LAMAN SENI

My photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Monday, August 17, 2009

Kajian Lapangan Seni Seramik di Kasongan, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 2008.

Program ini dilaksanakan berpandukan kepada kajian lapangan penyelidikan seperti di atas yang memperlihatkan keunikan seni seramik Kasongan dalam konteks perkembangan kraf dan kehidupan masyarakatnya yang terletak di Yogyakarta, Indonesia. Kasongan adalah nama daerah pelancongan di wilayah Bantul, Daerah Istimewa Yogyakarta ( DIY ) yang terkenal dengan hasil kemahiran kraf seramiknya. Tempat ini terletak di daerah penempatan Kajen, desa Bangunjiwo, Kecamatan Kasihan, Bantul, Daerah Istimewa Yogyakarta, (~ S 7.846567° - E 110.344468°) sekitar 6 km dari Alun-alun Utara Yogyakarta ke arah Selatan.

Daerah Istimewa Yogyakarta adalah sebuah daerah otonomi dikelaskan sebagai daerah yang penuh unsur sejarah serta kebudayaan satu dari 26 daerah yang setaraf dengannya di Indonesia. Kawasan ini berpusat di Yogyakarta, sebuah kota yang kaya dengan keindahan, baik berasal dari sejarah mahupun potensi yang ada, seperti sebagai kota perjuangan, kota kebudayaan, kota pelajar, dan kota pariwisata. Menurut Babad Gianti, Yogyakarta atau Ngayogyakarta (bahasa Jawa) adalah nama yang diberikan oleh Paku Buwono II (raja Mataram tahun 1719-1727) sebagai pengganti nama pesanggrahan Gartitawati. Yogyakarta bererti Yogya yang kerta, Yogya yang makmur, sedangkan Ngayogyakarta Hadiningrat bererti Yogya yang makmur dan yang paling utama, sumber lain mengatakan, nama Yogyakarta diambil dari nama (ibu) kota Sanskrit Ayodhya dalam Epik Ramayana. Dalam penggunaannya sehari-hari, Yogyakarta lazim diucapkan Jogja(karta) atau Ngayogyakarta (bahasa Jawa).

Sebutan kota perjuangan untuk kota ini berkenaan dengan peranan Yogyakarta dalam konteks perjuangan bangsa Indonesia pada zaman kolonial Belanda, zaman penjajahan Jepun, maupun pada zaman perjuangan mempertahankan kemerdekaan. Yogyakarta pernah menjadi pusat kerajaan, baik Kerajaan Mataram (Islam), Kesultanan Yogyakarta mahupun Kadipaten Pakualaman. Sebutan kota kebudayaan untuk kota ini berkait rapat dengan peninggalan-peninggalan budaya bernilai tinggi semasa kerajaan-kerajaan tersebut yang sampai kini masih tetap dipelihara. Sebutan ini juga berkaitan dengan banyaknya pusat-pusat seni dan budaya. Sebutan kata Mataram yang banyak digunakan sekarang ini, tidak lain adalah sebuah kebanggaan atas kejayaan Kerajaan Mataram.

Sebutan Yogyakarta sebagai kota pelancongan menggambarkan potensi wilayah ini dalam konteks keunggulan pelancongannya. Yogyakarta adalah daerah pelancongan kedua terbesar selepas Bali. Berbagai jenis objek dan lokasi pelancongan dikembangkan di wilayah ini, seperti pelancongan alam, sejarah, budaya, dan pendidikan. Ia dilabelkan sebagai kota pelajar yang ada hubungkait dengan sejarah dan peranan kota ini dalam dunia pendidikan.

Di samping perkara-perkara di atas, sejarah dan status Yogyakarta merupakan hal menarik untuk dilihat. Nama daerahnya memakai sebutan DIY sekaligus statusnya sebagai Daerah Istimewa berkenaan dengan rentetan sejarah Yogyakarta, baik sebelum mahupun sesudah Pembinaan Kemerdekaan Republik Indonesia.

