LAMAN SENI

My Photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Monday, August 17, 2009




FAKTOR SOSIAL BUDAYA MEMPENGARUHI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL:
STRATEGI DAN PELAKSANAAN MENGATASI MASALAH



OLEH:


SITI HAYATI BT HAJI MOHD YUSOFF
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAPAH
JALAN BIDOR LAMA, TAPAH
PERAK DARUL RIDZUAN




APRIL 2009


KANDUNGAN


i Abstrak

1. Definisi Budaya dan Budaya Pemikiran Pelajar Orang Asli

2. Fokus kajian

3. Objektif kajian

3.1 Objektif Umum
3.2 Objektif Khusus

4. Kumpulan Sasaran

5. Perlaksanaan Kajian

5.1 Tinjauan Masalah
5.2 Analisis Tinjauan Masalah
5.3 Merancang Tindakan
5.4 Perlaksanaan Tindakan

6. Contoh Teknik-teknik Dalam Penghasilan Catan

7. Refleksi Kajian

8. Pembelajaran Secara Kontekstual

9. Pendekatan Yang Dipilih: Teori Lansing (1972)

10.Cadangan Kajian Seterusnya

Lampiran

Bibliografi

Contoh-contoh Instrumen




FAKTOR SOSIAL BUDAYA MEMPENGARUHI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL:
STRATEGI DAN PELAKSANAAN MENGATASI MASALAH


ABSTRAK


Manusia dikatakan sebagai makhluk budaya dan hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol dan menyimpul makna yang difahami serta dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Boleh dikatakan manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri, manusia yang juga dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi. Melalui pendidikan manusia memproses budaya.
Seni dan sosial mempunyai hubungan simbolik untuk digabungkan sebagai kurikulum intergrasi iaitu memerlukan kefahaman terhadap ilmu kemanusiaan dan pengalaman manusia. Justeru untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik, dan ekonomi sesuatu masyarakat. Penggiat seni menggunakan unsur seni untuk menyampaikan mesej dan memupuk sistem kumpulan masyarakat.
Pelajar diharap dapat mengamal pertimbangan seni visual, meningkatkan kepekaan serta mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai positif seterusnya menerap budaya menghargai serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi kerana seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia.

Apabila membicarakan tentang budaya pelajar Orang Asli, kita tidak dapat lari daripada isu pembangunan dan budaya pemikiran komuniti Orang Asli yang masih dibelenggu struktur persekitaran dan sosial masyarakat Orang Asli.
Daripada sudut pandangan pentadbir, kemunduran pelajar Orang Asli berpunca daripada sikap komuniti Orang Asli itu sendiri. Justeru beberapa pendekatan telah dirancang dan dilaksanakan namun terus gagal menemui jalan penyelesaian.

DEFINISI BUDAYA DAN BUDAYA PEMIKIRAN PELAJAR ORANG ASLI:

Merujuk kepada Kamus Dewan, Budaya ialah;
a) Tamadun
b) Peradaban
c) Kemajuan fikiran, akal budi(cara berfikir, berkelakuan). Secara umumnya budaya pemikiran Orang Asli boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu dari aspek kognitif, afektif dan behavioural.


i) Aspek Kognitif:
Merupakan idea dan pemikiran berkaitan dengan cara bagaimana mengatasi masalah. Kemelut budaya sensitif dan malu meminta bantuan guru untuk mengatasi masalah-masalah pembelajaran menyebabkan pelajar Orang Asli terus memendam perasaan tanpa berusaha mengatasi masalah yang dihadapi.

ii) Aspek Afektif:
Melibatkan perasaan (emosi) dalaman pada individu Orang Asli yang kita tidak ketahui. Seandainya guru tidak meratakan jurang kepimpinan ketika berada di sekolah yang mempunyai majoriti pelajar Orang Asli, di mana guru melakukan proses pengajaran dan pembelajaran sekata antara pelajar Orang Asli dan bukan Orang Asli, golongan pelajar Orang Asli ini akan ketinggalan jika mereka tidak memahami sesuatu kerana budaya yang diwarisi mempengaruhi mereka untuk terus berdiam diri dan memendam rasa tanpa reaksi bahkan jika mereka berasa telah tersinggung dengan kata-kata guru khususnya di sekolah, mereka akan menyampaikan perilaku guru tersebut kepada ibubapa. Ibubapa pelajar Orang Asli mudah percaya dengan aduan anak mereka dan ini menyumbang kepada faktor ponteng sekolah seterusnya akan mematikan minat untuk belajar.

iii) Aspek Behavioural
Ini berkaitan dengan tingkahlaku/reaksi yang tidak nampak, sikap atau budaya Behavioural yang negatif ini tidak akan ditunjukkan secara realiti. Antara ciri-ciri tingkahlaku mereka adalah seperti berikut;


a) Pemalu dan berasa rendah diri. Ini menyebabkan kurang keyakinan diri di kalangan pelajar Orang Asli ini.
b) Mencintai kesenian, oleh kerana itu sekiranya ada persembahan untuk sesuatu upacara sama ada Hari Ucapan, Hari Sukan/Kokurikulum dan sebagai mereka paling suka mengambil bahagaian terutama dalam Tarian Sewang dan nyanyian. Pelajar asli kebanyakannya boleh bermain alat muzik seperti gitar dan dram.
c) Pelajar Asli lebih suka bersantai dan tidak suka dikongkong. Masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti memanjat pokok. Mereka paling gemar jika dapat menikmati hari hujan. Disebabkan keadaan seumpama itu, mereka tidak menitik- beratkan pendidikan, kesihaan dan kebersihandiri.
d) Namun begitu masyarakat Orang Asli amat mementingkan warisan kraftangan, sambil bersantai mereka akan melakukan sesuatu aktiviti yang ada kaitan dengan produk seni, untuk hiasan juga kegunaan seharian.
e) Sikap masyarakat Orang Asli yang tebal dengan kepercayaan ’animisme’, percaya kepada kuasa ghaib dan berpegang teguh kepada adat. (Hukum Sayeit).

Justeru faktor-faktor dalaman (budaya pemikiran) inilah seharusnya diselami oleh guru dan pihak pentadbir untuk menjadikan sifat kognitif, afektif dan behavioural pelajar Orang Asli menjadi positif dan mampu bersaing dengan pelajar daripada komuniti lain.



2. FOKUS KAJIAN
Kumpulan pelajar dari Tingkatan Menengah Atas iaitu Tingkatan 5 dan 6 Atas yang masih keliru dengan hala tuju mereka sedangkan bidang seni ini mempunyai peluang yang besar dalam mencipta kerjaya yang cemerlang.. Tumpuan akan diberikan kepada faktor kelas sosial yang mempengaruhi budaya dan gaya pembelajaran mereka dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, di mana ia menjadi punca kepada hilang fokus semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini berdasar faktor kelas sosial dan pengaruh budaya persekitaran pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan Tapah.

3. OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Objektif Umum:
Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia. Manusia memerlukan dan menginginkan perhatian, mempunyai emosi dan perasaan. Mereka meluah perasaan dan berkongsi emosi dengan orang lain melalui penyataan perasaan di bawah sedar dan seni dalam konteks yang lebih luas ialah hasil penyataan perasaan manusia sebenarnya.


3.2 Objektif Khusus:

i. Melahirkan masyarakat yang memliki jati diri yang kuat berusaha mengekalkan seni, budaya dan warisannya selaras dengan objektif mata pelajaran ini.
ii) Menanam minat mempelajari mata pelajaran ini bersama rakan lain dengan
menolak rasa rendah diri dan malu dengan persekitaran di luar ruang lingkup masyarakat Orang Asli.
iii) Membantu pelajar sebagai individu yang ada kepentingan menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya sesuai dengan minat pelajar Orang Asli sendiri.

4. KUMPULAN SASARAN

Sasaran : Keutamaan kepada semua pelajar menengah atas yang mengambil mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual ini (Tingkatan 5 dan 6 Atas)
Pencapaian : Memuaskan di peringkat Ting 6 Atas dan sederhana serta lemah di
peringat Tingkatan 5 tetapi boleh berjaya jika diberi bimbingan
berterusan.


5. PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Masalah:
Berdasar kajian, didapati terdapat beberapa faktor sosial budaya yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran sehingga menyebabkan pembelajaran Seni Visual ini terbantut dan gagal mencatat prestasi cemerlang termasuk kertas Teori yang memerlukan kefahaman dan hafalan setiap tajuk. Tetapi dalam kajian ini, keutamaan adalah kepada kertas penghasilan karya dan portfolio di mana kertas ini mengambil tempoh beberapa bulan untuk menyiapkannya.


Berdasarkan hasil dapatan tinjauan masalah, adalah difikirkan perlu dipilih satu kaedah atau pendekatan serta gaya pembelajaran yang sesuai untuk menimbulkan minat yang tinggi di samping membantu pelajar meningkatkan prestasi pencapaian peperiksaan.
5.2.1 Daripada hasil soal selidik,pemerhatian, pengamatan serta temubual yang dilakukan data yang dapat dikumpulkan adalah seperti berikut


Perkara
Bil %
Pelajar

Mereka berminat dalam mata pelajaran Seni Visual kerana guru yang mengajar.
100%

Lebih menyukai aktiviti/gerakerja berkumpulan daripada individu.
90%

Cepat merasa bosan jika sesuatu gerakerja/aktiviti mengambil masa yang terlalu lama.
80%

Berasa lapar dan dahaga menjadi faktor kurang berminat untuk belajar. Mereka tiba ke sekolah pada awal pagi, bila tengahari mula berasa tidak selesa.
70%

Aktiviti/gerakerja perlu segera selesai tanpa perlu tangguh dan disambung semula pada hari berikutnya, justeru kerja dilakukan tidak kemas. (cincai)
70%

Tidak suka paksaan guru yang kerap menyuruh menyiapkan tugasan/gerakerja yang diberi.
80%

Lebih berminat jika guru berbual-bual dengan mereka, terutama bercerita, mereka tahan beberapa jam jika dibandingkan belajar walaupun satu waktu.
90%

Tidak suka mewarna atau melukis kerana menganggap tidak pandai sebaliknya suka kepada aktiviti kraf.
80%

Suka aktiviti/gerakerja santai tanpa mematuhi disiplin ilmu mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
70%

5.3 Merancang dan Melaksana Tindakan:

a) Tempoh masa yang diambil untuk kajian ini ialah selama lapan minggu.
b) Pelajar dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu Tingkatan 6Atas dan Tingkatan 5
c) Bahan yang digunakan ialah :-
∙ berus pelbagai saiz ∙ warna air,warna minyak atau warna akrilik
∙ bekas warna ∙ pensel
∙ bekas air ∙ kertas lukisan
d) Instrumen yang digunakan untuk membuat pemerhatian/pengamatan(penilaian
berterusan) ialah seperti berikut:
∙ beberapa borang seperti senarai semak untuk catatan guru, borang pemerhatian
dan pengamatan serta transkrip temubual.

Langkah 1:
Menyediakan semua bahan yang diperlukan. Semua pelajar diminta membawa peralatan seni sendiri, jika tidak berkemampuan, peralatan seni akan disediakan oleh guru seni. Bahan dan alatan akan diambil dari studio seni.

Langkah 2:
Pelajar diberikan tema yang ingin dibuat penilaian. Berdasar tema, pelajar akan menjana motif-motif melalui lakaran-lakaran objek yang dipilih untuk perkembangan idea seterusnya menghasilkan satu catan yang merangkumi mesej tertentu, sarat dengan disiplin ilmu seni.
Langkah 3:
Menggunakan media campuran untuk pelajar Tingkatan 6 Atas dan warna air untuk pelajar Tingkatan 5 bertujuan menghasilkan produk berkualiti dengan membuat pertimbangan estetik, aplikasi asas seni reka dan apresiasi seni yang tingi.

