. Kerry Freedman (2001) Pennyslvania Art Education Association Conference. Teaching Visual Culture: Understanding Art Inside and Outside of School.
9. Robert W.Ott (1991): Advocating Art: The Arts Subject of the Future. The Pennsylvania Art Educator.
10. Muliyadi Mahamood (1995); Seni Lukis Dalam Peristiwa. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.
11. Smith, Ralph A.(2006). Culture and The Arts in Education: Crytical Essays on Shaping Human Experience. New York Teaches College Press.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment