LAMAN SENI

My Photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Saturday, August 8, 2009

MENILAI SENI:SUBJEK SENI DI MASA HADAPAN

PENDAHULUAN:

Pendidikan Seni merupakan salah satu subjek yang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Sejak Malaysia merdeka sehingga sekarang banyak perubahan yang telah berlaku pada Kurikulum Pendidikan Seni. Perubahan-perubahan ini adalah perlu bagi meningkatkan lagi mutu subjek seni ini bagi memartabatkan seni sebagai satu subjek yang penting di ajar di sekolah.

Pendidikan ditakrifkan sebagai proses pemasyarakatan, aktiviti dan proses yang bertujuan untuk menghasilkan perubahan yang dikehendaki di dalam diri seseorang. Dalam masyarakat primitif, proses pendidikan adalah penyampaian pengetahuan tradisi dengan cara hidup yang diperolehi daripada generasi terdahulu. (Atan Long: Psokologi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka 1978).

Edlar (1970) pula berpendapat: Pendidikan pada sebarang tempat adalah khusus serta boleh dalam apa juga keadaan yang mewujudkan gabungan alam dan manusia. Oleh itu dalam pendidikan, penyampaian dan pemerolehan ilmu itu bertujuan untuk membawa perubahan ke dalam diri manusia agar terbentuk peribadi mulia.

Menurut Kamus Oxford, seni adalah, ’........... the production of something beautiful, skill or ability in such work...’.

Victor Lowenfeld pula menyatakan, ’ Art is a fundamental human process’......

Syed Naquib Al-Attas menyatakan, ’ pendidikan ialah suatu proses menerapkan sesuatu kepada manusia. Kandungan pendidikan adalah ilmu proses pendidikan iaitu perintisan ilmu ke dalam diri manusia..’

Teknologi elektrik; tempias teknologi maklumat dan agen transportasinya telah mula menular di dalam perkembangan seni tampak. Ia akan menjadi aliran baru yang mampu memberi perubahan dan transformasi kepada pengucapan berkarya. Jika dilihat pengamal seni di Malaysia masih lagi bimbang untuk melakukan sedikit anjakan evolusi minda. Hakikat terhadap berus, cat, dan kanvas sebagai alatan dan media unggul tidak seharusnya diketepikan tetapi sebaliknya perlu dikembangkan.

Komputer, perisian dan skrin elektronik mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya. Melalui kesepaduan seni dan teknologi terkini boleh boleh mengujudkan kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi masa akan datang. Sekaligus transformasi seni ini boleh dijadikan pemangkin kepada pendidikan dan pengajaran. Tidak dinafikan generasi sekarang dan akan datang telah dan terus terdedah kepada perkembangan teknologi dunia.

PERANAN SENI DI MASA HADAPAN:

Manusia tidak pernah berhenti pada satu keadaan. Begitu juga perkembangan pemikiran, idea, aliran dan falsafah. Terciptanya sesuatu yang baru sekarang ini bukanlah bermula dari tiada tetapi sebenarnya ia diberi pembaharuan yang lebih maju dan berteknologi. Di zaman sekarang tenaga elektrik menjadi keperluan utama manusia dalam kehidupan seharian. Ini bermakna ia menggerakkan perkakasan elektronik sekaligus menjadi tenaga menghidupkan zaman teknologi. Rata-rata manusia mengaitkan teknologi dengan elektronik, dan inilah hakikat teknologi sekarang.

Menurut Robert A.Ott dari Pennsylvania telah meletakkan tiga elemen tentang peranan seni iaitu;

a) Seni sebagai sesuatu disiplin yang berubah dan mengembang dari segi isi kandungan, kontent ataupun disiplin.

b) Seni sebagai sesuatu media untuk elajar tentang etnik, bangsa dan jantina.

c) Seni sebagai satu cara ”barrier breaking” (cara memusnahkan tembok) bagi

pembelajaran media dan teknologi.


Seni dianggap sebagai sesuatu disiplin yang berubah dan mengembang dari segi kandungan , kontent ataupun disiplin. Di United States, institusi pendidikan telah mula sedar tentang kepentingan subjek seni ini dan telah mengalami perubahan-perubahan. Mereka bukan sahaja mengajar teknik-teknik tetapi juga sejarah seni dan seni kritikan. Seni bukan sahaja diajar di studio, tetapi juga sesuatu yang dikaitkan dengan persekitaran dan masyarakat. Oleh itu menurut pendapat Ott, guru seni dianggap sebagai seorang ahli falsafah, penulis, ahli sejarah dan juga artist yang kreatif.

Di Malaysia kandungan kurikulum sukatan Pendidikkan Seni juga memberi pendedahan seperti itu bahkan guru-guru dihantar berkursus sebagai langkah kerajaan mengajar guru-guru tentang pelbagai kemahiran sebagai melengkapkan guru untuk pendidikan seni di masa hadapan.

Seni juga telah mengalami perubahan di mana jika dahulu pembelajaran ini hanya untuk pelajar yang mempunyai bakat tetapi sekarang semua pelajar boleh mempelajari seni termasuk pelajar kurang upaya.

Lebih ramai masyarakat yang mula memahami tentang seni dan ingin tahu tentang sejarah seni dan kritikan seni. Justeru guru seni perlu melengkapkan diri tentang ilmu-ilmu seni dan pusat-pusat seni perlu ditubuhkan untuk memenuhi keperluan masyarakat seni yang telah menjadi suatu pendidikan jangka hayat. John Dewey menyatakan,’.....pendidikan adalah kerja mengatur pengetahuan untuk menambahkan pengetahuan yang sentiasa bertambah’......

Seni juga mengalami evolusi kerana perlu memenuhi kehendak yang berbeza mengikut umur masyarakat. Menurut Ott lagi, seni merupakan refleksi pemikiran golongan intelektual dari zaman berzaman.

Menurut Bauhaus, budaya hidup masyarakat ”elite” iaitu golongan bangsawan yang meminta sekolah mengadakan kurikulum seni untuk anak mereka supaya ada perasaan halus dan budi pekerti”.

Mesej yang disampaikan dalam sesuatu seni boleh dipertahankan dalam jangka masa yang lama dan ia adalah asas kepada pemahaman tentang suatu budaya, etnik dan golongan masyarakat.

Kurikulum Pendidikan Seni di Malaysia telah mempelajari tentang sumbangan wanita terhadap seni dalam sesuatu masyarakat terutama bidang kraf dan masih banyak kajian yang perlu dilakukan. Mungkin suatu pembaharuan akan ditemui pada masa hadapan tentang kajian seni berbentuk budaya dan jantina.

PERUBAHAN-PERUBAHAN SENI DALAM PENDIDIKAN:

Manusia dijangka akan lebih menerima dan mula berminat terhadap seni untuk membolehkan mereka faham tentang sesuatu budaya. Seni menjadi asas kepada segala jenis pembelajaran (centre of learning). Melalui seni kita boleh mengetahui tentang cara pemikiran, emosi, adat istiadat masyarakat dan pemahaman ini berkembang berterusan di masa hadapan.

Melalui kemudahan teknologi, masa hadapan seni juga akan berubah. Sebagai contoh, lebih banyak penggunaan seni visual seperti muzium yang berdinding pameran video secara virtual (maya) tentang barang-barang antik. Sistem komunikasi yang melibatkan pembelajaran secara interaktif menggunakan alat-alat elektronik juga turut akan berkembang. Melukis menggunakan program komputer juga akan membawa perubahan pembelajaran di mana ia akan lebih melibatkan deria penglihatan dan bunyi yang boleh dikombinasikan dengan menggunakan teknologi.

Masyarakat dunia akan lebih mahir menggunakan komputer di masa hadapan. Sebagai contoh ikon dalam komputer juga merupakan sebahagian seni yang memerlukan kemahiran menginterpretasikan ikon tersebut. Oleh itu seni secara tidak langsung akan dipelajari oleh semua pihak kerana untuk menjalani kehidupan seharian mereka memerlukan seni juga.

Menyedari kesan hasil dari ’perkahwinan’ antara seni dan teknologi, keghairahan melayari zaman teknologi mengajak generasi baru pengamal seni serta pengkarya seni atau mereka yang inginkan pembaharuan sama-sama menjadikan inovasi teknologi terkini sebagai satu pengucapan seni bentuk baru. Anjakan demi anjakan, eksplorasi demi eksplorasi dan sempadan seni mula dicabar dan dilebarkan. Percubaan-percubaan seperti ini mencabar pendekatan penyampaian seni dewasa ini.