Contoh-contoh teknik yang boleh digunakan dalam penghasilan catan; keutamaan kepada pelajar Tingkatan 5 (menggunakan warna air)

Teknik 1 : Basah atas kering
- Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas yang kering.
- Sesuai menghasilkan kesan warna legap.
- Mengaplikasikan warna sacara berlapis-lapis, iaitu daripada ton nipis dan cerah kepada yang paling tebal dan gelap.
- Sapuan warna mudah dikawal.

Teknik 2 : Basah atas basah
- Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas lukisan yang basah/lembap.
- Sesuai menghasilkan kesan warna lutsinar.
- Teknik ini memerlukan berus basah dicelupkan ke dalam warna yang cair sebelum disapu pada kertas lukisan
- Ia merupakan teknik yang paling sukar dan mencabar, terutama semasa mengawal sapuan warna.
Teknik 3 : Kering atas basah
- Teknik ini melibatkan sapuan warna terus daripada tiub ke atas permukaan kertas lukisan yang basah/lembab.
- Sesuai digunakan untuk menghasilkan kesan legap yang kering.
- Sesuai digunakan untuk menghasilkan kesan jalinan, dengan menyapu lapisan warna yang pekat ke atas lapisan warna lain yang telah kering.

Teknik 4 : Kering atas kering
- Teknik ini melibatkan sapuan warna terus daripada tiub ke atas permukaan kertas lukisan yang kering.
- Sesuai digunakan untuk menghasilkan kesan jalinan dan kesan warna legap.
- Teknik ini memerlukan warna kedua disapu terus ke atas warna pertama, sebelum warna tersebut kering.
-
6. REFLEKSI KAJIAN
Berdasar kajian yang telah dijalankan, dapatan yang diperolehi daripada responden berdasar borang soal selidik, pemerhatian, pengamatan dan temubual dapat dijadikan panduan untuk mengenalpasti punca masalah pembelajaran pelajar Orang Asli ini khusus dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.. Antara beberapa faktor yang mempengaruhi pembelajaran pelajar Orang Asli ini ialah:

a) Mereka berminat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual kerana guru yang mengajar.
b) Lebih menyukai aktiviti/gerakerja berkumpulan daripada aktiviti/gerakerja individu.
c) Cepat merasa bosan jika aktiviti/gerakerja terlalu lama.
d) Tiada semangat belajar kerana tempoh masa belajar terlalu panjang.
e) Berasa lapar dan dahaga menjadi faktor penyebab kurang berminat untuk belajar.
f) Aktiviti/gerakerja perlu segera selesai tanpa perlu tangguh dan disambung pada hari berikutnya.
g) Tidak suka paksaan guru yang kerap menyuruh menyiapkan aktiviti/gerakerja yang diberi.
h) Lebih berminat jika guru berbual-bual dengan mereka, terutama bercerita.
i) Tidak suka jika guru memaksa mereka melakukan aktiviti/gerakerja seni sebaliknya suka kepada aktiviti ringan/santai.
j) Tidak suka mewarna dan melukis kerana menganggap tidak pandai sebaliknya suka kepada aktiviti kraf.
Jelasnya di sini berdasar dapatan kajian, penulis bersetuju cara dan gaya kehidupan komuniti masyarakat Orang Asli yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang mereka mempengaruhi budaya pemikiran generasi seterusnya. Dari ibubapa mereka, anak-anak atau pelajar Orang Asli ini terpengaruh dengan cara pemikiran yang tidak terbuka sebaliknya menjadi ikutan sehingga mempengaruhi proses pembelajaran mereka. Keadaan yang sebati ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diubah kerana telah selesa dengan zon kehidupan mereka selama ini.
Untuk mengatasi masalah gangguan proses pembelajaran ini, satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran cuba diaplikasikan di dalam kelas sewaktu mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ini diajar oleh guru. Pendekatan yang dipilih ialah Pembelajaran Secara Kontekstual.
Sebagaimana yang kita ketahui, tiga jenis pengetahuan apabila mempelajari seni ialah:
a) pengetahuan tentang berbagai bentuk perasaan dan idea yang dilahirkan oleh manusia(individu) melalui seni.
b) Pengetahuan organizasi formal dan hubungannya dalam menghasilkan rasa selesa, senang, menawan dan menarik.
c) Pengetahuan bagaimana manusia menggunakan hasil seni dalam persekitaran fizikalnya.