Edmund Burke Feldman (1992) dalam bukunya Varieties of Visual Experience Fourth Edition menjelaskan seni wujud seiring dengan kesan sejarah dan ketamadunan manusia yang masih berkembang seiring dengan kemajuan manusia berserta zamannya. Jelasnya manusia memerlukan seni kerana ada pelbagai sebab, kerana seni dapat memenuhi keperluan manusia secara personal untuk mereka berekspresi. Dari aspek sosial pula, manusia amat memerlukan seni untuk mereka berkomunikasi serta mengadakan keraian dan sebarang pertunjukkan.

Budaya kehidupan manusia adalah secara historikal yang menekankan kepada warisan sosial dan tradisi yang menyebut bahawa budaya sesuatu masyarakat adalah suatu pandangan kehidupan dari sekumpulan idea-idea dan kebiasaan yang dipelajari, dimiliki dan diwarisi dari generasi.

Syed Ahmad Jamal dalam bukunya, Rupa dan Jiwa menyatakan, “………….. dengan mengamati karya seni, seseorang dapat menepati realiti dan mencedok pengetahuan. Ilham ditafsirkan sebagai suatu yang datang dari luar yang memberi nafas kepada ciptaan. Konsep ini dianggap sebagai kuasa mistik….”. Kenyataan beliau menggambarkan betapa ciptaan-ciptaan seni itu merupakan sebahagian dari kehidupan dan menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Dato’ Haji Jumaat bin Dato’ Haji Mohd Noor , Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka juga ada menyatakan,”…………… perbezaan dalam menggarap, mentafsir dan memberikan sesuatu kepuasan dalam pembuatan kesenian telah menumbuhkan keanekaragaman dalam hasil seni itu. Maka itu ciptaan-ciptaan baru akan terus lahir dari sehari ke sehari daripada seorang pencipta kepada seorang pencipta yang lain. Kenyataan ini tepat sekali kerana budaya kehidupan manusia adalah secara historikal yang menekankan kepada warisan sosial dan tradisi.

Tujuan kami ke Yogyakarta seramai 10 orang adalah untuk memenuhi syarat mengikuti kertas SPP 6053 iaitu kertas Methodologi Penyelidikan dan Pendidikan Seni. Fokus penyelidikan kami ialah mengenai Seramik yang menjadi kebanggaan bandar Yogyakarta suatu masa dahulu hingga kini di mana masyarakatnya di lokasi tersebut menjadikan kemahiran membuat seramik sama ada seramik patung mahupun seramik pasu yang menjadi peralatan untuk kegunaan mereka seharian. Lokasinya terletak di Kasongan, Yogyakarta.

Latarbelakang Masalah

Kasongan adalah nama daerah Desa Wisata di Wilayah Kabupaten Bantul, Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) yang terkenal dengan hasil kerajinan gerabahnya. Tempat ini tepatnya terletak di daerah Pedukuhan Kajen, desa Bangunjiwo, Kecamatan Kasihan, Bantul, Daerah Istimewa Yogyakarta, (~ S 7.846567° - E 110.344468°) sekitar 6 km dari Alun-alun Utara Yogyakarta ke arah Selatan.

Kasongan mulanya merupakan tanah pesawahan milik penduduk desa di selatan Yogyakarta. Pada Masa Penjajahan Belanda di Indonesia, di daerah pesawahan milik salah satu warga tersebut ditemukan seekor kuda yang mati. Kuda tersebut dikatakan milik Reserse Belanda. Ketika Penjajahan Belanda, warga yang memiliki tanah tersebut takut dan segera melepaskan hak tanahnya yang kemudian tidak diakuinya lagi. Ketakutan serupa juga terjadi pada penduduk lain yang memiliki sawah di sekitarnya yang akhirnya juga melepaskan hak tanahnya.

Oleh kerana banyaknya tanah yang bebas, maka penduduk desa lain segera mengakui tanah tersebut. Penduduk yang tidak memiliki tanah tersebut kemudian beralih profesion menjadi seorang ‘pengrajin keramik’ (pandai tukang seramik) yang mulanya hanya mengempal-ngempal tanah yang tidak pecah bila disatukan. Sebenarnya tanah tersebut hanya digunakan untuk mainan anak-anak dan perabot dapur saja. Namun disebabkan ketekunan dan tradisi yang turun temurun, Kasongan akhirnya menjadi Desa Wisata yang cukup terkenal.

