LAMAN SENI

My Photo
PENSYARAH UNIT SENI VISUAL, IPG KAMPUS IPOH,PERAK. yatie2838_my@yahoo.com

Saturday, August 8, 2009

MENGAPA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI PERLU MELALUI PROSES PENILAIAN? APAKAH ASPEK YANG PERLU DINILAI?

Pendahuluan:
Matlamat sistem pendidikan adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat dan Negara ke arah melahirkan insan yang seimbang, berketrampilan, berakhlak mulia dan berilmu. Atas dasar inilah sistem pendidikan menetapkan satu standard atau benchmark yang menetapkan satu sistem yang dapat digunapakai dan diaplikasikan dengan jayanya dalam sistem pendidikan negara.(Mak Soon Sang:1988)
Ujian atau sistem peperiksaan adalah “kayu ukur” bagi menyukat sejauh manakah keberkesanan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dalam melahirkan pelajar yang seimbang dalam segenap aspek yang dicita-citakan. Kecemerlangan system penilaian dan peperiksaan akan dapat meletakkan negara pada landasan yang betul untuk merealisasikan wawasan 2020 dengan lahirnya generasi yang berwibawa dan seimbang dalam semua aspek kehidupan. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu.



Definisi Penilaian:
Penilaian merupakan perihal atau perbuatan, menilai, menaksir, (Kamus Dewan,1994:930). Justeru penilaian ialah suatu proses yang berterusan bagi mendapatkan maklumat semula dengan tujuan supaya penggubahan kepada pelajar dalam aspek pemikiran, perasaan dan tingkahlaku dapat dilakukan dengan sempurna. (Abu Bakar Nordin,1990:4). Proses ini amat penting bagi mengetahui kekuatan dan kelemahan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran selain memastikan para pelajar tidak tergelincir daripada mengikuti sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan. Adalah penting usaha membentuk pelajar mencakupi segala aspek ini sentiasa dikaji bagi memastikan keberkesanan sukatan dan aktiviti yang dijalankan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Oleh itu penilaian merupakan satu aktiviti yang amat bermakna dan bermanfaat yang perlu dilakukan seiring dengan proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P).
Dalam konteks dunia pendidikan, prosese penilaian membabtkan banyak perkara kerana terangkum di dalamnya proses ”ujian”, peperiksaan, pengukuran yang bertujuan untuk melihat kemampuan pelajar menguasai apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Phopham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.
Penilaian sebagai satu proses memperolehi maklumat secara bersistem dalam usaha membuat keputusan tentang tindakan susulan yang paling wajar. Justeru penilaian yang dilakukan di sekolah adalah satu usaha berstruktur dan bersistem bagi mengkaji perubahan, penguasaan, pencapaian para pelajar dalam ujian dan peperiksaan yang diadakan bagi mengatasi masalah yang timbul sebelum pelajar menduduki peperiksaan sebenar kelak. (Gay:1985)
Penilaian juga boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harha bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al.(1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai ”the process of delineating, obtaining and providing useful information for judging decision alternatives”.
Secara ringkasnya, prosedur penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti di dalam Gambararajah 1 di bawah. (Popham:2000)

Gambarajah 1:
Prosedur Penilaian:







Konsep Penilaian Pendidikan Seni:
Pembelajaran Pendidikan Seni umumnya untuk membina keupayaan bagi menghargai dan mendiskriminasi apa yang dilihat oleh mata meliputi keupayaan menghargai dan memanipulasi bahasa tampak seterusnya mampu membaca imej-imej visual. Secara tidak langsung dapat memahami simbol-simbol budaya yang wujud dalam ruang lingkup kehidupan manusia.
Melalui Pendidikan Seni ini juga dapat membina kemahiran psikomotor dalam pelbagai kemahiran di samping menyuburkan domain afektif setiap pelajar, yakni teras kepada kepada pembelajaran Pendidikan Seni itu sendiri. Justeru untuk mengenalpasti sejauh manakah matlamat pelajaran ini terlaksana dengan berkesan, perlulah dibuat pengukuran, pengujian dan penilaian dalam Pendidikan Seni ini.(Raminah Hj Sabran:1991)
Untuk proses penilaian, matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni itu sendiri perlu jelas ditambah dengan pelaksanaan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) yang terancang, lengkap dengan sumber dan strategi oleh guru Pendidikan Seni. Bahkan kita perlu tahu apakah tujuan dan fungsi penilaian Pendidikan Seni. Pelajar akan dinilai daripada pelbagai aspek seperti domain afektif, psikomotor dan kognitif serta kesesuaian kandungan kurikulum Pendidikan Seni itu sendiri. (Lansing:1977)
Sehubungan dengan itu maka akan timbul persoalan, siapa yang akan dinilai, berdasar kriteria apakah pelajar dan hasil karya mereka dinilai, mekanisma apa yang digunapakai, instrumen bagaimana yang dianggap sesuai dalam penilaian Pendidikan Seni, bahkan banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan seterusnya dipertikaikan.