Berdasar kepada tiga elemen ini, pembelajaran secara kontekstual dianggap lebih bersesuaian dengan masalah gaya pembelajaran pelajar Orang Asli yang ada hubungkaitnya dengan budaya pemikiran mereka.

PEMBELAJARAN SECARA KONTEKSTUAL:
a) Pelajar menggabungkan isi kandungan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual yang diajar guru dengan pengalaman harian mereka dalam kehidupan masyarakat Orang Asli serta alam pekerjaan mereka.
- Pengalaman mereka dalam kelompok masyarakat Orang Asli dengan aktiviti harian yang suka berkebun, masuk ke dalam hutan mendorong mereka menghasilkan produk yang ada kaitan secara langsung dengan kehidupan seharian mereka.
- Mereka lebih cenderung dalam bidang kraf serta kraf dimensi baru terutama anyaman mengkuang untuk mengisi beras, anyaman menggunakan rotan sebagai bakul untuk mengisi buaha-buahan hutan. Alam pekerjaan seperti ini mendorong pelajar Orang Asli gemar kepada seni kraf.
- Apabila mengajar tajuk kraf guru perlu menunjuk contoh produk sebenar dalam bentuk dimensi baru yang telah diubahsuai mengikut peredaran waktu. Penekanan tentang nilai, fungsi, estetik dan makna perlu di samping menerangkan proses penghasilan karya.
Menurut pandangan pakar pedagogi tentang pembelajaran secara kontekstual ini iaitu Dan Hull menyatakan,”.......students involvement in their schoolwork increases significently when they are taught why they are learning the conceps and how those concept can be used outside the classroom. And most student learn much more efficentlywhen they are allowed to work cooperatetively with other students in group or teams....”.
b) Pembelajaran berlaku apabila pelajar dapat memproses maklumat/pengetahuan baru yang diterima dengan cara yang bermakna dalam rangka minda mereka.
- Maklumat/pengetahuan baru yang diterima daripada guru berkaitan dengan kraf diharap dapat merangsang tiga domain utama iaitu domain kognitif(meningkat pengamatan), afektif(pengetahuan budaya) dan psikomotor(kemahiran perlakuan).
- Pelajar Orang Asli ini didedahkan tentang latarbelakang kraf di mana jika dahulu berfungsi untuk kehidupan harian tetapi kini diteroka untuk komersial di samping memperkembangkan bakat, juga mampu membentuk perasaan dan idea yang terpendam. Perasaan itu yang perlu diluahkan menjadi idea yang menarik. Peranan guru penting dalam pemprosesan menjana idea dan maklumat. Percambahan idea perlu dari pelajar Orang Asli ini untuk membuka minda mereka dan menganggap mata pelajaran seni ini penting dalam hubungannya dengan persekitaran fizikalnya. Bahkan penghasilan produk kraf ini perlu diberi penekanan terhadap nilai estetik dan falsafah di sebaliknya.

Menurut John Dewey,(1859-1952) ”.... A curiculum and teaching methodology tied to the child’s experience and interests......”.

c) Pelajar Orang Asli menjadi lebih tertarik kepada pembelajaran guru yang menyampaikan maklumat dalam konteks yang pelbagai dan bermakna kepada pelajar.
- Dalam pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual , guru perlu menggunakan aspek psikologi, fizikal, sosial dan budaya dalam merangsang minat pelajar yang sememangnya mempunyai budaya atau tradisi kehidupan yang lebih suka berada di dalam hutan berbanding pergi ke sekolah.
- Keadaan ini memerlukan guru merangsang pembentukan domain afektif. Guru perlu meyakinkan pelajar tentang kebolehan menghasil dan menilai seni berdasar ekspresi dan emosi mereka untuk menyatakan apa yang mereka rasa.
Menurut Howard Gardner,(1983)”.......learning as a complex process that cannot be addressed adequately through drill-oriented, stimulus/respon methodologies.......”