Dalam seni juga berlaku perubahan dan perkembangan. Ianya bergerak seiringan dengan kemajuan teknologi dunia, hasil dari perkembangan revolusi perindustrian dan mesin. Menyingkap perkembangan awal, percubaan menggabungkan seni dan teknologi ini telah lama bertapak hasil kutipan dan pembaharuan dari pembawaan aliran dadaisma dan kontruktivisma oleh Duchamp, Laszlo Moholy-Nagy, Man Ray dan Alexander Calder. Juga gerakan seni awal dari beberapa kumpulan seni seperti ZERO di Jerman tahun 1957 dan Groupe de Recherche d’Art Visual (GRAV) di Perancis tahun 1960. Karya yang dihasilkan lebih bersifat arca kinetik yang kelihatan seperti mesin.

Walau bagaimanapun perkembangan ini sukar diterima sehinggalah pada tahun 1960-an seni dan teknologi ini dipopularkan di Amerika. Pada tahun 1966 Experiments In Art and Technology ditubuhkan memperlihatkan kerjasama antara saintis dan pelukis. Perkembangan seni ini membawa suatu pengucapan baru dalam aliran seni tampak. Kepelbagaian elemen yang melibatkan cahaya dan kinatik ditampilkan. Keghairahan menjadikan mentol dan elektrik sebagai medium baru ditampilkan dalam karya-karya Dan Flavin (Green Crossing Green,1966) dan Bruce Nauman (Green Light Corridor,1970).

Kepesatan dunia sains dan teknologi yang bermaharajalela mewarnai kehidupan kontemporari telah mencetuskan suatu bentuk medium dan penyampaian baru. Penampilan bentuk seni 4 dimensi memberi banyak alternatif kepada pengamal seni. Video dan filem berkembang sebagai penyampai baru seni tampak yang agak konsepsual.

Jika dilihat perubahan dan perkembangan seni dan teknologi ini tidak langsung menjejaskan bahasa dan tatabahasa seni tampak. Perletakan elemen formalistik seni dan konteks serta isinya masih lagi dalam aturan yang sama. Jelas para pelukis tidak mengabaikan atau mengenepikan elemen-elemen seperti garisan, rupa, bentuk, ruang dan sebagainya termasuklah komponen lain seperti imbangan, harmoni, ulangan dan lain-lain. Cuma teknik dan gaya penyampaian sahaja yang berlainan.

Kesimpulannya di sini, gabungan antara teknologi dan seni boleh dilihat sebagai pendekatan yang bersifat kesepaduan, multi disiplin dan intergrasi yang akan menyentuh terhadap soal-soal budaya, bangsa, sosial dan agama. Ini menjadi perkara penting dalam menentukan kejayaan mengujudkan identiti Malaysia melalui gabungan seni dan teknologi.

Menurut Segmen Frued,,’...... manusia perlu mengawal persekitaran supaya dapat keseimbangan dan perlu ada kebijaksanaan supaya mendapat sebanyak mungkin pengalaman-pengalaman yang penting’....

Oleh itu dimensi dan pandangan manusia terhadap seni telah sentiasa berubah dari dahulu lagi dan akan terus berubah di mana masyarakat sekarang lebih berpendidikan dan mula memahami seni dan lebih berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang seni. Guru-guru seni perlu bersedia menghadapi cabaran ini dan mahir dalam penggunaan teknologi kerana ia menjadi media dalam kelas. Pendidikan Seni juga tidak lagi berfokuskan kepada golongan pelajar sahaja tetapi juga golongan dewasa dan warga tua.

Perubahan dalam Pendidikan Seni sentiasa berlaku dan perubahan ini bukan sahaja dari segi kandungan kurikulum atau teknik pengajaran tetapi juga melibatkan perubahan cara pemikiran, proses pengajaran dan pembelajaran seni, sejarah seni dan asas-asas seni. Antara perubahan-perubahan tersebut ialah:

a) Budaya Visual (visual culture)

Seni budaya visual mula mengambil tempat di kalangan masyarakat sekarang. Contoh seni budaya visual termasuk seni halus, pengiklanan, filem, video, seni rakyat, televisyen, landskap, grafik komputer, seni dalam bidang komunikasi dan produksi. Kesemua perkara tersebut telah menjadi sebahagian dari budaya manusia masa kini dan yang paling popular seperti iklan dan filem. Justeru pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus tetapi pelajar juga harus diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni budaya ini.