Tujuan Penilaian:
a) mengumpul maklumat pencapaian pelajar selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
b) Menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.
c) Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam sesuatu kemahiran yang dipelajari.
d) Mendapatkan maklumat keberkesanan pengajaran guru.
e) Merekod keputusan penilaian untuk tujuan rujukan.
f) Mengambil tindakan sewajar supaya Pengajaran & Pembelajaran lebih berkesan
g) Menilai keberkesanan kurikulum. (Mak Soon Sang:2003)

(a) Mengapakah Pelajaran Pendidikan Seni Perlu Melalui Proses Penilaian:
Fungsi penilaian Pendidikan Seni boleh dijadikan sebagai maklumat kepada guru untuk mengetahui tentang kemajuan dan perkembangan pembelajaran pelajar. Menurut Eisner (1985), hasil daripada sesuatu penilaian boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk membuat diagnosis bagi membantu pelajar yang bermasalah dalam mata pelajaran ini. Hasil penilaian juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk membaiki kurikulum Pendidikan Seni supaya lebih berkesan. Secara tidak langsung penilaian berfungsi untuk menilai keseluruhan kandungan sukatan mata pelajaran Pendidikan Seni seterusnya dijadikan sebagai petunjuk dan panduan bagi membaiki kelemahan yang ada serta kekuatan di sebaliknya.
Proses penilaian kepada pelajar Pendidikan Seni diperlukan untuk mengukur pencapaian mereka dalam mata pelajaran ini. Penilaian sering dilakukan sama ada secara berterusan (formatif) atau di hujung sesi persekolahan (sumatif). Jelasnya di sini penilaian adalah untuk mengukur sama ada berjaya atau tidak pembaharuan pendidikan yang dibuat dan memain peranan sebagai agen perubahan secara menyeluruh untuk pendidikan. (Beattie:1997)
(i) Penilaian Formatif:
- berfungsi melihat pembelajaran yang berlaku di kalangan pelajar secara eksplisit seperti mengukur perkembangan kemahiran (psikomotor), perkembangan sikap dan tingkahlaku (afektif) yang memerlukan bimbingan dan galakan.
- Penilaian ini juga dapat menyampaikan maklumbalas secara tersusun kepada guru untuk memilih atau membaiki pengalaman pembelajaran berikutnya sama ada melalui aktiviti pengukuhan atau pemulihan (Mokhtar Ismail,2002:9)
(ii) Penilaian Sumatif:
- bertujuan untuk mengukur sejauh manakah keupayaan pelajar menerima dan menghayati ilmu (kognitif). Lazimnya penilaian ini dijalankan pada akhir pengajaran dan pembelajaran (P&P).
- Tujuan penilaian juga untuk memberikan gred-gred tertentu selain membekalkan maklumat dan menilai keberkesanan pengajaran guru.(Mazlan:1996)
Proses penilaian dalam Pendidikan Seni perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengesan pencapaian dan prestasi pelajar kerana melalui penilaian ini dapat menunjukkan kebolehan murid dalam menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari sama ada dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor, seiring dengan objektif mata pelajaran Pendidikan Seni itu sendiri yang keseluruhannya untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Kesan dari objektif di atas, guru perlu mengubahsuai kaedah dan cara penilaian prestasi pelajar. Instrumen yang digunapakai perlu sesuai untuk penilaian yang berkesan.(Pusat Perkembangan Kurikulum)
Guru perlu menguji pelajar aspek kognitiff yang lebih tinggi seperti menganalisi, mensintesis dan membuat penilaian yang berterusan mengikut pentaksiran terkini. Penilaian ini perlu dalam usaha meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya. Ini adalah kerana perkembangan pemikiran adalah satu daripada objektif di dalam pelajaran. (Bloom:1956)
Pembelajaran dan domain kognitif di peringkat lebih tinggi seperti aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian adalah lebih kekal, bermakna dan lebih memberi manfaat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pelajar yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara khusus (pengetahuan terminologi dan pengetahuan fakta khusus) akan mempunyai pengetahuan tentang konsep sesuatu tajuk yang diajar. Ini akan memudahkan lagi proses P&P di dalam kelas. (A.J.Harrow:1972)
Kefahaman sedia ada pelajar untuk memudahkan mereka menterjemah sesuatu tajuk di samping dapat menginterpretasi bahan-bahan atau kerja seni akan memberi ruang yang lebih selesa kepada pelajar apabila membincangkan sesuatu tajuk yang diajar guru. (D.R.Krathwohl:1974)
Aras-aras dalam domain kognitif ini menguji kesinambungan sehingga akhirnya di peringkat penilaian. Pelajar diberi kepercayaan oleh guru untuk menilai dengan cara yang kritis dan menggunakan kriteria untuk menilai sesuatu kerja seni yang dihasilkan oleh mereka Justeru aspek kognitif ini memain peranan penting untuk melahirkan pelajar yang sempurna akal fikirannya melalui rangsangan-rangsangan yang dicipta guru dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual d sekolah-sekolah.