Sejak tahun 1971-1972, Desa Wisata Kasongan mengalami kemajuan cukup pesat. Sapto Hudoyo (seorang seniman besar Yogyakarta) membantu mengembangkan Desa Wisata Kasongan dengan membina masyarakatnya yang sebahagian besar ‘pengrajin’ untuk memberikan berbagai sentuhan seni dan komersil bagi desain kerajinan gerabah sehingga gerabah yang dihasilkan tidak menimbulkan kesan yang membosankan , sebaliknya dapat memberikan nilai seni dan nilai ekonomi yang tinggi. Keramik Kasongan dikomersialkan dalam skala besar oleh Sahid Keramik sekitar tahun 1980an.

Menurut Ahli Antropologi Jerman, Adolf Bastian (1826-1905) telah menyatakan tentang kawasan berbudaya di Kepulauan Indonesia; “.................dalam ruang inilah terdapat satu wilayah kebudayaan yang sama kerana perbandingan bahasa, peralatan budaya, kepercayaan asal serta struktur sosial menunjukkan persamaan yang erat di samping penduduknya yang terdiri daripada kumpulan etnik yang dapat disusun galurkan kepada satu keturunan yang serupa menunjukkan sifat-sifat fizikal yang serupa........”.

Kampung Perlancongan Seramik (Desa Wisata Gerabah) "Kasongan" terletak di Desa Bangunjiwo, Kecamatan Kasihan, sekitar 4 kilometer ke arah utara Kota Bantul.Desa wisata ini memproduksi peralatan rumah tangga seperti piring, mangkuk, guci, dan lain sebagainya yang terbuat dari tanah liat. Pengunjung tidak hanya dapat berbelanja, tetapi juga dapat menikmati secara langsung proses pembuatan gerabah sambil bertanya jawab dengan pengrajin.

Desa Kasongan berada dalam wilayah Daerah Istimewa, Yogyakarta. Desa ini terkenal dengan hasil kerja kraf, khususnya seramik. Karya seramik menjadi identiti Kasongan dan antarabangsa, antaranya Malaysia. Mereka menjadikan seramik sebagai sumber pendapatan malah kini menjadikan seramik sebagai sebuah industri. Masyarakat Desa Kasongan dilihat begitu unik kerana masyarakat ini memiliki potensi dalam pelbagai cabang kesenian daerah yang telah berzaman mengakari kehidupan mereka tetapi telah memilih corak ekspresi moden yang berada diluar lingkungan tradisi menjadi amalan kehidupan masyarakatnya kini.

Menurut Susan K.Langer (1957) dalam bukunya yang berjudul The Culture Importance Of Art In Reading For Liberal Education Fitfh Edition menegaskan bahawa seni adalah lambang tamadun manusia sama ada secara sosial atau secara individu. Ini jelas sesuatu kebudayaan itu akan dimulakan dengan satu pembangunan serta perkembangan perasaan peribadi seseorang individu tersebut dan seterusnya dengan kelompok sosial dan keagamaan kerana manusia mempunyai keperluan biologis, sosial dan spritual. Oleh itu pembangunan tersebut seterusnya menggunakan seni sebagai satu instrumennya.

Menurut Rohidi (2001) dalam tulisannya menyatakan bahawa kraf seramik yang dihasilkan oleh pengkarya Desa Kasongan dari sudut penghasilannya dilihat condong kepada bentuk tradisional. Rata-rata warga lelaki dewasa di Desa Kasongan menjadi pengkarya yang menghasilkan karya-karya kraf seramik yang bersifat ekspresi dengan pelbagai bentuk, media dan teknik .