Untuk membuat perbezaan tentang jenis seni budaya ini menjadi semakin sukar kerana kepercayaan bahawa seni halus merupakan satu-satunya seni yang bernilai dan dihargai tidak lagi boleh berdiri sendiri kerana cara penilaian sesuatu seni bukan sahaja dilihat dari aspek kualiti estetik seni tetapi juga termasuk cara penyediaan, bahan digunakan,penggunaan teknologi termasuk aspek teknikal.

Aspek-aspek komersial juga telah dimasukkan sehingga berlaku proses kitar semula berlaku. Sebagai contoh, pakaian, muzik, budaya dan lain-lain yang popular suatu masa dahulu telah muncul semula selepas beberapa tempoh. Justeru seni budaya ini telah menjadi sebahagian dari budaya hidup pelajar dan pelajar harus diajar untuk menilai dan mengkritik seni budaya ini. Pelajar juga harus digalakkan menghasilkan seni budaya mereka sendiri sebagai satu cara mereka mengekspresikan imaginasi dan komunikasi mereka. Mc Fee pernah menyatakan; ’....belajar membaca mesej dan mengkaji komunikasi perspektif individu dapat meningkatkan kepekaan terhadap persekitaran dan alam’...

Pendekatan Mc Fee lebih menekankan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat kerana beliau berpendapat seni dalam budaya sebagai topik utama pembelajaran Pendidikan Seni.

b) Interaksi Kognitif

Menurut satu kajian tentang kognitif telah mendapati bahawa hubungan bentuk, perasaan dan pengetahuan adalah sebahagian dari proses kognitif. Kepentingan hubungan emosi antara manusia dan objek serta pembelajaran harus disedari dan diberi perhatian oleh pendidik. Ilmu yang diperolehi hasil dari pengetahuan seseorang pelajar, berbanding dengan ilmu yang diperolehi dari kombinasi pengetahuan dan motivasi dalaman harus diambil kira. Manusia belajar hasil dari interaksi pengetahuan yang ada, pengetahuan yang dipelajari dan persekitaran. Justeru pelajar harus digalakkan untuk mendapat pengetahuan bukan sahaja dari pengalaman guru tetapi juga dari interaksi dan emosi mereka semasa mencari dan mempelajari sesuatu ilmu itu.

c) Perspektif Sosial

Jika seni diajar tanpa memasukkan nilai-nilai dan pandangan sosial terhadap seni maka ianya akan menjadi suatu pengajaran dan pembelajaran seni semata-mata kerana perspektif kurikulum. Seni harus juga dipandang dan diinterpretasikan dengan sifat-sifat sosial seperti jantina, bangsa, etnik, bakat istimewa, budaya, sosioekonomi, keadaan politik, alam sekitar dan perasaan manusia. Ini disebabkan seni adalah kompleks, mempunyai unsur kepelbagaian dan mewakili sesuatu budaya. Oleh kerana itu, tujuan seni dan asal usul seni hanya boleh difaham jika seseorang melihat seni dari perspektif sosial.

d) Kebebasan Menggunakan Teknologi

Pelajar harus digalakkan menggunakan teknologi dalam menghasilkan hasil seni mereka dan diasuh minda mereka untuk berfikiran terbuka dan berdaya imaginasi yang tinggi (think out of the box) supaya mereka boleh keluar dari kepompong pemikiran yang terhad dan seterusnya membolehkan seni itu menjadi lebih kreatif.

Di Malaysia hanya segelintir sahaja pengamal seni yang berani membawa pendekatan seni elektronik ini seperti Hasnul Jamal Saidon, Wong Hoi Chong dan Kungyu Liew. Teradapat usaha yang dijalankan oleh Balai Seni Lukis Negara untuk membantu dalam mengenengahkan perkembangan seni elektronik ini seperti menganjurkan Video Art Festival 1994 yang menampilkan kepelbagaian pelantar kategori teknik dan proses.

Melalui pameran solo Hasnul Jamal Saidon, Hyperview (1977), beliau cuba menggabungkan beberapa pendekatan seperti kolaj digital, seni video, seni interaktif multi media, komputer animasi dan juga lukisan dan catan. Menerusi kepelbagaian ini telah memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan bahawa teknologi tidak mengasingkan seni malahan mampu bekerjasama sebagai proses ataupun orientasi objek seni.

e) Perbezaan Budaya

Sememangnya seni tidak boleh dipisahkan terutamanya bagi seni visual. Perbezaan sempadan, masa boleh ditunjukkan melalui seni. Misalnya dari pemakaian seseorang wanita, identiti sesuatu masyarakat dapat dilambangkan. Begitu juga dengan dunia moden ini dari aspek pemakaian dan ke mana arah tuju manusia, dapat dikesan betapa perbezaan budaya menjadi semakin kecil dan budaya mulai berintergrasi.