Pendidikan Seni juga merupakan mata pelajaran yang merangsang pemikiran pelajar. Melaluinya membolehkan pelajar melihat secara empati dan menganalisi bagaimana manusia menggunakan pemikiran kreatif mereka untuk menyelesaikan masalah.
Rasa empati boleh dilahirkan dengan isu alam sekitar. Seorang pelajar yang mengahargai ciptaan Tuhan akan melihat isu pembalakan haram sebagai sesuatu yang tidak boleh dibiarkan berleluasa. Untuk menunjukkan rasa empati, pelajar ini akan menghasilkan sesuah karya yang mempunyai beberapa idea untuk dikaitkan dengan tema yang ingin disampaikan. Perasaan empati terhadap alam sekitar yang semakin diceroboh tanpa mengambil kira faktor keselamatan masyarakat di persekitarannya boleh diterjemahkan ke alam nyata melalui simbol-simbol penjanaan idea.
Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.
Ini secara tidak langsung merangsang pemikiran pelajar tentang alam hijau yang sepatutnya dipelihara dan bukan dibinasakan.
Melalui pemikiran juga mereka menjana idea untuk melahirkan pelbagai imej. ”Visual Thinking” dapat melahirkan pelajar yang berinovatif seterusnya memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni. Seterusnya dapatan dari ”visual thinking” tadi pelajar akan melalui ”thinking process” dalam mengembang idea dan secara tidak langsung akan melahirkan pelajar yang mampu menyelesaikan masalah (problem solving).
Yang dimaksudkan di sini ialah, guru boleh mengcungkil idea pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dapat merangsang pemikiran mereka. Sebagai contoh untuk menguji kebolehan pelajar dalam menjanakan idea, guru boleh memberi tugasan yang mempu melahirkan pelajar yang berinovatif iaitu mengeluarkan idea yang tidak terjangkakan oleh akal fikiran guru itu sendiri.
Jika pelajar diberi satu tema berkaitan ”angkasawan”, pelajar dari kumpulan lemah atau sederhana mungkin akan menterjemahkan tema tersebut melalui objek-objek yang ”natural” seperti figura yang memakai pakaian angkasa, bumi, bintang dan lazimnya yang dilukis oleh pelajar yang kurang kreatif tetapi bagi pelajar yang kreatif dan inovatif mungkin akan menghasilkan satu karya yang ”supernatural” di mana objek-objek yang dipilih melangkaui pemikiran dan kebolehan pelajar yang seusia dengan mereka. Pelajar dari kumpulan ini tadi akan berfikir dan terus berfikir untuk menyelesaikan tugasan tentang angkasawan yang diberi guru. Proses ini sebenarnya membantu perkembangan minda pelajar. Pelajar akan lebih inovatif jika dapat menghasilkan idea yang luarbiasa tanpa diduga oleh guru bahawa pelajar tersebut mampu lakukan. Idea baru merupakan tanda-tanda kreativiti pelajar bermula. Daripada idea-idea baru ini mendorong pelajar membina semangat jati diri serta menghargai alam ciptaan Tuhan. Michael (1983) menyatakan;
’Selain dari memperkembangkan minat dan bakat, pendidikan seni dapat mendorong dan mendidik pelajar-pelajar melahirkan idea-idea kreatif......’
Menyentuh tentang semangat jati diri, bagaimana pelajar dikatakan mempunyai jati diri? Jati diri bermaksud sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagai yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya melalui identiti masing-masing. Bagi pelajar Pendidikan Seni, ini meliputi bagaimana seseorang itu menonjolkan imej, cara dan gayanya apabila menghasilkan sesebuah karya yang mempertimbangkan aspek-aspek tersebut. Maknanya penampilan diri adalah sebahagian daripada ketrampilan yang perlu ada pada seseorang pelajar itu.Jati diri yang lebih dipandang dari sudut psikologi moden iaitu dengan mengenal kepribadian diri kita masing-masing untuk kemudian melangkah ke arah yang lebih positif.
Pelajar dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semulajadi proses pembesaran mereka. Hasil karya seni yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran mereka seterusnya meningkatkan daya sensitiviti pancaindera. (Calvin W.Taylor)
Justeru Pendidikan Seni perlu melalui proses penilaian dalam usaha membina jati diri pelajar ke arah pembentukan negara bangsa. Namun begitu dalam membuat penilaian, guru harus mengambil kira kepelbagaian tahap kecerdasan pelajar.Ini adalah kerana pelajar mempunyai perbezaan dari segi ketepatan dan had laju pada gerak balas mereka apabila diuji dalam tugas yang mudah dan sederhana apatah lagi pada aras kognitif yang tinggi (Wundt, Germany,Galton, England, Cartell, Amerika).