Keupayaan memasyarakatkan karya seni kraf di kalangan hampir keseluruhan warga lelakinya yang memiliki pelbagai kemahiran seni tradisi tetapi memilih untuk mejadikan seni kraf sebagai kerjaya dilihat sebagai sesuatu yang unik dan perlu dikaji. Croce & Collingwood (1972) berpendapat bahawa ”.............sesuatu produk seni itu merupakan suatu imej mental, objek yang ’idea’ yang dinyatakan dalam bentuk fizikal melalui bahan yang terhasil daripada karya sebenar dalam fikiran pemerhati.......”

Menurut Susanne Langer lagi dalam buku beliau,”Imitation & Transformation In The Arts menyatakan; ”..................seni ialah kemahiran pertukangan untuk tujuan tertentu- penciptaan bentuk penyataan. Seni menggambarkan perasaan dan teknik ialah kesan pengalaman deria yang mencapai mercunya. Imbangan di antara seni dan teknik menghasilkan pencapaian perkembangan peradaban manusia. Hasil ciptaannya mengingatkan kita bahawa penciptanya ialah manusia.....”. Justeru masyarakat Desa Kasongan dilihat begitu unik kerana memiliki potensi dalam pelbagai cabang kesenian.

Rata-rata kebanyakan komuniti di sini mempamerkan kemahiran membuat seramik di rumah-rumah mereka yang dijadikan sebagai tempat berkarya. Jelasnya di sini, hasil karya mereka memperlihatkan beberapa jenis seramik yang tertentu mengikut pengalaman, perasaan dan kepercayaan dalam kehidupan mereka.

Leo Tolstoy dalam bukunya ‘What is Art?’ (1896) menyatakan seni adalah hasil pengalaman dan perasaan yang tercerna melalui garis, warna, gerak, bunyi, kata-kata, bahasa dan rupa bentuk yang dikongsi bersama orang lain. Di Kasongan, seramik dikenali sebagai keramik manakala pengiat seramik dikenali sebagai perajin keramik. Keunikan dan kehebatan seni seramik Kasongan amat terkenal seantero Nusantara.

Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimana kegiatan dan perkembangan seni seramik di kampung Kasongan, Yogyakarta. Ia juga bagi mengetahui sejauh mana perkembangan seni kraf dan fungsinya di dalam masyarakat Kasongan itu sendiri. Seramik Kasongan merupakan salah satu hasil kesenian amat dikenali suatu masa dahulu dan kini mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Kajian ini juga akan menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan data-data yang berkaitan dengan karya dalam kontek perkembangan Kraf Seramik Kasongan dalam kehidupan masyarakatnya.

Persoalan Penyelidikan

Kajian yang akan dijalankan ini, pada dasarnya adalah bertujuan untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan berikut :-

1.3.1 Apakah bentuk dan jenis seramik yang dihasilkan?

1.3.2 Apakah fungsi seni kraf dalam kehidupan masyarakat Kasongan?

1.3.3 Bilakah seni seramik bermula di Kasongan dan mengapa ia berkembang?

Tujuan Kajian

Tujuan penyelidik melakukan kajian ini adalah seperti berikut:

1.4.1 Mendapatkan pengalaman melalui penyelidikan ilmiah ke lapangan.

1.4.2 Menambahkan pengetahuan mengenai seni kraf seramik di Kasongan, Yogyakarta.

1.4.3 Mengetahui keunikan ragam hias seramik nusantara.

1.4.4 Mengkaji pendekatan pengolahan seramik di Desa Wisata Gerabah Kasongan, Yogyakarta, Indonesia dalam kontek perkembangan kraf dalam kehidupan masyarakat.

1.4.5 Memeta dan mendeskripsikan kraf seramik berdasarkan latar belakang persekitaran alam fizikal dan sosio budaya tempat ekspresi kesenian itu wujud dan dihayati oleh masyarakat pendukungnya.

1.4.6 Mengenalpasti dan mendeskripsi corak seni tampak yang menjadi salah satu ciri atau keunikan yang wujud dalam sebuah kelompok masyarakat sesebuah negeri.