f) Pembentukan Konstektual

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Persky,Sandene dan Askew (1998) mendapati bahawa pelajar tidak berupaya untuk faham sesuatu maksud atau pembentukan hanya melalui pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya tahap pemahaman yang dibina oleh pelajar adalah dari segi kontekstual dahulu. Mereka akan membuat perbandingan, analisis dan melihat persekitaran dan membina pemahaman sendiri dari segi konteks sesuatu sebelum boleh memahami sesuatu perkara atau bentuk seni itu yang sebenarnya.

g) Kritikan Konstruktif

Sesuatu pengetahuan diperolehi oleh pelajar hasil dari membanding beza, melihat kepada kepelbagaian, budaya dan perbandingan sebelum mereka boleh menimba sesuatu ilmu. Justeru dalam membentuk kurikulum, unsur kritikan harus diambil kira. Semasa membuat penilaian hasil seni, perlu ada pandangan dari aspek kritikal dan respons yang konkrit untuk guru menilai.

Berdasar perubahan-perubahan tersebut boleh dirumuskan seperti berikut;

a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibatkan seni budaya visual

b) Kaitkan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu produk seni .

c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam proses P&P Pendidikan Seni.

d) Analisa unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni atau objek.

e) Memahami sesuatu hasil seni dan bentuk dari sudut kontent.

f) Gabungjalinkan unsur teknologi dalam Pendidikan Seni

g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, haruslah dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina.

KESAN PERUBAHAN SENI DI MASA HADAPAN:

Selari dengan perkembangan teknologi dunia, seni dan teknologi tidak boleh dipisahkan. Interactive networking atau internet telah membolehkan pelajar dan guru memperolehi lebih banyak peluang untuk mengetahui tentang imej visual, bunyi, seni dari pelbagai dimensi dan budaya penggabungan seni dan teknologi tidak dapat dinafikan akan membentuk satu satu generasi yang baru belajar asas seni dengan menggunakan teknologi.

Bukan sahaja perubahan dan revolusi maklumat yang berlaku dekad ini memaksa kita menggunakan teknologi tetapi juga penting bagi guru dan pelajar kerana mereka mempunyai banyak sumber bahan dan maklumat. Cara-cara penghasilan seni untuk masa hadapan juga akan berubah di mana penggunaan software seperti VU-See Me membolehkan pelajar berkomunikasi dengan kawan-kawan dari benua lain dalam menghasilkan folio atau kerja kursus mereka.

Penggunaan teknologi ini akan membantu membentuk satu komuniti yang baru, yang boleh berada di mana-mana dunia dan mampu berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat tentang seni dan lain-lain . Ini dianggap sebagai pembangunan komuniti (community building). Guru dan pelajar boleh berbincang tentang isu seni seterusnya bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan.

Sebagai contoh yang terdapat di Institute John F.Kennedy yang telah mewujudkan suatu net forum secara online di mana ramai guru telah meminta bantuan dan seterunya bertukar-tukar idea berkaitan dengan seni dan masalah yang mereka hadapi. Ini merupakan satu komuniti secara virtual. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah isu-isu pedagogi , kontroversi pelbagai perkara dalam disiplin seni, dan bertukar-tukar pengalaman. Di samping itu, videoconference juga boleh diadakan kerana cara begini sebenarnya adalah sebahagaian dari apa yang dikatakan reformasi dalam bidang pendidikan yang sedang berlaku sekarang.

Kombinasi pendidikan jarak jauh dan kemudahan networking, guru dan pelajar boleh bekerjasama dalam merancang, mengimplementari dan membuat penilaian sesuatu kurikulum atau aktiviti. Sebagai contoh guru-guru boleh bekerjasama membentuk suatu sistem penilaian interaktif dan menentukan unsur yang hendak dinilai bagi sesuatu aktiviti.

Pelajar juga mudah mendapatkan maklumat yang melibatkan audio, grafik dan imej yang bergerak. Misalnya jika ingin mempelajari sesuatu tajuk seni dan langkah-langkah proses penghasilan, pelajar boleh melihat beberapa audio visual serta penerangan yang boleh difahami oleh pelajar dan guru. Ini membolehkan pelajar lebih menghargai proses pembelajaran itu sendiri.