(b) Apakah Aspek Yang Perlu Dinilai:
Sesuatu penilaian itu perlu dilakukan berdasar kepada beberapa prinsip seperti perlu ada keesahan, keboleh percayaan, apa yang dinilai telah dilakukan semasa pengajaran dan pembelajaran dan ada hubungannya dengan falsafah, matlamat dan objektif kurikulum mata pelajaran Pendidikan Seni itu sendiri.(Kementerian Pelajaran Malaysia:2002)
Falsafah pendidikan hari ini memberi penegasan kepada penyelarasan individu seluruhnya, dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial. Oleh itu hasil pendidikan perlu mencerminkan matlamat pendidikan yang meluas. Tidak lagi terhad ke arah penguasaan kontent atau kecekapan kemahiran sahaja sebaliknya perlu mengambil kira faktor dan kuasa dalam persekitarannya. (Abu Bakar Nordin:1987)
Justeru aspek yang perlu dinilai secara keseluruhan dan bukan setakat mengandungi ”resitasi” (perkataan demi perkataan yang dihafal dalam menjawab ujian) sebaliknya dapat menyediakan pelajar kepada kehendak hidup masa kini dan masa hadapan berdasar pengalaman pembelajarannya.

Antara aspek yang perlu dinilai ialah;
i) Perbezaan keupayaan yang dipunyai oleh seseorang pelajar dalam situasi belajar. Kesihatan jasmani, kebolehan mental, tahap emosi, minat dan keperluan serta persekitaran dan sosial dicerminkan melalui sikap dan tabiat pelajar memberi maklumat kepada guru mengenai kaedah yang sesuai untuk dijalankan penilaian.(Lovenfeld:1975)

ii) Nilai estetika yang merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan deria. Menurut Bates (2000), ia merupakan satu kajian falsafah yang berkaitan dengan kecantikan, begitu juga pendapat Gazalba (1978); estetika membawa nilai kecantikan dan kebaikan. Dalam penilaian guru perlu memilih karya yang berkualiti dan untuk itu perlu ada standard dan kualiti yang tertentu jenisnya.