1.4.7 Mengenalpasti identiti bangsa, khususnya identiti visual menerusi refleksi yang tersurat dan tersirat pada ekspresi seni tampak dalam konteks sosio-budaya sesuatu masyarakat

1.4.8 Memahami keunikan yang wujud berasaskan pada perbezaan dan persamaan dalam ekspresi kraf seramik bagi memberi gambaran mengenai corak dan identiti masyarakat dan kebudayaan pendukungnya.

Kepentingan Kajian

1.5.1 Secara teorikalnya, penyelidikan yang bakal dilaksanakan ini memberi banyak faedah terutama kepada pelajar yang mengambil kertas ini (SSP 6503) untuk mengetahui dan memahami pendekatan yang digunakan oleh pengkarya-pengkarya seramik di daerah Kasongan dalam melahirkan seramik yang bermutu tinggi. Ini berdasarkan kepada maklumat dan dapatan yang diperolehi secara langsung dari penggiat atau masyarakat pendukungnya berkaitan identiti bangsa, khususnya identiti visual menerusi refleksi yang tersurat dan tersirat pada ekspresi seni tampak dalam konteks sosio-budaya sesuatu masyarakat.

1.5.2 Dari aspek impirikal pula secara tidak langsung, ia memberi pendedahan berserta maklumat-maklumat dan manfaat kepada para pelajar untuk meneruskan kajian secara mendalam lagi berkaitan dengan kegiatan pembuatan seramik ini mungkin kajian tentang falsafah dan nilai estetika yang terkandung di dalam sesuatu produk yang dihasilkan

Kerangka Konsep

Penyelidikan ini menggunakan pendekatan interdisiplin dengan paradigma kualitatif. la akan dijalankan dengan menggunakan beberapa kaedah. Kaedah-kaedah ini dipilih untuk memastikan data-data yang diperlukan dapat diperolehi secukupnya tanpa sebarang keciciran. Kaedah temubual, pemerhatian, perakaman audio video dan perakaman foto akan digunakan dalam hampir keseluruhan proses kajian.

Kaedah temubual akan disokong oleh kaedah perakaman audio video dan foto untuk mendapatkan data-data yang bersangkutan dengan bentuk, media, teknik dan proses penghasilan karya. Kaedah yang sama juga akan digunakan untuk mendapatkan data-data berkaitan nilai-nilai budaya setempat.

Data-data yang bersangkutan dengan lokasi kajian akan menggunakan kaedah rujukan perpustakaan. Kaedah rujukan perpustakaan ini hanya digunakan untuk mendapatkan gambaran awal lokasi kajian. Kaedah perakaman audio video dan foto juga akan digunakan untuk mendapatkan data berkaitan lokasi kajian yang terkini dengan disokong oleh kaedah temubual.

Data-data yang diperolehi nanti akan dikelaskan kepada beberapa kategori seperti kefahaman, cara perlaksanaan dan nilai budaya. Segala dapatan akan dilaporkan dalam bentuk diskriptif seperti carta pengurusan grafik, video, foto, penulisan, dan sebagainya.



Ditulis oleh: Siti Hayati bt Hj Mohd Yusoff

Semester 2 (2007/2009)

Program Master Fakulti Seni & Muzik

UPSI, Tanjung Malim.


Gambar-gambar Semasa di Yogjakarta







Gambar Seramik Kasongan Final


Gambar figura lelaki

Figura manusia gendang

Arca gajah

Arca katak

Arca kepala Buddha

Arca kepala kuda

Arca kepala singa

Arca kuda

Arca naga dan kuda

Arca pameran

Arca singa

Arca yang telah dibentuk

Arca yang telah dibakar

Arca yang telah siap

Dapur pembakaran

Dapur pembakaran

Dapur pembakaran tradisional

Hasil keramik

Kayu untuk pembakaran


Lokasi kajian

Membentuk pasu

Menguli tanah

Motif buah anggur

Motif daun

Motif flora

Motif geometri

Motif ikan pada pasu

Motif merak

Nama lokasi kajian

Packaging

Packaging

Papan putar (simen)

Pasu

Pasu yg baru dibentuk

No comments:

Post a Comment