d) Guru perlu memberi penekanan kepada kepelbagaian persekitaran pembelajaran untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.
- Pelajar Orang Asli cepat merasa bosan dan jemu semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan sebagai satu langkah mengatasi suasana pembelajaran di dalam kelas, guru perlu membawa pelajar ke luar kelas/studio untuk memberi satu pengalaman baru dan seterusnya merangsang minda mereka dalam penerokaan idea dan maklumat.
Menurut pandangan pakar pedagogi tentang pembelajaran secara kontekstual iaitu D.A Kolb,(2001:Petikan diambil dari rujukan Perpustakaan Negara Malaysia, PPK)”...... suasana pembelajaran yang melibatkan pelbagai pengalaman yang mungkin dalam konteks sosial, budaya, fizikal dan psikologi....”

Gaya pembelajaran secara kontekstual ini dipilih kerana ia paling hampir dengan budaya pemikiran pelajar Orang Asli yang mempunyai tiga komponen utama iaitu kognitif, afektif dan behavioural. Diharapkan melalui pendekatan ini, masalah pembelajaran di kalangan pelajar Orang Asli dapat diatasi, sekurang-kurangnya membuka minda mereka untuk meningkatkan diri dan membangunkan minda, tidak terus terkongkong dalam budaya pemikiran yang cetek atau sempit kerana terdapat ramai juga Orang Asli yang telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Prof Dr Juli Edo, pensyarah bidang Antropologi dari Universiti Malaya.
PENDEKATAN YANG DIPILIH: TEORI LANSING (1977)
Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)
Lansing(1977) menyatakan matlamat dan objektif Pendidikan Seni sebagai ”.......to reach educational objective through art, however a person must make and appreciate art. Thus the major goal of art education is the production of artists and connoisseurs”.... (Lansing:268)
Lansing yakin bahawa penilaian seseorang terhadap hasil seni tidak dapat dipenuhi sekiranya tidak berkemampuan untuk membuat penilaian atau kritikan terhadap seni kerana untuk mencapai objektif pendidikan menerusi Pendidikan Seni, seseorang itu perlu tahu (berkeupayaan untuk menghasilkan) dan menghargai seni. Beliau yakin bahawa setiap individu ada potensi (bakat) yang boleh dikembangkan melalui Pendidikan Seni. Justeru pekembangan bakat ini memberi nilai seni untuk dirinya dan masyarakat.
Berdasar pendapat Lansing tersebut, guru Pendidikan Seni harus sedar bahawa pelajar Orang Asli ini lebih berminat di dalam bidang kraf, maka berilah mereka suatu kemahiran yang baru seperti kraf dimensi baru untuk merangsang minda dalam menjana idea-idea baru digabung bersama pengalaman sedia ada mereka yang ada hubungkaitnya dengan budaya persekitaran mereka. Jika tradisi nenek moyang mereka cenderung menganyam menggunakan daun menkuang dan rotan sebagai keperluan kehidupan seharian, maka guru boleh mengajar sesuatu yang baru seperti memperkenalkan motif sebagai ragamhias(hiasan) dalam kraf seperti batik, ukiran kayu atau tembikar. Di samping menjana idea baru, guru turut menyelitkan unsur estetika dan nilai falsafah di sebalik pemilihan motif-motif tersebut. Secara tidak langsung budaya pemikiran pelajar Orang Asli dapat dibangunkan kerana penghasilan kraf tersebut melibatkan perasaan dalaman(emosi) dan pelajar Orang Asli boleh meluahkan perasaan mereka supaya tidak lagi mudah tersinggung. Ini kerana luahan emosi boleh meringankan beban perasaan yang disimpan(budaya pemikiran afektif). Apatah lagi kehidupan masyarakat Orang Asli amat sinonim dengan kehidupan hijaunya alam. Menurut Lansing lagi, beliau melihat pembentukan kurikulum kepada tiga domain utama:

a) Domain Kognitif (untuk meningkat pengamatan).
- Dalam domain kognitif ini menggariskan ilmu tentang kehidupan (latarbelakang dan pengalaman), gubahan (disiplin seni, menyusun unsur, bahasa seni tampak), prosedur (proses kerja secara artistik), sejarah seni (penghayatan seni, menikmati ilmu) dan nilai seni (estetika-pengolahan dan pengalaman) menjadi perkara utama.
b) Domain Afektif (pengetahuan budaya).
- Ia menggariskan pelajar perlu berminat dalam menimba pengetahun, sedia bekerja keras (kreatif, sedia berubah, merubah), berfikiran terbuka (terhadap adanya perbezaan gaya, bentuk dan lain-lain) serta yakin kepada kebolehan menghasilkan dan menilai seni (potensi individu membuat penyataan)
c) Domain Psikomotor (kemahiran perlakuan)
- Pelajar menggunakan koordinasi mata, tangan dan mental.
Melalui kesemua domain ini pelajar bukan sahaja mempunyai tahap intelektual yang tinggi malahan mempunyai ketinggian nilai, minat, sikap dan penghargaan nilai, set emosi yang diingini dan pelajar juga mampu membuat penyataan etika dan estetika yang baik terhadap penghasilan seni melalui aktiviti serta menunjukkan kemahiran memanipulasi bahan dan peralatan seni secara efisyen.
Dapat disimpulkan bahawa menurut Lansing, bakat semulajadi kanak-kanak boleh dikembangkan dengan menekankan kepada struktur ilmu yang dilihat melalui tiga domain utama iaitu kognitif, afektif dan psikomotor di mana kandungan, nilai/sikap, kemahiran Pendidikan Seni perlu dilaksanakan secara berterusan dengan garis panduan di mana matlamat ini akan membentuk objektif Pendidikan Seni, ” The goal is the development of individuals with enough knowledge, skill and taste to interpret or communicate the meaning of human experience through visual models: this means that those individuals will have enough taste to the meaning of life that are most appropriate”.. (Lansing:271)
Berbalik kepada isu budaya pemikiran pelajar Orang Asli ini yang mendorong kepada ketidaklancaran pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah kebangsaan Tapah ini, saya mengambil pendekatan Lansing (1971) supaya dapat disesuaikan dengan kumpulan pelajar Orang Asli yang boleh dikategorikan sebagai sangat lemah, jika ada yang sederhanapun hanya dalam kumpulan minoriti sahaja. Pembentukan objektif Lansing jelas menunjukkan bagaimana kandungan yang sama digunakan dalam peringkat yang berbeza mengikut aras perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, afektif dan psikomotornya.
Guru Seni di Sekolah Menengah kebangsaan Tapah perlu mengambilkira latar belakang dan pengalaman pelajar tentang ilmu kehidupan yang telah diwarisi dari nenek moyang mereka. Contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran membuat kraf yang berkaitan dengan ayaman, pelajar Orang Asli ini perlu dikikis dahulu perasaan malu/sensitif mereka. Justeru perlu dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut perancangan teliti untuk menarik minat mereka kerana umumnya pelajar Orang Asli ini cepat merasa bosan jika pengajaran dan pembelajaran guru kurang menarik.
Menurut kajian soal selidik terdapat pelajar yang tidak berminat untuk menumpukan sesuatu gerakerja/aktiviti seni yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan, ini mendorong rasa bosan kepada mereka kerana perlu menunggu untuk menyiapkan tugasan. Faktor ini disebabkan budaya pemikiran turun temurun yang diwarisi dari nenek moyang mereka yang mendapat sumber pendapatan hasil dari bertani dan berburu dengan cepat tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama. Ini menyebabkan sikap sedemikian tidak dapat dikikis dari diri mereka kerana ibubapa mereka juga bersikap begitu.
Guru perlu menyusun prosedur aktiviti secara terancang dengan memasukkan sejarah seni, gubahan karya, dan nilai seni itu sendiri. Pelajar Orang Asli ini suka dan leka berbual kosong, di kesempatan ini guru perlu mengambil peluang untuk bercerita sambil memasukkan elemen-elemen seni tadi. Secara tidak langsung ianya dapat meningkat pengamatan pelajar Orang Asli ini(domain kognitif). Sebagai contoh berkaitan kraf, guru boleh bercerita tentang sejarah kraf, nilai kraf, gubahan kraf, tokoh kraf, falsafah kraf dan sebagainya.