iii) Proses penciptaan sesuatu hasil karya;
Dalam penilaian di sekolah guru perlu menilai karya seseorang pelajar dengan melihat keupayaan pelajar tersebut mengasilkan karya secara realistik. Dalam konteks ini kaedah menyusun elemen dan prinsip seni di dalam sesebuah karya diambil kira. Karya yang berkualiti dapat menghuraikan makna dari aspek meningkatkan tindak balas emosi, mood dan idea kepada penilainya. Secara tidak langsung aspek kognitif telah dinilai oleh seorang guru terhadap kebolehan pelajarnya tentang cara mengendalikan proses penghasilan seperti mematuhi teknik-teknik dan prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Ini adalah untuk mendidik pelajar menjadi manusia supaya sentiasa mengamalkan pertimbangan estetik dan hidup yang lebih bermakna; justeru kualiti pengamatan perlu dikembangkan. (Rudolf Arnheim:1972)
Selain itu pelajar juga perlu menguasai proses penghasilan seperti penggunaan media, alat, teknik dan amalan keselamatan. Ini kerana penilaian guru sepatutnya menyeluruh sesuai dengan objektif keempat dalam mata pelajaran ini; iaitu menggunakan pelbagai kemahiran, media teknik dan teknologi untuk merekacipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti. Penilaian guru termasuklah bagaimana pelajar mengawal, mengguna bahan dan teknologi dalam menghasil sesuatu karya seni itu.(Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni: KPM)

iv) Konteks objek yang ingin dinilai;
Apabila pelajar menghasilkan sesebuah hasil karya seperti contoh artifak, guru perlu melihat hasil karya tersebut bukan sahaja sebagai sebuah artifak atau produk semata-mata tetapi sebagai sesuatu aspek yang mampu dinilai statusnya. Penilaian perlu berlandaskan kepada hala tuju yang sesuai serta sebuah matlamat demi mendapatkan pemahaman yang menyeluruh serta penilaian yang tepat (Diffey; The Republic of Art).
Mead (1972) pula menegaskan bahawa pendidikan menunjukkan dua fungsi utama iaitu melestarikan dan mengembangkan kebudayaan sesuai dengan keperluan individu, sosial dan budaya sesuatu masyarakat yang terjelma melalui cara berfikir, penghayatan, luahan rasa serta respon mereka terhadap sesuatu perkara. Ini dapat dilihat kepada 10 objektif Pendidikan Seni Visual seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran
v) Nilai artistik;
Terletak pada apa yang dipersembahkan kepada guru oleh pelajar itu sendiri. Pengolahan idea pelajar bermula dari pengetahuan yang dimiliki. Pelajar menghasilkan sesuatu hasil karya berdasarkan kepada sesuatu karya yang telah diterima pakai dalam ruang lingkup budayanya. Namun apa yang perlu dinilai di sini adalah tujuan penciptaan sesuatu karya tersebut. (Tjetjep Rohendi Rohidi:1994)


vi) Persembahan produk;
Guru juga perlu membuat penilaian dari aspek persembahan produk kerana dalam penghasilan sesebuah karya, elemen ini amat penting kerana pelajar akan menguasai beberapa kemahiran seperti inkuiri mengenai melalui penyelidikan. Mereka juga perlu bersikap fleksibiliti dalam membuat hasil seni dan seni reka. Setiap pelajar mempunyai interpretasi dan penilaian persepsi yang berlainan, justeru produk yang dihasilkan berbeza bagi setiap individu dari segi bentuk, kualiti ekspresif dan stail. Secara tidak langsung pelajar akan menguasai kemahiran dalam mengorganisasi unsur tampak melalui penggunaan prinsip-prinsip seni dalam proses penciptaan. Peluang seperti ini akan mendorong pelajar mencebur diri dalam situasi yang lebih kreatif, inovatif, reflektif dan pemikiran kritikal. (Goldberg:1997)
Apa yang diharapkan di sini pelajar akan memasukkan elemen teori dan falsafah serta sumber-sumber pengalaman estetik dalam menghasilkan karya mereka. Guru sebagai penilai akan dapat mengesan nilai seni, mengapa dan sebab karya seni dibuat, yang sepatutnya dipertimbangkan oleh pelajar.