Proses pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik kerana guru dan pelajar akan melibatkan diri bersama-sama dalam menghasilkan suatu pembelajaran, misalnya bekerjasama untuk membentuk suatu laman web yang berkaitan dengan sesuatu tajuk. Ini menyebabkan pelajar melibat diri secara langsung dalam proses pembelajaran bukan lagi bergantung kepada guru semata-mata. Penggunaan teknologi dalam pendidikan menjadi pelajar lebih aktif dalam proses pembelajaran.

Pelajar juga boleh mengakses kepada sumber maklumat dan guru-guru boleh mendapatkan ABM secara langsung yang boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada guru dan pelajar. Teknologi lebih menyumbang kepada pembangunan Pendidikan Seni. Penggunaan teknologi lebih bermanfaat di masa hadapan kerana melaluinya, penghasilan seni, pameran seni serta mengkritik akan menjadi lebih meluas kerana ia menjadi lebih cepat dan mudah dengan bantuan software dan program yang semakin banyak di pasaran dan internet. Paling penting ialah komunikasi masyarakat menjadi lebih mudah dan penglibatan pelajar menjadi lebih penting dalam pendidikan yang berteraskan teknologi dan media.

Penglibatan elektronik dan komputer ini bukanlah terus menerus menolak atau mencabar hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul sejak dari zaman Renaisance, tetapi melihat keupayaan teknologi komputer, aplikasi perisian, skrin elektronik, gelombang atau pancaran cahaya elektronik bahkan terkini internet mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya dalam berbagai katogari pelantar seni.

Kepesatan teknologi komputer ini juga turut menghasilkan aplikasi perisian yang menyumbang kepada seni dan kreativiti. Dengan aplikasi perisian ini memungkinkan kemajuan kreativiti di mana mampu memperbaiki dan memantapkan nilai-nilai artistik manusia. Aplikasi perisian lebih bersifat sebagai metafora peralatan. Justeru teknologi tinggi dan komputer tidak sewajarnya dianggap sebagai peralatan semata-mata kerana ia juga boleh bertindak sebagai penyataan maklumat yang abstrak. Perlaksanaan seni juga dapat dilakukan oleh komputer dengan cara memudah, meringkas dan mempercepatkan proses pekerjaan seni dan penampilan proses seni itu sendiri.

Kebanyakan hanya pengamal seni generasi baru atau mereka yang inginkan perubahan sahaja yang berani untuk melibatkan penggunaan teknologi komputer di dalam penghasilan karya seni. Justeru kita lihat generasi baru sebagai generasi yang mudah menelan dan mencerna teknologi elektronik walau dalam apa juga bentuk sekalipun.

PENUTUP:

Teknologi merentasi kurikulum merupakan satu petanda bahawa dunia pendidikan akan sentiasa mengalami perubahan demi perubahan. Kemajuan penggunaan teknologi moden dalam pengajaran Pendidikan Seni sentiasa dialu-alukan dalam usaha meningkatkan martabat subjek ini namun terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi. Antara isu atau cabaran penggunaan teknologi adalah isu berkaitan dengan copyright/hak cipta. Ini kerana penggunaan di internet tidak dapat dihalang dan semua pihak berupaya mengambil bahan dengan sewenang-wenangnya. Juga masalah menggunakan media yang sesuai seperti yang berkualiti tinggi supaya seni itu dpat dilihat dan dialami dengan cara yang betul. Jika kualiti kurang memuaskan ita bimbang jika ianya salah diinterpretasikan. Namun begitu penggunaan teknologi lebih memberi manfaat di masa hadapan jika penggunaanya dipraktikkan kerana kemanfaatannya yang tidak perlu dipertikaikan lagi dalam sumbangannya dalam subjek seni ini.

Bagaimanapun dalam masa mengharungi perubahan dan perkembangan ini seharusnya pengamal seni tanah air tidak mengenepikan elemen dan prinsip budaya bangsa sendiri yang ada kekuatannya dan mampu memeriahkan seni tampak seterusnya mengujudkan kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi akan datang.







2 comments:

  1. ayuyu arora... : puan... nota ni berkaitan dgn tgasan yang diberikan.. terima kasih...

    ReplyDelete
  2. terima kasih puan... note ini menyedarkan saya sebagai pendidik beraliran seni visual, betapa pentingnya pendidik seni menguasai teknologi bagi menyampaikan p&p kepada pelajar wawasan.

    ReplyDelete