Dari aspek domain afektif, guru perlu wujudkan budaya sedia bekerja keras, disiplin yang tinggi, yakin boleh menghasilkan sesuatu dan rajin berusaha kerana semua faktor dinyatakan menjadi pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Tembok yang sedia ada di kalangan pelajar Orang Asli yang tidak pandai berdikari menyebabkan mereka tidak suka kepada aktiviti individu. Mereka akan berasa tertekan dan tidak mahu menyiapkan tugasan. Ini disebabkan ”sharing society” yang diwarisi sejak dahulu mempengaruhi budaya pemikiran mereka. Guru boleh melakukan pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan tetapi dalam bilangan yang kecil kerana untuk mengubah sesuatu yang yang sebati dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka perlu diberi pendedahan untuk berfikir secara terbuka.
Menurut Geoffrey Caine dan Renata Numella Caine(2001:Petikan diambil dari rujukan perpustakaan Negara Malysia PPK) ada menyatakan, ”........the mind seeks meaning through searching for relationships that make sense and fit with past experience....”
Pelajar Orang Asli ini juga akan memberontak sekiranya dipaksa melakukan sesuatu aktiviti/gerakerja yang menyekat kebebasan mereka seperti mematuhi prosedur membuat anyaman atau mengukir secara berperingkat. Peraturan ini membuat mereka berasa terikat sedangkan mereka lebih suka melakukan aktiviti secara bersantai. Perlakuan pelajar ini perlu diambil kira oleh guru kerana dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, domain psikomotor iaitu koordinasi mata, tangan dan mental mempengaruhi hasil kerja mereka.
7. CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Usaha membangunkan minda komuniti pelajar Orang Asli sebagai satu langkah untuk mencelikkan budaya pembelajaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Golongan pendidik merupakan agen perubahan budaya pembelajaran Orang Asli. Memberi penekanan secara paksaan untuk pembentukan budaya pembelajaran yang positif adalah satu usaha yang sukar dan kejayaan payah dicapai dalam masa yang singkat. Diharap pendekatan Lansing (1971) dapat membantu pelajar Orang Asli meminati mata pelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah, seterusnya mengamalkan nilai-nilai seni dalam kehidupan mereka seperti pendapat Lansing:293,”...... by recognizing and naming the formal elements in art and in the rest of the visual enviroment......”. (pelajar pada tahap ini berupaya untuk bertindak sebagai pecinta seni dan kehidupan).
RUJUKAN

Lansing, Kenneth M, (1971), Art, Artists and Art Education, New York. Hill Books Company.

Feldman, Edmund, (1990) Discipline-Based Art Education, NAEA, USA.

Arthur Efland, (1977) Planning Art Education in Middle/Secondary Schools of Ohio,Ohio.

Mohd Johari (2004). Pendidikan Seni Visual dan Muzik, Tanjung Malim. Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, UPSI.

Zailan Yaacob dan Azimah A.Samah (2004), Kraf Tradisional dan Kraf Dimensi Baru.

Efland, Arthur (1977), Planning Art Education in the Middle/Secondary Schools of Ohio, OHIO.USA, State of Department of Education.

Chapman, Laura H. (1992) Approaches To Art In Education, Harcourt Brace Jovanovich Inc, New York.

Donal Jack Davis, (1971) Human Behaviour: Its Implication For Curiculum Development In Art Studies In Art Education NAEA Vol.12 No.3 Spring 1971.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia 2001
Mazlan Mohamad (1996), pendidikan Seni 1- Prinsip Pendidikan Seni, Selangor. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Mok Soon Sang (1988), Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

John Dewey (1859-1952) : Teori Pendidikan Dewey

Howard Gadner (1983) “ Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligence”.









No comments:

Post a Comment