c) Apakah Kualiti Yang Perlu Ada Pada Seseorang Guru Pendidikan Seni Untuk
Melaksanakan Penilaian Tersebut:
Melalui penilaian yang telah dilakukan oleh guru dengan penggunaan instrumen yang sesuai, guru dapat mengesan punca-punca kelemahan pelajar. Selepas membuat kajian terhadap keputusan ujian pelajar, barulah guru dapat menggunakan maklumat itu untuk membuat perancangan aktiviti dan bahan-bahan pengajaran yang lebih efisyen. Seterusnya guru akan merancang isi pelajaran serta menggunkan pendekatan atau kaedah yang sejajar dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Namun begitu kualiti seseorang guru juga menjadi ukuran dalam melaksanakan penilaian tersebut kerana keberkesanan sesuatu penilaian itu menentukan kualiti sesuatu aktiviti yang telah dirancang. Justeru guru perlu mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam mata pelajaran yang diajar supaya dapat menggalakkan pelajar mengeluarkan idea yang lebih spontan. (Beattie:1997)

Antaranya yang dapat disenaraikan adalah seperti berikut;
i) Mahir dalam menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, kaedah penilaian dan instrumen penilaian yang perlu digunakan. Penggunaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) boleh membantu guru membina soalan mengikut hasil pembelajaran yang ditentukan. Dengan bantuan JSU, guru dapat merangka tajuk atau kemahiran yang hendak diuji dan mengikut peringkatnya seperti dalam Taksonomi Kognitif Bloom, di mana bilangan dan peratus soalan berdasar aras pembinaan item untuk setiap peringkat kognitif. Dalam konteks penilaian seperti ini ”keesahan” pembinaan item penting kerana ia ada perkaitan dengan di antara perkara yang hendak diuji dengan perkara yang telah diajarkan oleh guru kepada pelajar. Jika guru Pendidikan Seni tidak mempunyai kemahiran, penilaian yang dijalankan boleh diragui.

ii) Guru perlu meneliti dan memahami kandungan setiap tajuk dalam Pendidikan Seni seterusnya memastikan objektif dan matlamat dalam Sukatan Pelajaran tercapai. Ini termasuklah pemilihan tajuk yang hendak dinilai. Analisis item perlu dilakukan untuk mengkaji ciri item sama ada sesuai atau tidak untuk dijadikan alat bagi mengukur penguasaan pelajar.
iii) Bersikap telus dan tidak bias, tanpa mengira pelajar yang berlainan etnik, jantina, bangsa, latar belakang agama dan sebagai. (Persidangan Kebangsaan Penilaian Berasaskan sekolah,2002:213). Guru perlu bijak menggunakan semua skala penaksiran yang bersifat adil pada semua. Contoh dengan memberi markah secara konsensus. Untuk kerja kursus pula, penilaian perlu dilakaukan secara berterusan daripada peringkat awal hingga ke hasil akhir.

iv) Sebagai ”Pemantau” yang cekap dan berkesan. Sonia Blandford (1999), menyatakan proses pemantauan dan penilaian akan memberitahu tentang kualiti subjek serta mengikut ”standard”. Melalui pemantauan ini, guru menengok, melihat dan menjenguk atau lebih tepat didefinisikan sebagai proses memerhati dan mengawasi sesuatu benda, aktiviti atau kerja supaya sentiasa dalam keadaan baik dan dilaksanakan dengan betul, seterusnya menghasilkan kerja yang sempurna, sebagai contoh Penghasilan Folio yang dinilai secara berterusan dan fokus. Penilaian dapat dibuat memenuhi keperluan pelajar dari aspek proses penghasilan produk dan produk seni itu sendiri.

v) Guru Pendidikan Seni perlu peka dengan perkembangan Teori Kepelbagaian Kecerdasan kerana impaknya menunjukkan perbezaan prestasi di kalangan pelajar.(Gardner:1983)




Kesimpulan:
Sistem penilaian dan peperiksaan meletakkan satu standard yang tinggi supaya dapat melahirkan generasi yang berilmu dan berwibawa. Pengendalian sistem peperiksaan dan penilaian yang profesional dan sistematik menjadikan sistem pendidikan kita diiktiraf dunia.
Bagi mata pelajaran Pendidikan Seni, penilaian lebih menjurus dan fokus kepada tahap kemahiran serta keupayaan pelajar dalam menghasilkan sesebuah karya atau produk dengan menggunakan bahan, peralatan, dan media yang mampu diadakan. Penilaian berdasar kepada kecekapan pelajar menggunakan peralatan, bahan dan media bersesuaian dengan tema yang diberi. Ini termasuklah penilaian yang berfokus kepada kecekapan atau ketrampilan pelajar dalam menghasilkan produk seni seperti kraf dan sebagai.
Penilaian seumpama ini yang terikat pada kontent mata pelajaran dan terbatas kepada produk seni itu sendiri tidak mampu menunjukkan penilaian yang telah sedia ada mengikut prinsip-prinsip penilaian yang sebenarnya, justeru sudah tiba masanya untuk kita memperbaiki kaedah atau cara pelaksanaan penilaian mata pelajaran Pendidikan Seni ini supaya semua pelajar yang mengambil mata pelajaran ini mendapat manfaat serta yakin dengan hala tuju mereka. Oleh itu peluang untuk pelajar juga harus diberi sebagai galakan kepada mereka agar dapat memberi ketrampilan yang lebih berkesan dalam proses pembelajaran atau proses penilaian harian (Beattie:1997)



Rujukan:
1. Van Dallen,D.P (1979); Understanding Educational Research 4th Edition.Mc Graw
Hill Inc.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia (2002);Penilaian Kendalian Sekolah. Pusat
Perkembangan Kurikulum.


3. Cronbach,L.J.(1970).Essential of Psycological Testing (3rd ed) New York: Harper &
Row.

4. Gay,L.R (1985). Educational and Evaluation and Measurement.Competencies for
analysis and application 2nd ed. Charles E.Merril.


5. Popham,W.J (2000). Testing: What every parent should know about school tests.
London: Allyn & Bacon.

6. Raminah Hj Sabran (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia.
Pencerapannya pada peringkat Sekolah Rendah, Kuala Lumpur. DBP.

7. Panduan Pengurusan & Pengajaran Sejarah (2007). Jemaah Nazir Sekolah:
Kementerian Pelajaran Malaysia.

8. Gronland,N.E (1965): Measurement and Evaluation in Teaching, New York;
Macmillan.

9. Dunn,T.F, & Goldstein, L.G.(1959): Test Difficulty, Validity and Realibility as
Functions of Selective Multiple-choice item construction principles. Educational &
Psychological Measurement.


10. Furst,E.J. (1958): Constructing Evaluation Instruments. New York Longman Green.

11. Gulford,J.P. (1967): The Nature of Human Intelligence. New York Mc Graw Hill.

12. A.J Harrow (1972): A Taxonomy of the Phscomotor Domaib, New York. David Mc
Kay Company, Inc.

13. D.R.Karathwohl (1971): “Starting Objectives Appropriately For Program, For
Curriculum and For Instructional Materials Development”.

14. Nota Prof Madya Tuan Haji Iberahim bin Hassan (2009): UPSI.Tg Malim.
15. Nota Prof Madya Tuan Haji Iberahim bin Hassan (1998): UPSI.Tg Malim.
16. Beattie, D.K. (1997): Assessment in Art Education. Massachusetts. Davis
Publications.

17. Goldburg,M.(1997): Arts and Learning.An Intergrated Approach to
Teaching & Learning in Multicultural & Multilingual Setting.New York.
18. Rudolf Arnheim (1972): Art & Visual Perception.Univercity of California Ltd, Los
Angeles.

19. Tjetjep Rohendi Rohidi DKK (1994):Pendekatan Sistem Sosial Budaya Dalam
Pendidikan. IKIP Semarang Press Indonesia.

20 Victor Lowenfeld (1957) Your Child and His Art, Macmillan, New York.
21. Mazlan Mohamad (1996), pendidikan Seni 1- Prinsip Pendidikan Seni, Selangor.
Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

22. Mok Soon Sang (2003), Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur. Kumpulan
Budiman Sdn Bhd.

23. Howard Gaedner (1983) “ Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligence”.
24. Dr Abu Bakar Nordin (1987): Siri Maktab Perguruan. Asas Penilaian Pendidikan.

2 comments:

  1. terima kasih diatas maklumat yang sungguh bermakna.moga diteruskan penulisan ilmiah sebegini

    ReplyDelete